RM30j bantu sekolah agama – Sinar Harian


RM30j bantu sekolah agama

SAPINAH AB GHANI
18 Oktober 2012
MAKHTAR
MAKHTAR

KOTA BHARU- Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan memperuntukkan lebih RM30 juta untuk membantu Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di negeri ini sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Makhtar Mustafa berkata, Kerajaan Pusat sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur pembangunan Pendidikan Islam di negeri ini.

“Setiap SABK disalurkan sebanyak RM140,000 manakala SMKA menerima RM200,000 bagi melaksanakan pelbagai infrastruktur pendidikan yang diperlukan, “katanya kepada media selepas merasmikan program Cabaran Ekstrem Amali Islam Peringkat Antarabangsa 2012 di Pusat Ko, Tangok di sini, semalam.

Mengakui masih terdapat Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini, yang belum berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia, Makhtar berkata ia sepatutnya segera didaftarkan demi kepentingan pelajar dan guru.

“Fokus utama dalam pembangunan pendidikan Sekolah Agama Rakyat (SAR) seharusnya berpaksikan usaha untuk membangunkan kemudahan fizikal sekolah, kelengkapan pembelajaran serta membuka peluang untuk meningkatkan tahap profesionalisme guru,” katanya.

Makhtar berkata, perkara ini dapat dilaksanakan dengan tersusun dan berterusan sekiranya SAR didaftarkan di bawah kementerian selain turut memperoleh bantuan per kapita mengikut bilangan pelajar.

Menurutnya, selain berusaha membangunkan SAR, Kerajaan Pusat juga tidak mengabaikan pembinaan masjid, antaranya membina Masjid Ayesha di Kok Lanas bernilai RM6 juta, dan Masjid Mukim Bandar Lama, Gua Musang RM3 juta.

Beliau berkata kerajaan turut membiayai pembinaan bangunan baru Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Ismailiah di Pasir Mas dengan peruntukan RM600,000 dan membina pondok pengajian Islam An-Najmiah Geting di Tumpat bernilai RM2 juta.