KALUMPANG: Sebuah resort terkemuka di daerah ini, diarahkan ditutup secara berperingkat-peringkat berikutan penemuan virus kencing tikus (leptospirosis) menyebabkan kematian seorang remaja Jun lalu.
Remaja berkenaan disahkan dijangkiti virus berkenaan ketika mandi di kolam renang resort berkenaan.
Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, penutupan bermula Jumaat lalu, jam 11.35 pagi bertujuan penyiasatan lanjut termasuk kerja perawatan air dan pembasmian kuman di resort berkenaan.
Katanya, resort berkenaan akan ditutup sepenuhnya pada awal Ogos ini.
“Tindakan itu wajar dilakukan segera bagi memastikan pengunjung tidak terdedah risiko dijangkiti virus berkenaan yang boleh membawa maut.
“Ketika ini, tiga lokasi yang dikenal pasti ada jangkitan virus berkenaan yang diarahkan ditutup adalah kolam mandi, kafetaria dan tapak perkhemahan awam ,” katanya kepada Harian Metro selepas menyertai lawatan khas di resort itu, semalam.
Hadir sama, beberapa pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor, anggota penguat kuasa dari Majlis Daerah Hulu Selangor dan Pejabat Daerah Hulu Selangor. Beliau yang juga Pengerusi Wabak Penyakit daerah ini berkata, keputusan dilakukan berdasarkan hasil siasatan sepasukan pegawai kesihatan awam Kementerian Kesihatan Selangor yang mengesahkan positif jangkitan virus berkenaan.
Nur Hisham berkata, penularan virus berkenaan mula dikesan sejak sebulan lalu hasil keputusan positif daripada dua sampel air yang diambil dari resort berkenaan.
“Saya menasihati pengunjung sentiasa berwaspada dengan pengumuman ini dan perlu mengambil tindakan sewajarnya termasuklah dilarang memasuki kawasan larangan,” katanya.