Resolusi mantapkan sistem pendidikan negara – Bernama


Resolusi mantapkan sistem pendidikan negara
21 Ogos 2013
  • Abu Shah
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu bersikap tegas dalam mempertimbangkan desakan dan tuntutan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak tertentu yang menyentuh sistem pendidikan negara, menurut seorang tokoh akademik.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tan Sri Ibrahim Abu Shah berkata ini penting bagi memastikan permintaan berkenaan adalah selaras dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan mematuhi Akta Pendidikan 1996.

Langkah ini perlu demi kepentingan negara, perpaduan kaum dan masa depan generasi akan datang, kata beliau yang mempengerusikan bengkel prakongres perdana pendidikan kebangsaan bertajuk ‘Sistem Pendidikan Berkesan Pembina Peradaban dan Nilai Budaya’ di sini hari ini.

Bengkel berkenaan merumuskan tujuh resolusi, yang akan dibentangkan pada Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan, 27 Ogos ini.

Resolusi yang digariskan antaranya adalah melihat kepada objektif pendidikan, menyokong penuh Pelan Pembangunan Pendidikan, menolak desakan yang tidak menyokong Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996 serta penekanan kepada standard nasional, peranan guru dan memperkasa sekolah kebangsaan.

Menjelaskan lanjut resolusi berkenaan, Ibrahim berkata dasar pendidikan negara mesti melihat kembali kepada matlamat utama iaitu membentuk perpaduan kaum bermula di peringkat sekolah.

Mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan, penambahbaikan perlu dilakukan dan beberapa kelemahan perlu diteliti serta diperbetulkan di samping melakukan pemantauan terhadap sistem pendidikan, katanya.

“Mesti ada satu jentera pelaksanaan yang mantap untuk pastikan pelaksanaan dijalankan dengan sesungguhnya tanpa mengingkari Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.

Ibrahim berkata dalam memartabatkan sistem pendidikan negara, kerajaan tidak boleh sentiasa bertolak-ansur dengan pihak tertentu kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat majmuk negara ini.

Katanya kerajaan juga tidak perlu terlalu mengikut standard pendidikan antarabangsa kerana di peringkat nasional, negara mempunyai acuan tersendiri bagi menyelesaikan masalah dalam pembangunan pendidikan negara.

Kerajaan perlu memperkasa sekolah kebangsaan supaya ia lebih menarik minat semua kaum demi mencapai matlamat pendidikan negara untuk membentuk perpaduan di peringkat akar umbi, katanya. – Bernama