Murid SK Kiabau belajar di bawah bangunan sekolah disebabkan kekurangan kelas – Kosmo


Murid SK Kiabau belajar di bawah bangunan sekolah disebabkan kekurangan kelas

 

19/09/2013 5:06pm

 

TELUPID – Sejumlah 27 murid Tahun Dua hingga Lima di Sekolah Kebangsaan Kiabau di sini terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa di bawah bangunan sekolah disebabkan masalah kekurangan kelas di sekolah itu.

Kelas tambahan di bawah bangunan papan setingkat itu dibina hasil inisiatif guru besar serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan akibat pertambahan pelajar setiap tahun.

Pengerusi PIBG sekolah, Peter Anun berkata pertambahan guru sebelum ini daripada enam kepada 12 orang sejak 2011 mendorong pihak sekolah untuk mewujudkan sebuah kelas mengikut tahun pelajar.

Menurutnya, pada masa sekarang hanya terdapat sebuah kelas di bangunan sedia ada di sekolah berkenaan, bagaimanapun, kelas itu terpaksa dibahagikan kepada dua bagi pembelajaran murid tahun satu dan tahun enam berjumlah 15 orang.

Katanya, pelajar tahun dua hingga tahun lima terpaksa meneruskan sesi pembelajaran mereka dengan kurang selesa di dalam kelas yang diwujudkan di bawah bangunan sekolah berkenaan sejak tiga tahun lepas.

Peter berkata, dua lagi kelas di bangunan sedia ada telah dijadikan sebagai bilik guru, Pusat Sumber dan bilik Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

“Perhatian khusus daripada Kementerian Pendidikan untuk mengatasi masalah itu perlu disegerakan bagi memastikan semua pelajar dapat belajar dalam keadaan selesa,” katanya. – Bernama

Seorang bapa murid di sekolah itu Japari Oyah mahu kerajaan memandang serius masalah dialami sekolah berkenaan. Menurutnya kelas di bawah bangunan sekolah bukan sahaja tidak selesa untuk murid belajar malah apabila banjir semua kemudahan yang ada akan rosak.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_14.htm#ixzz2fKa7t48S
Hakcipta terpelihara

Tangan terlekat mesin ‘tikam’ – Metro


Tangan terlekat mesin ‘tikam’

 14  3 Google +2  2  0

Banting: Tindakan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun memasukkan tangan kanannya di sebuah alat permainan dikenali mesin ‘tikam’ mengundang padah apabila tangannya terlekat di mesin itu dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Bukit Lancong, di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, ketika kejadian kanak-kanak terbabit baru pulang dari sekolah sebelum singgah di kedai berkenaan untuk bermain permainan itu.
Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.56 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

 

Beliau berkata, hasil tindakan pantas pegawai bomba di lokasi kejadian, mangsa berjaya diselamatkan dalam tempoh 11 minit tanpa kecederaan serius.
“Kami menghantar tujuh anggota ke lokasi kejadian sejurus selepas mendapat aduan dan tiba di lokasi pada jam 3.16 petang.
“Difahamkan, permainan itu sudah rosak dan pecah menyebabkan tangan kanan mangsa terlekat.

 

“Kami bersyukur dengan kekuatan jentera, tangan kanan mangsa berjaya dikeluarkan tanpa kecederaan serius dalam tempoh 11 minit,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

Patah tangan ketika bermain – Sinar Harian


Patah tangan ketika bermain

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012

TEMERLOH – Seorang kanak-kanak dipercayai patah tangan kiri pada bahagian tulang bahu hingga siku ketika bermain di taman permainan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas).

Bapanya, Wan Zalizam Wan Ali, 39, berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 6.45 petang ketika dia menemani anaknya, Wan Norqudratul Najwa, 10, bermain kerana kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke dalam wad untuk melawat pesakit.

Bagaimanapun katanya, secara tidak sengaja Wan Norqudratul terjatuh ke lantai menyebabkan tangannya patah.

“Saya kecewa kerana lantai di taman permainan itu sudah lama rosak, tetapi pihak bertanggungjawab masih tidak mengambil tindakan untuk membaikinya.

“Nasib baik wad kecemasan dekat. Saya bergegas membawa Wan Norqudratul mendapat rawatan di wad tersebut. Lebih mengecewakan apabila saya diberitahu sudah ramai kanak-kanak menjadi mangsa hingga patah tangan,” katanya.

Wan Zalizam berkata, dia berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah segera untuk membaik pulih kerosakan itu kerana tidak mahu lebih ramai kanak-kanak mengalami nasib sama.

“Mengapa masih tiada tindakan jika ramai kanak-kanak menjadi mangsa di taman permainan itu? Perkara itulah dikesalkan, seolah-olah ia tidak penting.

“Ramai kanak-kanak bermain di kawasan tersebut dan tidak mustahil akan berlaku lagi kes sama jika tidak diatasi segera,” katanya.

Polis kenal pasti suspek – Metro


Polis kenal pasti suspek
KAJANG: Susulan pergaduhan di sebuah sekolah menengah di sini, semalam, polis sudah mengenal pasti beberapa suspek yang disyaki terbabit kejadian itu berdasarkan keterangan saksi kejadian selain motosikal milik suspek yang rosak dan ditinggalkan berhampiran kawasan sekolah berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan menyeluruh kes berkenaan dan motif kejadian dipercayai berpunca akibat salah faham antara kumpulan samseng terbabit dengan beberapa pelajar sekolah itu.
“Setakat ini, maklumat yang kami terima hanya empat individu termasuk seorang guru cedera dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital berhampiran dan kami masih menyiasat kejadian ini secara menyeluruh kerana membabitkan keselamatan pelajar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata berbahaya hingga menyebabkan kecederaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jentolak rempuh pagar rumah guru – Kosmo


Jentolak rempuh pagar rumah guru

 

Oleh SHAH NIZAM OMAR
shahnizam.omar@kosmo.com.my

 

KEADAAN pagar rumah dan kereta milik Rozaidah yang rosak akibat dirempuh jentolak di Taman Desa Alam, Seksyen U12, Shah Alam semalam.

 

SHAH ALAM – Seorang guru yang bersiap-siap untuk keluar mengajar pada sesi petang terkejut apabila sebahagian tembok dan pagar rumah didiaminya dirempuh jentolak di Taman Desa Alam, Seksyen U12 di sini semalam.

Turut musnah dalam rempuhan itu ialah sebuah kereta jenis Nissan Grand Lavina milik guru tersebut serta pagar rumah dan sebuah kereta Perodua Kancil milik seorang jirannya.

Difahamkan sebelum kejadian itu, jentolak tersebut menjalankan kerja-kerja membaik pulih tangki air yang berada di atas bukit.

Guru wanita hilang kawalan rempuh Hilux – Sinar Harian


Guru wanita hilang kawalan rempuh Hilux

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Februari 2012
Keadaan-kereta-Azizah-yang-merempuh-Hilux-sehingga-masuk-ke-dalam-kedai-Petronas
Gagal-mengawal-kereta-menyebabkan-kereta-milik-seorang-guru-merempuh-sebuah-4x4-yang-diletakkan-diha

PASIR PUTEH – Akibat hilang kawalan, kereta seorang guru wanita merempuh sebuah kereta 4×4 jenis Hilux sebaik sahaja selesai mengisi minyak di Stesen Minyak Petronas Pasir Puteh Dua, di sini.

Kejadian yang berlaku jam 6 petang kelmarin itu dipercayai berlaku apabila Azizah Mat Noor, 44, memandu kereta Cherry miliknya merempuh dengan laju Hilux yang diletakkan di hadapan Petronas sehingga memasuki kedai tersebut.

Pemilik Hilux, Sufian Abdullah, 21, berkata, semasa kejadian tersebut berlaku dia baru sahaja memasuki kedai Petronas tersebut tidak sampai tiga minit sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat.

“Semasa kejadian saya sedang berurusan di mesin wang di dalam kedai itu dan apa yang berlaku ini sangat mengejutkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian tersebut, kereta milik Azizah rosak teruk di bahagian hadapan akibat merempuh bahagian belakang kereta milik Sufian.

Azizah tidak mengalami sebarang kecederaan kerana semasa kejadian dia memakai tali pinggang keledar.

Sementara itu, Pengurus stesen minyak tersebut, Mohd Azli Abdullah berkata, sehingga sekarang pihaknya masih tidak dapat memberitahu berapa jumlah kerugian akibat kejadian tersebut.

“Ini kerana kami terpaksa menunggu wakil daripada pihak Petronas terlebih dahulu untuk datang menilai jumlah kerugian,” katanya.

Menurutnya, kejadian tersebut merupakan yang pertama berlaku di stesen minyak tersebut dan dia bersyukur kerana ia tidak melibatkan orang ramai dan pekerja.