Program khatan ‘kecoh’ – Sinar Harian


Program khatan ‘kecoh’

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 November 2012
Program khatan 'kecoh'
Mohd Faereez ditenangkan ibunya ketika berkhatan di SRA Simpang Kerayong, semalam.
Program khatan 'kecoh'
Kanak-kanak ceria ketika berendam di dalam kolam sebelum acara berkhatan bermula.

JASIN – Keseronokan 26 kanak-kanak untuk berkhatan beramai-ramai bertukar kecoh apabila seorang daripada mereka menjerit ketakutan sebaik masuk ke dalam bilik untuk dikhatankan di Sekolah Rendah Agama, (SRA) Simpang Kerayong, semalam.

Berikutan itu, lima jawatankuasa program termasuk seorang pembantu perubatan terpaksa mengambil masa hampir sejam untuk menenteramkan kanak-kanak berusia lapan tahun berkenaan.

Jawatankuasa program, Mohd Haseri Mohd Som berkata, sebelum ini, kanak-kanak tahun 2 Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Terentang, Mohd Faereez Rifqi Md Fandzlee, kelihatan ceria bersama rakan-rakanya yang lain.

Menurutnya, namun keseronokan itu tidak berpanjangan selepas dia dipanggil masuk ke bilik darjah yang dikhaskan untuk berkhatan.

“Ketika dibaringkan, Mohd Faereez Rifqi mula cemas dan menjerit supaya tidak dikhatankan.

“Keadaan itu memaksa kami memegangnya dan Mohd Faereez Rifqi selamat dikhatankan walaupun terpaksa mengambi masa agak lama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program Berkhatan Beramai-ramai anjuran Kesatuan Rukun Tetangga (KRT) Simpang Kerayong, Jawatankuasa kemajuan dan Keselamatan Kampung serta Ahli Lembaga
Masjid Simpang Kerayong.

Mohd Haseri yang juga Naib Pengerusi KRT Simpang Kerayong berkata, biarpun program itu pertama kali dianjurkan, namun sambutannya begitu menggalakkan.

Program itu turut mendapat kerjasama dari Balai Bomba Daerah Jasin Bestari, Pasukan Perubatan Hospital Kem Trendak dan Pasukan Perubatan Hospital Besar Melaka.