Meletup di tangan – Metro


Meletup di tangan

 2  1 Google +0  0  0

Kuala Terengganu: “Api begitu pantas membakar sumbu sehingga mercun bola itu tidak sempat dilempar,” kata Muhammad Danial Haikal Roslan, 8, yang terlantar di hospital sejak Khamis lalu apabila tapak tangan kanannya terbelah dua sentimeter selepas terkena letupan mercun bola di Kampung Saujana, Setiu.

Pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Saujana itu berkata, dalam kejadian jam 4 petang dia bersembunyi di dapur untuk meletupkan dua mercun bola yang diperoleh daripada rakan sekolahnya.
Menurutnya, dia berhasrat menyalakan mercun bola itu sebelum melempar ke arah luar dapur rumahnya kerana berfikir lebih selamat.

 

Malang, katanya, hasrat itu tidak kesampaian apabila mercun bola yang dibakar itu meletup sebelum sempat melempar ke luar dapur menyebabkan tapak tangan kanan terbelah dua sentimeter selain melecur teruk pada jari manis.
“Saya meraung sekuat hati kerana tangan terasa amat sakit akibat letupan itu dan jeritan saya didengari nenek di ruang tamu sebelum bergegas turun ke dapur untuk melihat keadaan saya.
“Nenek membalut tangan dengan kain sebelum menghubungi bapa saya, Roslan Salleh, 34, untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Remaja dirogol selepas dipaksa minum arak – Sinar Harian


Remaja dirogol selepas dipaksa minum arak

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Julai 2013
 Noor Mushar Muhammad
Superintendan Noor Mushar Muhammad

SABAK BERNAM – Seorang pelajar tingkatan dua bukan saja dipaksa meneguk minuman keras, malah dirogol seorang lelaki dan dicabul seorang lagi rakannya dalam kejadian di sebuah rumah di daerah ini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, suspek masing-masing berusia 21 tahun itu dikatakan menodai pelajar perempuan berusia 14 tahun itu selepas mendapati mangsa dalam keadaan mabuk dan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa yang berasal dari Ampang itu dipercayai mengikuti kedua ibu bapanya pulang ke kampung untuk menghadiri majlis kenduri.

“Kejadian itu dipercayai berlaku, sewaktu ibu mangsa menyuruh mangsa bersama seorang sepupu lelakinya berusia 13 tahun itu menghantar lauk kenduri di rumah jiran, bagaimanapun, mangsa tidak pulang ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kedua ibu bapa mangsa yang bimbang anaknya tidak pulang ke rumah bertindak mencari mangsa di rumah jiran bersama suaminya dan menemui sebuah motosikal yang digunakan anaknya itu.

“Ibu bapa mangsa memaklumkan kejadian itu kepada orang kampung dan seorang daripada mereka memberitahu ternampak kelibat tiga lelaki membawa anak dan anak saudaranya itu menaiki sebuah kereta,” katanya.

Noor Mushar berkata, setelah puas mencari selama dua jam akhirnya penduduk kampung menemui sebuah kereta yang dipercayai digunakan suspek untuk membawa kedua-dua sepupu berkenaan.

“Sebaik saja masuk ke dalam rumah terbabit, ibu bapa mangsa terkejut apabila mendapati anaknya tidur dalam keadaan separuh bogel dalam sebuah bilik bersama tiga lelaki terbabit sementara sepupunya itu berada di depan ruang tamu rumah.

“Ibu mangsa yang melihat keadaan itu segera mengejutkan anaknya dan mangsa telah membuat pengakuan seorang daripada suspek bertindak merogolnya dan memaksanya mengambil minuman keras,” katanya.

Beliau berkata, ibu mangsa yang berang dengan perbuatan durjana suspek telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Bapa campak ke lantai – Metro


Bapa campak ke lantai

 12  0 Google +1  0  0

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Rimas mendengar tangisan anak berusia tujuh tahun, seorang lelaki sanggup memukul sebelum melibas gergaji di badan anaknya itu supaya mangsa akan berhenti menangis di kediaman mereka di Batu 2 1/2 Cheras, di sini.

Tidak cukup dengan itu, lelaki berusia 43 tahun itu yang gagal mengawal kemarahannya bertindak lebih kejam apabila mencampak kanak-kanak lelaki terbabit ke lantai.
Isterinya yang terkejut dengan tindakan mangsa itu berlari mendapatkan anaknya yang meraung kesakitan sebaliknya suspek tidak mempedulikannya dan terus beredar.

 

Berikutan itu, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Pudu, Selasa lalu untuk tindakan selanjutnya sebelum membawa anaknya itu ke klinik untuk menerima rawatan.
Sumber polis berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1 tengah hari suspek yang sedang mandi terdengar tangisan anaknya di ruang tamu.
“Pada mulanya suspek mengarahkan isterinya menghentikan tangisan anak lelaki mereka namun selepas beberapa minit mangsa masih menangis, suspek yang selesai mandi terus keluar dan memarahi anaknya.

 

“Malah, dia bagaikan dirasuk setan bertindak memukul anaknya beberapa kali namun tindakannya itu menyebabkan mangsa yang kesakitan meraung kesakitan,” katanya.
Sumber berkata, lebih teruk, suspek kemudian mengambil gergaji dan terus melibas ke badan mangsa beberapa kali menyebabkan mangsa menggelupur kesakitan.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

‘Mujur kepala tak kena kipas’ – Metro


‘Mujur kepala tak kena kipas’

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bukit Merah: Seorang remaja perempuan yang leka menyiapkan tugasan sekolah di ruang tamu rumah, nyaris maut terkena kipas siling yang sedang berpusing apabila rumahnya ditimpa sebatang pokok durian dalam kejadian ribut di Kampung Tok Khamis, Batu 4, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa Norizati Abdul Razi, 14, pelajar lembam di Sekolah Pendidikan Khas Alor Pongsu, sedang menyiapkan kerja sekolah di ruang tamu rumahnya.
Menurutnya ketika kejadian hujan lebat diikuti angin kencang.

 

“Saya berasa takut bukan kerana tinggal bersendirian, tetapi keadaan cuaca yang sebegitu membuatkan hati saya berdebar-debar memikirkan pelbagai perkara yang buruk.
“Namun, saya tetap tidak mengendahkannya dan terus melakukan kerja sekolah sehingga saya terdengar bunyi beberapa batang pokok patah,” katanya.
Norizati berkata, sejurus mendengar bunyi kuat itu, dia terus menutup buku dan duduk mencangkung di ruang tamu akibat ketakutan dan hanya berdiam diri.

 

Menurutnya dalam beberapa minit saja, sebatang pokok besar tumbang menyebabkan dia tidak dapat melarikan diri dan hanya tunduk ketakutan sambil menutup kepala dengan tangannya.
“Sebaik keadaan reda, saya membuka mata dan alangkah terkejutnya apabila mendapati kipas siling yang masih berpusing hanya beberapa inci dari kepala saya. Mujurlah ia tidak menimpa saya.

 

“Saya terus berlari keluar rumah sambil menangis dan alangkah terkejutnya saya apabila melihatkan keadaan rumah yang musnah akibat ditimpa sebatang pokok durian,” katanya.
Menurutnya walaupun keadaan masih hujan lebat dan angin bertiup kencang, dia masih mendiamkan diri menanti ibu bapanya pulang.
“Saya takut masuk ke dalam rumah kerana pokok itu terlalu besar dan rumah saya boleh runtuh bila-bila masa saja kerana angin masih bertiup serta hujan masih mencurah-curah,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Razi Chin, 37, yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya, dia mula memikirkan nasib anaknya itu.
“Sepanjang perjalanan ke rumah, saya melihat beberapa pokok tumbang dan sekali gus saya terfikir anak di rumah.
“Saya tidak berhenti berdoa kepada Tuhan agar melindungi keselamatannya,” katanya.
Menurut Abdul Razi, sebaik tiba di pekarangan rumahnya, dia terkejut sambil melaungkan kalimah Allah sejurus mendapati rumahditimpa pokok besar.
“Saya hanya memikirkan keadaan anak lalu bergegas mencarinya dan mendapati dia duduk mencangkung akibat kesejukan di sebatang pokok berhampiran rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

Cabul anak jiran: Kontraktor didenda RM7,000 – Sinar Harian


Cabul anak jiran: Kontraktor didenda RM7,000

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Januari 2013
Cabul anak jiran: Kontraktor didenda RM7,000
Tertuduh dikawal ketat anggota polis keluar dari mahkamah selepas denda diputuskan, semalam.

KOTA BHARU – Seorang kontraktor didenda RM7,000 selepas mengaku bersalah mencabul anak jirannya dalam bilik tidur sebuah rumah di Jalan Pengkalan Chepa di sini, tahun lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly terhadap Hussni Hussain, 47, dari kampung sama.

Hussni didakwa pada pertuduhan pindaan menggunakan kekerasan jenayah ke atas remaja berusia 13 tahun itu dengan niat mencabul kehormatannya pada jam 3 pagi, 13 Mac di rumah mangsa.

Dalam kejadian itu, mangsa sedang bermain komputer di ruang tamu didatangi tertuduh dan berpura-pura bertanya tentang mancis yang didakwa tertinggal.

Mangsa yang curiga dengan tertuduh kemudian berlari ke dalam bilik tetapi diekori sebelum lelaki itu memegang bahu dan cuba membaringkannya.

Dia bagaimanapun sempat menepis dan berlari ke arah bilik air serta bersembunyi selama 15 minit sebelum menjerit memberitahu abangnya yang sedang menjual burger di luar rumah.

Pada prosiding semalam, Mohd Fazaly Ali turut mengarahkan tertuduh membayar pampasan berjumlah RM3,000 kepada tertuduh selain RM500 dikenakan untuk kos pendakwaan.

Tertuduh dilihat meninggalkan mahkamah setelah denda dan pampasan itu dijelaskan.

Dijengah tedung – Metro


Dijengah tedung

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Dua beradik melalui pengalaman menakutkan apabila tidur bertemankan seekor ular tedung yang menyusup masuk ke dalam bilik mereka di Taman Kebaya, Paya Datuk, di sini, semalam.

Kejadian pada jam 12.25 tengah malam itu disedari bapa mereka, Norahilman Baba, 41, yang kebetulan ke bilik air sebelum terserempak ular di pintu bilik anaknya iaitu, Muhammad Haikal Mustafa, 11, dan Muhammad Amir Hakim Mustafa, 5.

Norahilman berkata, dia terkejut melihat kelibat reptilia berbisa itu yang menegakkan badan di depan pintu bilik kedua-dua anaknya seperti hendak menyerangnya.

“Saya berlari ke ruang tamu dan memanggil isteri, Norzihan Mohd, 44, memaklumkan perkara itu. Reptilia itu kemudian masuk ke bawah katil dalam bilik tidur dua anak lelaki saya.

 
“Saya meminta isteri segera menghubungi talian kecemasan memaklumkan perkara itu,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22

Campak anak dari tingkap – Metro


Campak anak dari tingkap

Oleh ABD RAHMAN ADAM
abdulrahman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MIRI: Sepasang suami isteri nekad mencampak dua anak ke luar menerusi tingkap pada ketinggian dua meter bagi menyelamatkan mereka daripada rentung ketika kediaman mereka di Kampung Pasir Lutong, di sini, terbakar malam kelmarin.

Kejadian berlaku jam 12.15 tengah malam ketika pasangan terbabit, Dublin Simon, 35, dan isterinya Devi Patrick, 22, tidur sebelum didatangi seorang jiran yang mengetuk dinding bertalu-talu memaklumkan rumah mereka terbakar.
Menceritakan kejadian itu, Devi berkata, sebaik terjaga, dia melihat api menjulang di bahagian siling manakala asap memenuhi ruang tamu rumah.

 

“Saya mengejutkan suami lalu kami mencapai dua anak berusia antara tiga dan sembilan tahun lalu mencampak dari tingkap bahagian dapur sebelum saya dan suami melompat menyelamatkan diri.
“Kami terpaksa berbuat demikian kerana api merebak cepat. Saya terkejut sebaik keluar dari bilik tidur mendapati api membakar keseluruhan ruang tamu selain siling rumah.
“Ketika itu, saya dan suami hanya memikirkan keselamatan dua anak selain seorang anak saudara berusia setahun yang ketika itu tidur,” katanya.

 

 

Menurutnya, sebelum kejadian, dia tinggal bersama seorang adik ipar serta isteri dan dua anaknya, masuk ke bilik tidur masing-masing jam 9 malam.
“Ketika kejadian kami tidur sebelum isteri adik ipar terjaga apabila terdengar ketukan bertalu-talu sambil berkali-kali memanggil nama kami.

 

“Namun, apabila semua terjaga, api membakar hampir keseluruhan ruang tamu rumah. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya yang cedera di kaki akibat terpijak bara.
Dalam pada itu, seorang jiran hanya mahu dikenali sebagai Yot, 36, berkata ketika kejadian, dia bersama suaminya berbual di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan teriakan seorang jiran.
“Sebaik membuka pintu, saya terkejut mendapati api membakar ruang tamu rumah mangsa sebelum saya bersama suami mengetuk dinding dan memanggil mereka bagi menyelamatkan diri.
“Keadaan api marak menyebabkan semua mangsa terpaksa keluar dari tingkap bahagian dapur tanpa sempat menyelamatkan barangan berharga dan dokumen penting,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Miri berkata, sebaik menerima panggilan jam 12.26 tengah malam, tiga jentera termasuk dua daripada Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng bersama 15 anggota dikerah ke tempat kejadian.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba, api merebak ke keseluruhan rumah diperbuat daripada kayu dan pihaknya mengambil masa 10 minit untuk mengawal keadaan.
“Kebakaran dipercayai bermula di ruang tamu rumah terbabit sebelum merebak ke bahagian lain. Punca kebakaran serta jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20

Demi nyawa keluarga – Utusan


Demi nyawa keluarga

Oleh FADZLY IZAB
pengarang@utusan.com.my

MELAKA 4 Okt. – Keberanian seorang bapa terjun dari tingkat atas rumah teres dua tingkat yang didiaminya di Taman Malim Jaya di sini untuk mengambil tangga menyelamatkan nyawa empat ahli keluarganya yang lain daripada rentung, awal pagi ini.

Dalam kebakaran kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Gan Kim Hui, 57, nekad terjun menerusi tingkap sebelum pergi mendapatkan tangga di rumah jirannya.

Menurut adik iparnya, Tay Kok Chang, 42, semasa kejadian, Kim Hui, isterinya, Tay Li Ngoh, 52, serta tiga anak mereka berusia 16 hingga 31 tahun tidur dalam dua bilik berasingan di tingkat atas rumah itu.

“Anak mangsa berumur 31 tahun kemudian terjaga setelah terhidu bau asap dari ruang tamu tingkat bawah rumah mereka.

“Dia kemudian mengejutkan semua ahli keluarga. Bimbang sesuatu buruk, Kim Hui bertindak pantas memecahkan tingkap bilik rumahnya untuk mengambil tangga dan seterusnya menyelamatkan ahli keluarganya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Lima beranak berhimpit di ruang tamu – Metro


Lima beranak berhimpit di ruang tamu
Laporan dan foto JAUHARIATUL AKMAL JOHAR
am@hmetro.com.my

RANTAU PANJANG: Lima beranak hanya mampu tidur beralaskan tikar getah dan berhimpit di ruang tamu memandangkan rumah yang didiami sejak 17 tahun tidak mempunyai bilik tidur.

Pasangan suami isteri, Abdullah Yah, 39, dan isterinya, Fatimah Mat Hassan, 49, hidup dalam kemiskinan, menyebabkan mereka tidak mampu untuk membaik pulih rumah di Kampung Kubang Puyuh, di sini.
Tiga anak mereka berusia 18 hingga 14 tahun terpaksa dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan dan dua daripadanya masih meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periuk.

Menurut Abdullah, dia mempunyai pendapatan tidak menentu dan hanya melakukan kerja kampung yang cukup untuk digunakan bagi makan dan minum sekeluarga.
“Rumah ini didirikan atas tanah mentua yang diserahkan kepada isteri. Ini saja rumah yang mampu saya sediakan untuk keluarga berteduh dan ia semakin usang.
“Saya tidak mampu mengeluarkan wang bagi membaik pulih rumah kerana pendapatan sekadar cukup untuk menyara keluarga,” katanya.

Tinjauan Harian Metro ke rumah itu semalam, mendapati keadaan rumah keluarga terbabit terlalu sempit untuk didiami dan hanya mempunyai ruang tamu serta dapur.
Keluarga terbabit juga terpaksa tidur beralaskan lantai papan kerana tidak mampu membeli tilam.

Abdullah berkata, dia sedar sememangnya tidak sesuai bagi dua anak lelaki dan perempuannya untuk tidur di satu ruang sama, namun mereka tiada pilihan lain.
Katanya, selain masalah rumah, dia runsing mengenai keadaan kesihatan isteri yang menghidap penyakit kencing manis dan perlu mendapatkan rawatan susulan setiap bulan.
“Isteri saya perlu mengambil suntikan sebanyak dua kali disebabkan penyakit kencing manis dialami selepas melahirkan anak bongsu.
“Mengenai rumah, saya memohon Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan berharap ia dapat dipertimbangkan supaya dapat tinggal dalam rumah lebih selesa,” katanya.

Dua beradik tiri didakwa bunuh ibu tiri – Bernama


Dua beradik tiri didakwa bunuh ibu tiri

27 Julai 2012
KLANG – Seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun dan kakak tirinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh ibu tiri mereka dengan cara menekup muka mangsa menggunakan bantal.

Pelajar terbabit dan kakak tirinya yang berumur 29 tahun didakwa membunuh wanita berumur 72 tahun itu, yang juga seorang guru agama, di ruang tamu sebuah rumah di Taman Sri Wangi, Kapar di sini kira-kira 5.30 petang 14 Julai lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dua beradik yang memakai pakaian reman berwarna ungu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah.

Tiada pengakuan direkodkan.

Sepanjang prosiding, pelajar perempuan itu dilihat mengalirkan air mata sementara kakak tirinya yang bekerja di sebuah kelab malam kelihatan tenang.

Majistret Ho Kwong Chin menetapkan 4 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin sementara kedua-dua beradik itu diwakili peguam Gerard Lazarus.

Difahamkan sebelum ini polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, tiga hari selepas mangsa dikebumikan, beberapa anggota keluarganya membuat laporan polis mengenai kehilangan barang kemas mangsa.

Ekoran laporan itu, membawa kepada penggalian semula kubur mangsa dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas. – Bernama