Rezeki pelajar cemerlang SPM – Metro


Rezeki pelajar cemerlang SPM

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Seramai 1,609 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang mendapat keputusan cemerlang sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas akan ditawarkan Dermasiswa (bursary) secara automatik tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latar belakang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Dermasiswa itu bantuan kewangan disediakan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk mengikuti pengajian di peringkat persediaan (pra-universiti) sebelum pelajar melanjutkan pengajian peringkat ijazah pertama di universiti dalam dan luar negara.
Menurutnya, ia menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin keluhan ibu bapa pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan cemerlang, tetapi tidak berjaya mendapat penajaan untuk melanjutkan pelajaran kerana persaingan amat sengit serta ramai mendapat keputusan cemerlang.

 

“Pada masa sama, kerajaan juga mempunyai kekangan dari segi peruntukan kewangan berikutan kos pendidikan kian meningkat.
“Bagaimanapun, pada tahun ini kerajaan mengambil keputusan untuk menawarkan Dermasiswa kepada semua 1,609 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, membabitkan sekurang-kurangnya 9A+ (1,020), 10A+ (492), 11A+ (90) dan 12 A+ (tujuh),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Ketika ini ada beberapa program persediaan di dalam negara seperti Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi, Program Persediaan Asasi, International Baccalaurate (IB) atau A-Level.

 

 

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagi semua program pra-universiti itu, pemberian Dermasiswa tertakluk kepada pelajar ditawarkan dan ditempatkan di pusat persediaan ditetapkan kerajaan.
Katanya, semakan serta pengemaskinian profil pelajar program berkenaan boleh dibuat melalui laman sesawang KPM menerusiwww.moe.gov.my mulai Isnin depan.

 

“Pelajar lepasan Dermasiswa akan ditawarkan penajaan peringkat ijazah pertama di dalam atau luar negara mulai 2014 bawah anjuran JPA sekiranya memenuhi syarat,” katanya.
Beliau berkata, bagi program ijazah dalam negara JPA akan menaja 10,300 pelajar lepasan mana-mana program persediaan untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama dalam program diiktiraf di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan.
Sementara program ijazah luar negara katanya, permohonan turut terbuka kepada pelajar cemerlang lepasan program persediaan yang tidak ditaja melalui Dermasiswa, dengan syarat semua calon memenuhi syarat dan mendapat tempat di universiti terkemuka dunia.
Beliau berkata, kerajaan juga akan meneruskan Program Biasiswa Nasional (PBN) membabitkan penajaan kepada 50 pelajar paling cemerlang lepasan SPM 2011 di kalangan terbaik mengikut senarai KPM untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia berasaskan merit akademik.
“Calon terpilih akan ditawarkan biasiswa dari peringkat persediaan sehingga ke peringkat ijazah pertama tertakluk kepada syarat ditetapkan dan pengiktirafan bidang pilihan yang menjadi minat pelajar di universiti dalam dan luar negara seperti disenaraikan JPA,” katanya.
Selain itu katanya, Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman dianjurkan JPA kepada 300 pelajar dalam bidang kejuruteraan di negara berkenaan, namun mereka dikehendaki mengikuti program bahasa sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah pertama di negara berkenaan.
“Program penajaan ke negara berkenaan diperlukan negara dalam menyediakan modal insan mempunyai daya cipta, kreativiti dan daya saing tinggi, di samping teknologi tinggi,” katanya.
Katanya, pelajar yang ingin mengikuti program itu perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui laman sesawang JPA dengan kriteria pemilihan berdasarkan empat kategori, mengambil kira faktor ko-kurikulum, latar belakang sosioekonomi keluarga dan temuduga.
Menurutnya, kerajaan membelanjakan sejumlah RM2.12 bilion untuk membiayai kos keseluruhan pengajian pelajar di universiti dalam dan luar negara bagi pengambilan tahun ini.