Remaja perempuan 16 tahun ditangkap berkhalwat – Utusan


Remaja perempuan 16 tahun ditangkap berkhalwat

LEDANG 31 Mac – Keghairahan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun meraikan ulang tahun perkenalan pertama bersama teman lelakinya dengan bermalam di sebuah hotel bajet di bandar Tangkak di sini, membawa padah apabila mereka dicekup kerana didakwa berkhalwat awal pagi ini.

Pasangan kekasih remaja itu dicekup semasa sedang tidur tanpa berpakaian dipercayai selepas mengadakan hubungan seks oleh sepasukan anggota penguat kuasa dari Pejabat Jabatan Agama Daerah Ledang (PADL) pada pukul 3.10 pagi.

Semasa ditanya pemberita yang turut serta dalam operasi serbuan itu, pelajar perempuan berasal dari Bukit Kepong, Muar itu mengaku menipu ibunya semata-mata mahu bertemu teman lelakinya yang berusia 18 tahun dengan memberi alasan mahu bermalam di rumah rakannya di bandar tersebut.

“Saya beritahu ibu yang menghantar saya ke sebuah restoran makanan segera di bandar ini dengan alasan ingin berjumpa dan bermalam di rumah teman sekolah.

“Sebenarnya saya berjumpa teman lelaki berasal dari Seri Menanti, Muar di restoran berkenaan sebelum bermalam di hotel bajet untuk meraikan ulang tahun perkenalan kami,” ujarnya.

Remaja tersebut yang merupakan antara pelajar cemerlang di sekolahnya berkata, mereka berkenalan sejak setahun lalu dan mengakui datang ke hotel itu setiap kali berjumpa sebelum mengadakan hubungan seks.

Sementara itu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, serbuan dilakukan oleh penguat kuasa adalah berdasarkan aduan orang awam serta rutin operasi jabatan berkenaan.

“Penguat kuasa menunggu kira-kira lima minit sebelum remaja perempuan yang hanya bertuala membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan. Pemeriksaan lanjut dalam bilik menemui seorang remaja lelaki tanpa pakaian sedang tidur atas katil.

“Pasangan itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri,” katanya.

Sulaiman berkata, kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang untuk laporan dan Pejabat Agama bagi siasatan lanjut sebelum dijamin keluarga masing-masing.

Katanya, mereka akan didakwa di bawah Seksyen 27(1)ab, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130401/dn_11/Remaja-perempuan-16-tahun-ditangkap-berkhalwat#ixzz2PDlKGJMS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pasangan kekasih tak sedar gelagat dirakam – Sinar Harian


Pasangan kekasih tak sedar gelagat dirakam
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Ogos 2012

Gelagat pasangan remaja ini dirakam sekitar jam 3.16 pagi.
KULIM – Mungkin terlalu asyik dibuai cinta, sepasang kekasih lingkungan 17 tahun tidak sedar gelagat mereka dirakam lensa Sinar Harian kira-kira jam 3.16 pagi di parkir motosikal sebuah restoran makanan segera, di sini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selasih yang juga Pegawai Khas Kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Elyas Saad berkata, fenomena itu sering dilihat lokasi terbabit termasuk di sekitar Kulim menjelang subuh.

Namun, timbul kehairanan apabila ketiadaan remaja itu di rumah tidak langsung menjadi kebimbangan ibu bapa mahupun penjaga mereka.

“Sekarang ini anak lebih banyak habiskan masa di luar bersama rakan sebaya dan tidak bersama keluarga. Ramadan ini ibu bapa seharusnya menjalinkan hubungan baik dengan anak dan Tarawih bersama-sama.

“Malangnya semua ini tidak berlaku kerana ibu bapa terlalu sibuk dengan aktiviti sendiri hingga lupa tanggungjawab terhadap anak,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian difahamkan oleh pengadu yang mengenali pasangan berkenaan, kedua remaja terbabit sering berduaan di sudut sunyi lokasi restoran tersebut.

Elyas berkata, sehingga kini pelbagai perlakuan jenayah termasuk ragut, samun dan pergaduhan dilaporkan berlaku dan remaja yang sering menghabiskan masa mereka melepak di restoran makanan segera lebih mudah menjadi mangsa.

Menurutnya, selain itu ada kes kalangan kanak-kanak berusia sembilan tahun, di sini terlibat jenayah, berpunca daripada kepincangan rumah tangga dan sikap ibu yang terlalu memanjakan anak-anak mereka.

“Misalnya penggunaan motosikal merupakan keperluan, tetapi ibu bapa hari ini membeli motosikal kepada anak mereka tanpa menyedari anak mereka itu tidak mempunyai lesen. Ini bukan sahaja membahayakan orang lain malah ia turut membahayakan diri anak mereka.

“Pantaulah ke mana anak kita berada dan dengan siapa mereka berkawan. Bagi remaja perempuan kita harus ingat perlakuan rogol sering berlaku dimana ia melibatkan suka sama suka,” katanya.

Menurutnya lagi, ibu bapa harus menerapkan ilmu agama yang sempurna kepada anak-anak mereka.

Dua beradik merempit kantoi – Sinar Harian


Dua beradik merempit kantoi
NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
25 Jun 2012

Masing-masing menolak motosikal sejauh 10 kilometer setelah ditahan dalam Ops Lumba Haram.
IPOH – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun bersama adik lelaki berusia 15 tahun ditahan ketika cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya dalam Ops Lumba Haram oleh Trafik Bukit Aman di Jalan Kuala Kangsar berhampiran Gunung Lang di sini, semalam.

Dua remaja tersebut yang pada mulanya menyorok di sebuah restoran makanan segera berhampiran terpaksa mengalah apabila anggota polis cuba membawa motosikal milik mereka ke bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh.

Pelajar tingkatan lima yang ditahan itu mengaku tidak mempunyai lesen motosikal dan turut dikenakan tindakan apabila motosikal Honda EX5 yang tidak mempunyai cukai jalan.

“Kami baru pulang dari bekerja sebagai pembantu penjual sate di Stadium Perak untuk mencari duit lebih. Adik sudah tidak bersekolah. “Bapa tidak tahu ditahan, hanya emak sahaja (tahu mereka ditahan). Tapi dia tidak datang untuk ke sini (IPD) kerana dia pun bekerja sebagai pembantu kedai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Dalam operasi tersebut, seramai 268 mat rempit diarahkan menolak motosikal dari lokasi terbabit ke IPD Ipoh sejauh 10 kilometer untuk siasatan lanjut.

Pegawai Operasi Unit Khas Trafik Bukit Aman, Asisten Superintendan Khuzir Abd Majit berkata, operasi dua jam bermula 4.30 pagi itu melibatkan lebih 138 anggota bersama 20 anggota JPJ.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati 17 remaja termasuk seorang remaja perempuan positif dadah.

“Daripada jumlah tersebut, 108 saman trafik dikeluarkan manakala, JPJ mengeluarkan 14 saman dan mengarahkan 21 kenderaan termasuk sebuah kereta melakukan pemeriksaan semula.

“Kita turut menyita 50 motosikal dan dua kereta manakala JPJ menyita 14 motosikal yang diubahsuai untuk tujuan berlumba. 48 motosikal ditinggalkan tanpa diketahui pemilik,” katanya