Kanak-kanak perempuan rentung, rumah kongsi terbakar – Utusan


Kanak-kanak perempuan rentung, rumah kongsi terbakar

LAHAD DATU 14 April – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun rentung manakala seorang lelaki melecur di badan apabila rumah kongsi yang mereka diami terbakar di Ladang Felda Sahabat 50, Tungku di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mohd. Apandi Mahmood berkata, mangsa, Mariani Baso dipercayai gagal menyelamatkan diri selepas terhidu asap tebal dalam kejadian pukul 9.30 malam itu.

“Selepas api dipadamkan, pasukan kami menemui mayat kanak-kanak perempuan terbabit dalam timbunan kayu yang terbakar di pintu pertama rumah kongsi tersebut.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kejadian itu turut menyebabkan seorang lelaki mengalami kecederaan akibat melecur di bahagian badan.