‘Macam mana anak saya nak ke sekolah’ – Sinar Harian


‘Macam mana anak saya nak ke sekolah’
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Jun 2012

Sharipah Ismail buntu memikirkan hal persekolahan anaknya selepas tinggal sehelai sepinggang akibat rumah yang didiaminya di Bukit Besi hangus dalam kebakaran huj
JERANGAU SUNGAI – “Sekolah akan dibuka semula sehari dua lagi, tapi anak saya masih tidak mempunyai pakaian sekolah kerana hangus dalam kebakaran tempoh hari, saya tidak tahu di mana harus mengadu. Itu luahan Sharipah Ismail, 46, ibu tunggal yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Bukit Besi, kira-kira jam 8.50 malam, 29 Mei lalu.

Sharipah yang kini menumpang teduh di rumah anak perempuannya, Norhayati Hitam, 25, dekat sini berkata, sebagai ibu tunggal, dia hanya bergantung harap dengan hasil menoreh getah bagi menyara kehidupan.

Menurutnya, kejadian kebakaran itu membuatkan fikirannya benar-benar buntu memikirkan nasib keluarganya kerana segala perkakas rumah serta pakaian sekolah anaknya, Fatira Hitam, 11, musnah dalam tragedi yang meranapkan rumah yang sebelum ini dihuni kakaknya, Rokiah Ismail, 56.

Sharipah berkata, disebabkan kemiskinan hidup, dia tiada tempat tinggal setelah suaminya, Hitam Muda,70 meninggal dunia tiga bulan lalu akibat asma.

“Saya tiada duit simpanan langsung, pendapatan dengan mengambil upah menoreh getah hanya cukup untuk membeli keperluan makanan sahaja, itu pun tidak menentu.

“Kalau anak saya tiada pakaian, bagaimana dia hendak ke sekolah dalam masa terdekat. Ini yang paling merunsingkan. Nak beli baru, saya tak ada duit, hidup sekarang pun menumpang di rumah anak,” katanya.

Sharipah berkata, sebagai warga miskin, apatah lagi wanita berstatus ibu tunggal yang tiada sumber pendapatan, dia amat berharap agar pihak berkenaan dapat menyediakan tempat tinggal untuk membolehkan dia dua beranak berteduh bagi meneruskan kehidupan.

Katanya, sebagai insan daif, dia tidak tahu bagaimana ingin membebaskan dirinya dari kemelut kemiskinan yang sentiasa menghimpit kehidupannya.

“Bagi mata yang memandang, mereka bercakap memang senang, tapi bagi saya yang melaluinya, hanya Tuhan tahu peritnya,” katanya.

Mahu pihak sekolah beri penjelasan – Sinar Harian


Mahu pihak sekolah beri penjelasan

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mac 2012
Mahu pihak sekolah beri penjelasan

KUALA BERANG – “Kalau betul sepanjang saya bekerja ada membuat masalah, kenapa tidak berbincang terlebih dahulu sebelum bertindak menyuruh majikan menukarkan saya ke tempat lain,” itu luah ibu tunggal yang mendakwa dirinya teraniaya.

Rokiah Mohamed, 44, ketika ditemui berkata, dia terkilan dengan jawapan yang diberikan pihak pengurusan sekolah kerana sepanjang bekerja di situ, dia mendakwa tidak pernah diajak berbincang masalah yang berlaku terhadap cara kerjanya sehingga diberhentikan.

“Kalau betul saya melakukan kesalahan, kenapa tidak diberitahu terlebih dahulu supaya ia boleh diselesaikan dengan cara baik, tetapi memilih cara ini sehingga saya hilang mata pencarian.

“Ini tidak adil bagi saya selaku seorang ibu tunggal yang juga menanggung anak serta cucu yang masih bersekolah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Rokiah yang malu dengan kenyataan itu berkata, jika benar dia mendatangkan masalah kepada sekolah selama ini, dia mahu bersemuka dengan pihak pengurusan sekolah itu untuk mengetahui cerita sebenar punca dia diarah ditukar ke sekolah lain.

“Jika betul saya salah, saya mengaku tetapi dalam situasi sekarang, saya dibuang kerja atas arahan pihak sekolah tanpa mengetahui punca sebenar menyebabkan saya amat terkilan.

“Sepatutnya perkara seperti ini perlu dibawa berbincang terlebih dahulu, jangan terburu-buru kerana saya mempunyai tanggungan dan juga seorang ibu tunggal,” katanya.

Sehingga kini, Rokiah masih mencari kesalahan yang dilakukan dan berharap pihak sekolah tampil untuk memberi penjelasan supaya dia mengetahui punca sebenar.

Semalam Sinar Harian melaporkan mengenai seorang tukang sapu di sebuah sekolah di bandar Kuala Berang mendakwa diberhentikan tanpa sebarang notis, malah lebih malang dia juga mendakwa, majikannya memberitahu arahan memberhentikannya adalah daripada pihak pengurusan sekolah.