Dituduh menyamar polis, rogol pelajar – Sinar Harian


Dituduh menyamar polis, rogol pelajar

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
21 Mac 2012
Dituduh menyamar polis, rogol pelajar

GEORGETOWN – Seorang jurukimpal mengaku tidak bersalah dengan tiga pertuduhan yang dihadapinya dan minta dibicarakan.

Bagaimanapun, satu pertuduhan dituduh di Mahkamah Sesyen Georgetown manakala dua pertuduhan lagi dituduh di Mahkamah Majistret.

Dalam pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen, M Retnam, 32, dituduh merogol seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau pada 1 Mac lalu kira-kira jam antara 2.30 hingga 3.30 petang.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kawasan hutan berdekatan MRSM berkenaan di Pondok Upeh, Balik Pulau.

Pertuduhan dibacakan juru­bahasa dalam bahasa Tamil di ha­dapan hakim, Sitarun Nisa Abdullah dan tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Berikutan kesalahan yang di­hadapkan terhadap tertuduh dikate­gorikan sebagai kesalahan serius sehingga mendatangkan trauma kepada mangsa serta masa depan mangsa, Penolong Pendakwa Raya, Sariza Ismail menawarkan wang jaminan sebanyak RM20,000.

Dalam rayuannya, Retnam yang tidak diwakili peguam meminta wang jaminan dikurangkan beriku­tan menanggung dua anaknya serta isterinya yang sedang sakit buah pinggang dan tidak bekerja.

Sitarun kemudiannya mene­tap­kan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan 16 Julai depan untuk laporan perubatan dan DNA.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Retnam menghadapi dua pertuduhan iaitu kesalahan menyamar sebagai anggota polis serta memiliki senjata berbahaya.

Untuk pertuduhan pertama, dia dituduh menyamar sebagai anggota polis dengan menunjukkan sekeping kad dan meminta pasport dari seorang warganegara Indonesia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 Mac lalu pada jam 10.30 malam di dalam lif di Mutiara Apartment, Jalan Sungai Emas, Batu Feringghi.

Tertuduh yang berasal dari Klang, Selangor itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia dituduh memiliki sebilah pisau yang berukuran 27 sentimeter (cm) tanpa kebenaran yang sah di tempat dan hari yang sama pada jam 10.40 malam.

Untuk pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi dua tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Untuk kedua-dua pertuduhan itu, Retnam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar menawarkan wang jaminan seba­nyak RM5,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua per­tuduhan namun tertuduh meminta ia dikurangkan dengan alasan yang sama.

Majistret, Noor Aini Yusof kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menangguhkan kes itu pada 17 April depan bagi tertuduh melantik peguam serta penyerahan dokumen.

4 lelaki rompak, rogol pelajar – Berita Harian


4 lelaki rompak, rogol pelajar

2012/02/25

KUALA LUMPUR: Malang berganda menimpa seorang pelajar perempuan tingkatan lima yang bukan saja dirompak, malah turut dibawa lari ke sebuah hotel sebelum dirogol secara bergilir oleh empat lelaki di sebuah hotel Jalan Pudu, di sini, Rabu lalu.

Ketika kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa yang berasal dari Kundang turut bersendirian di bilik hotel berkenaan sebaik lelaki terbabit selesai merogolnya, sebelum kejadian ngeri itu dimaklumkan pihak hotel.

Difahamkan, sebelum kejadian itu mangsa yang berada di sebuah kedai di Bandar Country Homes, Rawang, Isnin lalu, didatangi tiga lelaki tidak dikenali sebelum mereka mengambil semua barang berharga miliknya termasuk wang tunai RM100 dan telefon bimbit.

Malah, ketiga-tiga suspek terbabit memaklumkan kepada mangsa semua barangan miliknya itu akan dikembalikan semula keesokan di lokasi yang sama tepat jam 12 tengah malam.

Sumber berkata, mangsa yang percaya dengan janji ketiga-tiga lelaki terbabit datang semula ke lokasi itu seperti yang dijanjikan sebelum melihat empat lelaki termasuk tiga individu sama yang ditemuinya sebelum ini, datang menaiki sebuah kereta Proton Wira.

Katanya, suspek kemudian menarik dan memaksa mangsa memasuki kenderaan itu dan membawanya ke sebuah hotel di Jalan Pudu sebelum keempat-empat lelaki terbabit merogolnya.

“Mangsa yang berada dalam kesakitan merayu supaya tidak diperlakukan demikian, namun tidak dihiraukan suspek.
“Suspek meninggalkan mangsa bersendirian di hotel berkenaan tanpa memulangkan wang tunai dan telefon bimbit seperti yang dijanjikan sebelum mangsa memaklumkan kejadian itu kepada pihak hotel,” katanya.

Mangsa turut menghubungi ahli keluarganya supaya datang ke lokasi berkenaan dan kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Gombak keesokannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan pihaknya berikutan lokasi kejadian berlaku di kawasan Dang Wangi.

Katanya, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada mangsa dan sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan usaha memburu suspek sedang dilakukan.