Musim Hujan Landa Minggu Pertama Persekolahan – mStar


Musim Hujan Landa Minggu Pertama Persekolahan

Oleh ISABELLE LAI

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia sudah boleh menjangkakan cuaca mendung dan hujan renyai-renyai pada minggu pertama sesi persekolahan tahun ini manakala Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat akan berlaku di beberapa daerah di Terengganu dan Pahang.

Jabatan Meteorologi yang mengeluarkan nasihat hujan dari peringkat kuning ke amaran hujan peringkat jingga pada Isnin berkata, hujan lebat dan sekejap-sekejap akan berlaku di Dunggun dan Kemaman, Terengganu manakala Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.

“Keadaan ini akan menyebabkan banjir di kawasan rendah,” katanya dalam laman web jabatan itu.

Kawasan yang turut akan terjejas akibat hujan lebat (peringkat kuning) adalah Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Baru, Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang); Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu); Perlis (Padang Besar, Kangar and Arau); Kedah (Baling, Sik, Kubang Pasu dan Padang Terap); dan Johor (Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).

“Malaysia mengalami monsun timur laut sejak Oktober dan ia dijangka berterusan sehingga awal Mac,” katanya.

Ribut petir dijangka berlaku sepanjang minggu di Selangor dan Kuala Lumpur manakala hujan renyai-renyai turut berlaku di negeri lain.

Sementara itu, jumlah manga banjir di pusat pemindahan di Terengganu, Kelantan dan Pahang menurun kepada 192 pada pukul 6 petang, Selasa berbanding 3,171 pada Isinin.

Laman web Majlis Keselamatan Negara (portalbanjir.mkn.gov.my) melaporkan kesemua mangsa ditempatkan di sembilan pusat pemindahan banjir di Pasir Puteh, Kelantan, Besut dan Hulu Terengganu.

16 batang jalan di Terengganu masih ditutup ekoran banjir dan dua jalan di Hulu Langat, Selangor ditutup ekoran tanah runtuh.

Bencana banjir sehingga kini meragut enam nyawa di Terengganu manakala satu di Negeri Sembilan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi mengumumkan sekurang-kurangnya 20,000 askar berada dalam keadaan sedia untuk menawarkan bantuan jika gelombang banjir kedua berlaku.

Murid lari selamatkan diri – Sinar Harian


Murid lari selamatkan diri

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 April 2012
Murid lari selamatkan diri

JOHOR BAHRU – Hampir 100 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pu Sze, di sini, lari bertempiaran menyelamatkan diri apabila kerangka tingkap dewan sekolah jatuh terhempas dalam kejadian ribut petir berserta hujan dan angin kencang, petang semalam.

Sebelum kejadian terbabit, kesemua pelajar terbabit sedang menjalani latihan bola tampar dan yoyo Cina secara berkumpulan bermula sekitar jam 2 petang ditemani jurulatih masing-masing.

Bagaimanapun, latihan pelajar terbabit terhenti dan suasana kelam-kabut menyelubungi dewan sekolah terbabit sejurus kedengaran seperti atap zink di tepi dewan sekolah umpama mahu tercabut kerana ditiup angin kuat sekitar jam 2.15 petang.

Guru sekolah merangkap jurulatih Yoyo Cina, Phang Hai Dong, berkata, pada mulanya, keadaan seperti biasa dan kedua-dua kumpulan pelajar sedang berlatih secara berasing di dewan yang sama.

“Hujan mulai lebat dan kedengaran tiupan angin yang kuat. Saya berdiri berdekatan pintu dewan untuk meninjau persekitaran luar kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini pada kereta kerana kedengaran bunyi zink seakan mahu tercabut.

“Melihat keadaan seperti bertambah teruk, saya meminta pelajar segera berlindung di tempat yang selamat. Dalam beberapa minit kemudian, kerangka tingkap dewan terhempas jatuh, namun mujurlah tiada siapa yang tercedera. Kejadian menakutkan ini adalah kali pertama berlaku sepanjang hampir 14 tahun berkhidmat di SJKC Pu Sze,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas kejadian, di sini.

Dalam kejadian sama, hampir 80 peratus atap zink sebuah blok bangunan menempatkan 18 bilik darjah di sekolah terbabit diterbangkan angin kencang malah melayang sehingga ke Jalan Skudai sekali gus mengganggu aliran lalu lintas.

Turut hadir mengadakan lawatan ke sekolah terbabit adalah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong; Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Dr Boo Cheng Hau dan Ketua MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh.

Guru Besar SJKC Pu Sze, Wong Loke Say berkata, tidak semua bilik darjah mengalami kerosakan selepas atap zink bangunan terbabit diterbangkan angin, sebaliknya hanya enam bilik di tingkat atas berserta perkakasan di dalamnya terjejas.

“Enam kelas ini menempatkan murid darjah enam untuk sesi pagi dan murid darjah tiga bagi sesi petang. Tiada siapa yang cedera dalam kejadian ini kerana tiada proses pengajaran dan pembelajaran (PNP) berlangsung,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong berkata, Kementerian Pelajaran akan menanggung semua kos bagi kerja baik pulih semua kerosakan yang dialami sekolah terbabit selepas taksiran kerugian dibuat oleh Jabatan Pelajaran negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah.

“Saya menerima panggilan mengenai kejadian sekitar jam 3 petang dan bergegas ke sekolah ini. Menerusi tinjauan dibuat, kira-kira 70 hingga 80 peratus atap zink sebuah blok bangunan menempatkan bilik darjah diterbangkan angin selain sebuah kerangka tingkap dewan jatuh.

“Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed juga sudah saya hubungi untuk melaporkan mengenai kejadian ini untuk memberikan peruntukan segera bagi membolehkan sekolah melakukan kerja baik pulih kerosakan.

“Jadi, kementerian sedang menantikan laporan taksiran kerugian dialami sekolah daripada Jabatan Pelajaran negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah supaya kerja baik pulih dapat dilakukan segera,” katanya.

Difahamkan, ribut kencang yang berlaku di situ dikenali sebagai angin ‘langkisau’ dengan kelajuan luar biasa sekali gus mampu untuk menerbangkan bumbung-bumbung rumah dan sekolah di kawasan terlibat.

Berdasarkan laporan portal rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir akan melanda beberapa tempat di negeri ini pada sebelah petang, namun tiada hujan dilaporkan pada sebelah pagi dan malam.

Malah, mengikut portal rasmi jabatan itu di http://www.met.gov.my ribut petir akan terus berlaku di beberapa tempat di negeri ini hingga 20 April ini.

Mangsa petir: Dipercayai tidak pakai kasut – Sinar Harian


Mangsa petir: Dipercayai tidak pakai kasut

AMRAN ALI
11 April 2012
pokok

BUKIT KATIL – “Sebahagian besar yang terkena renjatan itu disebabkan tidak memakai kasut,” kata Muhammad Farhan Aswad, 16.

Muhammad Farhan merupakan salah seorang peserta perkhemahan di Kem Pengakap Tan Chay Yan, Pengkalan Badak, di sini yang menyaksikan 15 peserta terkena renjatan panahan petir, Ahad lalu.

Dia yang merupakan salah seorang peserta perkhema­-han Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) menceritakan detik cemas kejadian kepada Sinar Harian, di sini semalam.

“Masa itu, bunyi dentu­-man petir bertalu-talu, manakala hujan sangat lebat. Saya lihat beberapa batang pokok turut tumbang,” katanya.

Dia yang mewakili Sekolah Kebangsaan Dato’ Dol Said, Alor Gajah berkata, khemahnya terletak bersebelahan tempat kejadian dengan jarak tidak sampai 10 meter.

“Ketika itu, kami baru sahaja selesai pasang khemah. Kebanyakan peserta berada dalam khemah dan sebaik menyedari hujan lebat, diselangi bunyi petir sangat kuat, kami diarahkan kem komandan supaya berlindung di surau kawasan perkhemahan.

“Saya difahamkan, kebanyakan peserta yang terkena renjatan disebabkan mereka tidak memakai kasut,” katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka, Rohazam Yahya berkata, pihaknya sudah mengambil langkah keselamatan termasuk arahan­ Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya mengurangkan bilangan pokok besar yang boleh mendatangkan risiko tumbang.

“Sehingga kini kita masih meneruskan kerja pemulihan atas kerosakan berlaku.

“Kita juga sedang mengenalpasti pokok besar untuk ditebang bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti ribut petir berulang semula,” katanya.

Menurut Rohazam, pihaknya juga akan mengarahkan pihak penganjur perkhemahan agar mengikuti segala peraturan­ ditetapkan terutama arahan untuk masuk ke dalam dewan disediakan apabila berlaku kejadian hujan lebat.

Tinjauan Sinar Harian di tapak perkhemahan juga mendapati lokasi berlakunya kejadian 15 pelajar Sekolah Menengah St Francis, Banda Hilir disambar petir telah dibersihkan.

Manakala, kesemua baki 16 peserta sekolah berkenaan menarik diri dari program yang sepatutnya berakhir Sabtu ini atas arahan pihak sekolah masing-masing.