Tiga beradik kembali sekolah – Sinar Harian


Tiga beradik kembali sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Mei 2013
Tiga beradik kembali sekolah
Tanaletchumy (kiri) mendengar luahan Sharifah Nora selepas ketiga-tiga anaknya kini kembali bersekolah selepas berhenti sejak setahun lalu.

PORT DICKSON – Keperitan hidup sebuah keluarga di Kampung Gelam, yang tidak mampu menghantar tiga daripada empat anaknya ke sekolah sejak setahun lalu berakhir selepas mendapat perhatian daripada calon Barisan Nasional (BN) Dun Port Dickson, Dr P Tanaletchumy.

Tanaletchumy berkata, selepas mengetahui masalah keluarga itu, beliau terus menghubungi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam.

“Hari ini (semalam) semua urusan bersama sekolah sudah dilakukan dan Isnin depan mereka boleh bersekolah semula sementara barang keperluan seperti uniform dan kasut sekolah akan sediakan,” katanya.

Menurutnya, hatinya tersentuh dengan kesempitan hidup keluarga tersebut kerana dia juga datang daripada keluarga sederhana.

“Saya juga dibesarkan dalam keluarga yang susah tetapi saya yakin, jika tiga beradik ini mempunyai semangat kental dan ada pihak memberi sokongan, mereka mampu mencapai kejayaan,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada tiga beradik tersebut, Sharifah Nora Mohd Saad, 27, berkata, dia sangat terharu dan gembira kerana anak-anaknya diberikan peluang untuk bersekolah.

“Terima kasih diucapkan kepada Dr Tana (Tanaletchumy) yang sudi membantu kami,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia sekeluarga tinggal di Palong, Jempol, namun berpindah ke Bangi pada 2011.

“Ketika itu, suami saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan anak-anak masih bersekolah di asrama Rumah Titian Kasih, Titiwangsa.

“Namun atas kesempitan hidup kami tidak dapat membayar rumah yang disewa dan terpaksa menumpang di rumah emak di Setapak kira-kira sebulan sebelum mengambil keputusan berpindah ke kawasan kampung,” katanya.

Sharifah Nora berkata, pada 2012, anak-anaknya yang bersekolah di Titian Kasih keluar dari rumah kebajikan berkenaan.

“Baru-baru ini, ada juga pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat datang mengambil maklumat keluarga dan berharap bantuan akan segera diluluskan,” katanya yang sarat mengandung enam bulan.

Katanya, dia yang tidak bekerja hanya bergantung kepada pendapatan suaminya, Hanip Hassan, 45, yang bekerja sebagai penjaga tandas awam di Stesen Bas Port Dickson.

JKM siasat remaja diseksa – Metro


JKM siasat remaja diseksa

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU PAHAT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan kini menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan empat remaja mendakwa diseksa di sebuah rumah perlindungan di Rembau, menyebabkan mereka melarikan diri, Selasa lalu.

Jurucakap JKM Negeri Sembilan berkata, setakat ini belum ada keputusan dibuat kerana siasatan masih dijalankan.
“Kami memerlukan masa mengumpul maklumat sebelum mengambil tindakan susulan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak), Mohammad Khairul Hafiz Abdullah berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap rumah perlindungan remaja terbabit jika dakwaan empat remaja itu benar.
Menurutnya, pihak diamanahkan menjaga remaja itu perlu melakukan tugas dengan ikhlas bagi mengelak perkara seperti ini berlaku.
“Kejadian seperti itu pernah terjadi sebelum ini di tempat dan lokasi berbeza, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pengurusan serta kakitangan rumah kebajikan terbabit.

 

“Penderaan ini adalah satu penganiayaan dan pencabulan hak remaja berkenaan. Jika dakwaan ini benar, kami akan mengambil tindakan undang-undang selain berusaha meminta mahkamah memberi kebenaran kepada pihak berkaitan membuat lawatan mengejut di rumah perlindungan terbabit,” katanya, semalam.
Menurut Khairul, lawatan mengejut itu bertujuan menyelami apa sebenarnya berlaku di situ selain berusaha memastikan kejadian dera dapat ditangani.

“Kami beranggapan tiba satu tahap untuk mewujudkan lembaga pelawat yang akan membuat pemeriksaan dan lawatan ke rumah perlindungan seperti ini bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini terjadi,” katanya.
Kelmarin, Harian Metro melaporkan, empat remaja mendakwa terpaksa melarikan diri kerana tidak tahan ditampar dan diterajang penghuni serta kakitangan rumah perlindungan remaja terbabit.

Peralat budak cemar Islam – Sinar Harian


Peralat budak cemar Islam
WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Jun 2012

Kanak-kanak perempuan dijadikan alat untuk meraih simpati orang ramai memberikan wang.
ALOR GAJAH – Kegiatan tidak bermoral sesetengah pihak mengeksploitasi kanak-kanak bagi mendapatkan wang dengan menjual barangan kepada orang awam dilihat semakin menular di daerah ini.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi sekitar Tol Simpang Ampang, Alor Gajah, Masjid Tanah dan Kuala Sungai Baru mendapati kebanyakan kanak-kanak ini muncul di kawasan berkenaan lengkap berbaju kurung dan berpenampilan sopan.

Kanak-kanak ini didapati mendekati orang awam yang lalu lalang tanpa mengira bangsa dan agama untuk mendapatkan wang melalui penjualan kitab selain tisu untuk meraih simpati.

Pengerusi Pegawai Syarak Negeri Melaka, Datuk Abu Khir Jamaluddin berkata, kegiatan segelintir golongan yang berkepentingan sendiri ini hanya mencalarkan imej agama Islam apabila mereka menggunakan kanak-kanak untuk meminta sedekah.

Menurutnya, sebagai manusia pastinya kita akan berasa simpati melihat kanak-kanak itu dipergunakan namun kita harus menilai ke mana perginya wang diberikan kepada mereka.

“Kanak-kanak ini diletakkan di hadapan pintu masuk bank utama ataupun stesen minyak seperti peminta sedekah.

“Itu bukan cara kita kerana dalam Islam, kita tidak pernah diajar mengutip derma dengan cara itu,” katanya.

Abu Khir yang juga Pengerusi Pegawai Syarak Negeri Melaka berkata, kerajaan bersedia memberikan peruntukan secukupnya untuk tujuan membina rumah kebajikan atau madrasah, sepatunya senario ini tidak wujud dalam kalangan orang Islam.

“Tindakan mereka yang hanya mahukan wang dengan jalan singkat hanya memberikan persepsi negatif penganut agama lain kerana mereka pasti akan membuat penilaian terhadap apa yang dilakukan kanak-kanak itu.

“Kadangkala mereka sediakan beberapa dokumen pengesahan yang difotostat, malah ada yang kelihatan tulen bagi meraih simpati orang lain,” katanya.

Malah katanya, tidak dinafikan masih terdapat individu yang tidak tahu bahawa cara yang dilakukan kanak-kanak ini adalah tidak benar kerana mereka mempergunakan nama sesebuah institusi malah menunjukkan bukti untuk meyakinkan orang yang menjadi sasaran.

“Sekiranya benar terdapat pihak yang memerlukan dana untuk tujuan kebajikan, mereka boleh memohon peruntukan daripada pihak kerajaan, bukan dengan memperalatkan kanak-kanak. Senario ini perlu dibanteras segera agar masyarakat tidak tertipu dengan sikap golongan yang mementingkan diri sendiri ini,” katanya.

Tuala mandi jadi punca kena buli – Sinar Harian


Tuala mandi jadi punca kena buli

SARINAH MAT KASIM
16 Mac 2012

SEREMBAN – Seramai sembilan pelajar yang dikenal pasti terlibat dalam kejadian membuli dan memukul seorang murid Tahun Satu, Faqrul Hakimi Mohd Kamarul­zaman, 7, pada awal bulan ini, sudah dikenakan tindakan.

Pengarah Jabatan Keba­jikan Masyarakat (JKM) negeri, Abdullah Hanapi berkata, semua pelajar dari sebuah sekolah menengah itu telah digantung persekolahan selama dua minggu, sejak seminggu lalu.

Katanya, mereka yang merupakan penghuni sama di rumah anak yatim di Taman England, Sikamat itu, bertindak agresif apabila tidak berpuas hati dengan cara Faqrul Hakimi menyidai tuala mandi.

“Selepas siasatan dibuat, kita dapati kejadian berlaku di rumah kebajikan tersebut dan antara punca utama kejadian adalah disebabkan sembilan pelajar senior ini tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang membuang air kecil di tuala mandinya dan tidak menyidainya dengan baik. Hanya kerana itu, mangsa dipukul dan dicederakan sehingga lebam seluruh badan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan tindakan tersebut, tujuh pelajar yang juga penghuni di Taman England, Sikamat itu, diambil tindakan gantung persekolahan selama dua minggu, manakala dua lagi dihantar pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

“Kami cuba berjumpa dengan mangsa dan ibunya untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian berkenaan namun gagal kerana mereka sudah pulang ke kampung di Jempol. Kami tidak dapat berjumpa dengan murid terbabit dan ibunya kerana tiada alamat lengkap,” katanya.

Abdullah berkata, rumah anak yatim berkenaan masih dalam proses pendaftaran dengan JKM berikutan terdapat beberapa dokumen belum lengkap.

Sinar Harian pada 6 Mac lalu, melaporkan seorang murid Tahun Satu trauma ke sekolah selepas dipercayai dipukul hingga menyebabkan seluruh anggota badannya cedera dan lebam.

Kejadian itu hanya disedari oleh ibunya pada 2 Mac lalu, kira-kira jam 7.30 petang selepas dia mengambil anaknya dari rumah anak yatim berkenaan.

I-Great Iqra’ untuk kanak-kanak – Kosmo


I-Great Iqra’ untuk kanak-kanak

 

Oleh JOHANNA A. SOBREY
johanna.sobrey@kosmo.com.my

 

MOHAMAD SALIHUDDIN (empat dari kanan) pada majlis pelancaran pelan takaful terbaharu, I-Great Iqra’ di Kuala Lumpur semalam.

 

KUALA LUMPUR – Orang ramai kini berpeluang membantu pendidikan kanak-kanak yang tidak berkemampuan melalui pelan takaful pendidikan yang diperkenalkan Great Eastern Takaful Sdn. Bhd. (GETSB), I-Great Iqra’.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GETSB, Mohamad Salihuddin Ahmad berkata, pelan tersebut membolehkan para dermawan mencarum untuk tujuan kebajikan bagi anak-anak yatim yang tinggal di rumah kebajikan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Selain menggalakkan usaha-usaha kebajikan di kalangan masyarakat, pelan ini juga dibuka kepada saudara-saudara terdekat untuk ahli keluarga mereka, seperti datuk untuk membantu pendidikan cucu atau ibu saudara untuk anak saudaranya.

“I-Great Iqra’ turut membantu ibu bapa memastikan masa depan yang lebih cerah kepada anak-anak mereka dengan memberikan nilai pelaburan yang tinggi dan perlindungan serta fleksibiliti untuk memenuhi keperluan ibu bapa,” katanya pada majlis pelancaran pelan tersebut di sini semalam.

Mohamad Salihuddin menambah, pelan itu juga menganugerahkan ganjaran kepada pemegang polisi untuk kecemerlangan dalam pendidikan.

“Kebanyakan ibu bapa tidak menyedari kos sebenar yang terlibat untuk menanggung keperluan dan perbelanjaan anak-anak yang sentiasa meningkat ekoran peningkatan kadar inflasi,

“Bagi mengurangkan bebanan ini, I-Great Iqra’ direka dengan komponen simpanan dan memberikan perlindungan takaful dalam menyediakan asas kukuh keperluan pendidikan anak-anak mereka di masa hadapan,” ujarnya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.