Kerajaan belum bincang pemberian bonus Aidilfitri – Bernama


Kerajaan belum bincang pemberian bonus Aidilfitri

15 Julai 2013
Tan Sri Dr Ali Hamsa
Tan Sri Dr Ali Hamsa

PUTRAJAYA – Kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus kepada 1.4 juta penjawat awam sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak dua kali untuk tahun ini sahaja.

“Itu juga boleh dianggap bonus, namun terpulang kepada kerajaan tetapi selalunya pemberian bonus pada hujung tahun dan bergantung kepada output, sekarang terlalu awal untuk membincangkan perkara itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ali berkata untuk tahun ini sahaja kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 bilion bagi pemberian KGT selain penyelarasan gaji untuk skim-skim tertentu.

“Bagi bulan ini sahaja sebanyak enam skim akan ditambah baik dan 81 skim lagi pada November nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk pemberian bonus setengah bulan gaji sebelum Adilfitri yang dijangka disambut pada 8 Ogos ini.

Terdahulu, Ali merasmikan seminar bertajuk ‘Meningkatkan Kualiti Kawal Selia dan portal ‘Dasar Nasional Mengenai Pembangunan dan Pelaksanaan Kenyataan Impak Hubungan dan Kawal Selia’.

Seminar sehari itu dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Minggu lepas, Cuepacs memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua setengah bulan kepada seluruh penjawat awam tahun ini.

Pada 9 Ogos tahun lepas, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan bagi membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri. – Bernama

Tidak mampu bayar yuran, anak terpaksa berhenti sekolah – Sinar Harian


Tidak mampu bayar yuran, anak terpaksa berhenti sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Februari 2013

KUANTAN  –  Kemiskinan hidup menyebabkan anak sulung daripada lima beradik terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan pelajaran setelah gagal menjelaskan yuran peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sejak tahun lalu.

Ibunya, Norlaila Alias, 39, berkata biarpun yuran berkenaan hanya RM300, mereka tidak mampu untuk menjelaskannya.

Malah katanya, sewa rumah sebanyak RM260 sebulan pun tertunggak RM6,000 kerana mereka tidak mempunyai wang untuk membayarnya sejak dua tahun lalu.

“Saya tahu dia kecewa dan sedih apabila terpaksa berhenti sekolah malah dia juga malu kerana tidak dapat membayar yuran peperiksaan.

“Hati saya bagi dihiris setiap kali memikirkan masa depannya, namun apakan daya kami tak mampu, anak saya itu kini mengambil keputusan untuk bekerja bagi meringankan beban kami,” katanya.

Anak sulung keluarga ini Mohd Abu Khir Abu Bakar, 19, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar, di sini.

Menurutnya, biarpun suaminya, Abu Bakar Mamat, 43, melakukan kerja kampung namun pendapatan yang diperoleh tidak mampu untuk menampung perbelanjaan mereka tujuh beranak.

“Pendapatan suami bukan sahaja tidak cukup untuk biaya lima anak yang masih bersekolah tetapi untuk bayar bil air dan elektrik juga tidak mampu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rumbia, Beserah, di sini.

Lebih menyedihkan kata Norlaila, akibat kemiskinan, dua anak lelakinya yang bersekolah di darjah enam dan empat sering tidak ke sekolah kerana malu apabila kawan bertanya mengenai pekerjaan ayah mereka.

Namun dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 yang diterima baru-baru ini dapatlah dia menjelaskan bil tertunggak.

PM: Bonus raya setengah bulan – Bernama


PM: Bonus raya setengah bulan

25 Julai 2012

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.

Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.

Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.

Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.

Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan.

“Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan,” katanya.

Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara. – Bernama

Link lain berkaitan: http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsindex.php?id=683147

BERNAMA nafi keluar berita bonus Hari Raya – Bernama


BERNAMA nafi keluar berita bonus Hari Raya
16:00:27 PM Cetak Emel Kawan

KUALA LUMPUR: BERNAMA tidak mengeluarkan berita yang melaporkan kononnya kerajaan akan memberi bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada semua penjawat awam untuk sambutan Hari Raya Puasa tahun ini, kata Ketua Pengarangnya, Datuk Yong Soo Heong.

Berita palsu itu disiarkan Isnin lalu dalam sebilangan akaun Facebook selepas mereka yang tidak bertanggungjawab itu menampalkannya pada satu halaman portal berita “myMetro”, untuk membuatkannya kelihatan sahih. “Ini satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh pengguna siber yang tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu.
“Sementara BERNAMA sentiasa bersyukur apabila semua berita kami diakui dan diiktiraf, tapi ianya bukan sesuatu yang lucu apabila nama kami disalahguna,” katanya.

Yong berkata, satu laporan polis akan dibuat hari ini. – BERNAMA

Cuepacs tuntut naik gaji RM700-RM2,500 – Sinar Harian


Cuepacs tuntut naik gaji RM700-RM2,500

22 Februari 2012
Cuepacs

PUTRAJAYA – Di sebalik rasa tidak puas hati berkenaan dengan pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang sepatutnya dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu,  Cuepacs hari ini menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Pelaksanaan SBPA ditangguhkan sementara pasukan petugas khas selesai menjalankan semakan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan dibuat menerusi SBPA.

Dipetik Bernama, beliau berkata, tuntutan yang dikemukakan ialah untuk Gred 1 hingga 16 kenaikan sebanyak RM700, Gred 17 hingga Gred 26 (RM1,000), Gred 27 hingga Gred 40 (RM1,500), Gred 41 hingga Gred 48 (RM1,800) dan Gred 52 hingga Gred 54 (RM2,500).

“Misalnya bagi mereka yang berada di Gred 17, gaji semasa dalam SSM ialah RM820 perlu dinaikkan sebanyak RM1,000 kepada RM1,800,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas cadangan Cuepacs pada mesyuarat pasukan petugas semakan semula SBPA.

Omar turut mencadangkan agar mereka yang berada di tangga gaji tahap maksimum atau pada tangga gaji mati perlu dibayar tunggakan kenaikan tahunan selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan selain perlu dinaikkan gred.

“Misalnya bagi mereka yang sudah terhenti kenaikan gaji sejak lima tahun lepas, sekiranya kenaikan setahun mereka ialah RM100 jadi perlu dibayar tunggakan sebanyak RM500,” katanya.

Selain itu, Cuepacs turut menuntut mereka yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan pada Aras 4 sebelum Disember 2011 perlu diberi kenaikan gaji.

“Banyak aduan yang diterima apabila SBPA diperkenalkan mereka yang sudah lulus Aras 4 tidak diberi kenaikan gaji.  Ini tidak adil kerana bukan mudah untuk mendapat lulus Aras 4, terpaksa berkorban baca buku siang malam tapi bila dah lulus tidak dinaikkan gaji, sia-sia sahajalah usaha mereka,” katanya.
Omar berkata, tuntutan Cuepacs itu dirasakan sesuai memandangkan mereka yang di kedudukan atas daripada Gred 54 telahpun menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA.

“Kalau betul kerajaan berhasrat untuk merapatkan jurang antara pegawai rendah dengan atasan maka tuntutan itu adalah dirasakan wajar, apa yang Cuepacs lakukan ialah untuk menuntut kesaksamaan,” katanya.

Beliau berkata terpulang kepada pasukan petugas SBPA untuk menilainya dan jika merasakan tuntutan itu melibatkan kos yang tinggi, Cuepacs mencadangkan gaji kumpulan yang menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA dikurangkan dan disalurkan kepada gred bawahan.

“Jika tidak boleh juga… apa yang terkandung dalam SPBA sekarang perlu ditukar keseluruhannya dan digantikan dengan terma-terma yang baru,” katanya.

‘Menangis sepanjang hari’ – Metro


‘Menangis sepanjang hari’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TUNJANG: Seorang bayi lelaki berusia enam bulan menangis sepanjang hari kerana menanggung derita mempunyai kandungan air dalam otak berikutan terdapat benjolan pada kepalanya sejak dilahirkan.

Keadaan bertambah rumit apabila keluarga Muhamad Aidil Afifi hidup dihimpit kemiskinan kerana bapanya, Othman Ahmad, 32, hanya bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM500 sebulan.
Othman dari Kampung Keluang, dekat ini, berkata, dengan RM500 itulah dia menyara isteri, Norain Ridzuan dan dua anak termasuk Muhamad Aidil Afifi.

 

Menurutnya, penyakit anaknya dikesan seminggu selepas dilahirkan Ogos tahun lalu kerana terdapat benjolan di belakang kepalanya lalu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, setiap bulan anaknya perlu menjalani pemeriksaan walaupun imbasan sudah dilakukan, tetapi sehingga kini doktor belum mengenal pasti kandungan sebenar benjolan dalam kepala Muhamad Aidil Afifi.
“Pihak hospital tidak mahu mengambil risiko melakukan pembedahan memandangkan anak saya baru berusia enam bulan,” katanya.

 

 

Othman berkata, dia pernah memohon bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi ditolak kerana faktor usianya masih muda walaupun dia turut menghidap buasir hingga sukar bekerja.
Katanya, dengan gaji RM500 itu, dia perlu membayar sewa rumah RM200 manakala selebihnya digunakan untuk menyara keluarga termasuk berulang-alik ke hospital setiap bulan.

 

Sementara itu, Norain berkata, setiap kali menjalani pemeriksaan, doktor mengukur lilitan kepala anaknya bagi mengetahui sama ada benjolan itu semakin membesar atau tidak, namun dia bersyukur kerana sehingga kini saiz benjolan itu masih sama. “Saya amat berharap mendapat bantuan bulanan untuk Muhamad Aidil Afifi kerana sekurang-kurangnya meringankan beban kami menampung kos berulang-alik ke hospital setiap bulan,” katanya.
Penderitaan Muhamad Aidil Afifi turut mendapat perhatian Unit Aktiviti dan Hubungan Luar Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Geng Generasi Muda Kubang Pasu apabila turut memberi sumbangan kepada keluarga berkenaan.
Dalam pada itu, Pegawai JKM Kubang Pasu, Mohd Shabbri Othman berkata, pihaknya akan menyiasat kes itu terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan permohonan Othman.

Bonus raya kakitangan awam – Utusan


Bonus raya kakitangan awam

Najib Tun Razak mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Negara di pejabatnya di Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut hadir Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri Kabinet serta para pegawai kanan kerajaan. – BERNAMA

* Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada 1.27 juta penjawat awam Persekutuan bulan ini.

* Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada 590,000 pesara kerajaan.

* Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion.