Lepasan SPM maut, adik parah motosikal dirempuh lori – Bernama


Lepasan SPM maut, adik parah motosikal dirempuh lori

4 April 2013

ALOR SETAR – Seorang remaja perempuan maut manakala adik lelakinya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah lori mengangkut tanah di Kampung Syed Ahmad, Pendang, hari ini.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, Nor Hasnita Abu Hassan, 18, dari Risda Bukit Perak, Pendang, maut di tempat kejadian, manakala adiknya Mohd Afiq Izani, 13, cedera di kepala dan patah paha kanan.

Menurut ibu mereka, Rosni Zainul, 52, kejadian berlaku ketika Nor Hasnita dalam perjalanan menghantar adiknya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Triang yang terletak tiga kilometer dari rumah mereka.

“Dia (Nor Hasnita) selepas habis SPM setiap hari keluar dari rumah pukul 6.40 pagi hantar adik ke sekolah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Nor Hasnita, anak kedua daripada tiga beradik itu dipercayai memasuki laluan bertentangan ketika mengelak sebatang pokok yang tumbang sebelum dirempuh lori terbabit.

Menurut Rosni, anaknya itu baharu sahaja menerima tawaran menyambung pengajian daripada sebuah universiti dan dijadual mendaftar pada Jun ini.

“Dia bercita-cita nak masuk universiti seperti kakaknya Nor Haniza, 22, dan mahu belajar dalam bidang Pelancongan dan mahu ke luar negara. Itu yang dia selalu idamkan sebelum ini,” katanya.

Mayat mangsa akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Syed Ahmad petang ini. – Bernama

Pelajar tingkatan 3 maut akibat renjatan elektrik – Bernama


Pelajar tingkatan 3 maut akibat renjatan elektrik

27 Februari 2013

KLANG – Seorang pelajar tingkatan tiga maut akibat terkena renjatan elektrik daripada sebuah kotak kabel pembekal elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Idris Shah Kapar di sini pada 1.15 tengah hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Mohammad Amirul Syafiq Halim, 15, disahkan meninggal dunia ketika dibawa oleh anggota polis untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kapar di sini.

Bapa mangsa, Halim Mohd Ismail, 38, berkata beliau dimaklum mengenai kejadian itu kira-kira 1.20 tengah hari.

“Saya difahamkan anak saya berada di kawasan itu sementara menunggu bas untuk pulang ke rumah yg terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Sebaik melintasi kotak itu arwah terkena renjatan elektrik serta terhenti dan berada dalam keadaan berdiri tegak,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa merupakan anak sulung daripada empat beradik dan bakal menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

“Arwah seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap. Kali terakhir saya bersembang dengannya pada 6 pagi tadi sebelum keluar pergi ke sekolah.

“Kami sekeluarga reda tapi berharap supaya pihak terbabit peka dan mengambil tindakan segera menutup kotak kabel elektrik bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Halim berkata, jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kapar petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pengurus Besar TNB Selangor, Datuk Mohd Azim Yusof ketika dihubungi berkata, pihaknya mendapati berlaku vandalisme pada kotak pembekal elektrik 33 kilo Volt (kV) berkenaan.

Beliau berkata pihaknya akan membaiki segera kotak itu dan kejadian berkenaan telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Tenaga.

“Kita telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian ini malah kami tidak menerima maklumat mengenai kerosakan itu dan berharap supaya orang ramai melaporkan sekiranya berlaku perkara yang sama,” katanya.

Pengarah Pelajaran Selangor Mahmud Karim berkata, pihaknya akan meminta sekolah berkenaan memohon pondok bas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kemudahan pelajar.

“Kita harap pihak berkenaan mengambil langkah sewajarnya supaya kejadian sama tidak berulang kerana ia bukan sahaja membahayakan pelajar sekolah tetapi juga orang awam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersedih dengan kejadian itu dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. – Bernama

Remaja lelaki sedih kehilangan Khadijah – Kosmo


Remaja lelaki sedih kehilangan Khadijah

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki yang mendakwa kekasih Siti Khadijah Muhammad, 16, yang ditemui mati terjatuh dari sebuah apartmen di Desa Pandan di sini tidak dapat menerima hakikat dia sudah kehilangan gadis itu.

Menerusi laman Twitter miliknya, remaja berusia 16 tahun yang dikenali sebagai Farid itu melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat berjumpa mangsa sebelum gadis itu meninggal dunia.

Remaja lelaki yang tinggal di Damansara Damai, Petaling Jaya itu turut mendakwa, ibu dan seorang adik perempuan mangsa menjadi punca gadis itu nekad keluar daripada rumah melalui tingkap.

Antara petikan yang ditulis dalam Twitter remaja lelaki itu: “Aku hidup sekarang sampai mati aku takkan maafkan korang berdua ****. Kalau korang bagi dia keluar aku rasa dia masih ada lagi.”

Selepas mendapat maklumat kekasihnya mati terjatuh daripada apartmen, remaja lelaki itu terus pergi Rumah Mayat Hospital Kuala Lumpur untuk menatap wajah kekasihnya itu.

Mengikut Twitter itu lagi, remaja berkenaan meluahkan, air matanya tidak berhenti mengalir selepas menatap wajah gadis pujaannya yang sudah tidak bernyawa di hospital.

Pada sebelah petang, remaja lelaki itu mengemas kini Twitter miliknya lagi dengan memberitahu, dia yang tiada wang memberanikan diri menaiki teksi ke rumah arwah kekasihnya untuk sama-sama membaca surah Yasin.

Sampai di apartmen tersebut, remaja itu memberitahu, dia bernasib baik kerana keluarga kekasihnya membayar wang tambang teksi.

Kemas kini pada pukul 8.30 malam tadi pula menyebut, dia berasa bersalah kerana kematian Khadijah dianggap mempunyai kaitan dengan dirinya.

“Aku rasa serba salahlah, dia meninggal sebab aku. Dia sanggup buat macam itu semata-mata nak jumpa dengan aku.”

Tinjauan Kosmo! di akaun Twitter remaja itu pada pukul 8.47 malam tadi mendapati akaun tersebut dibanjiri ucapan takziah pengikutnya yang berjumlah 3,390 orang yang rata-ratanya melahirkan rasa simpati terhadap nasib mangsa dan remaja lelaki itu.

Remaja itu bagaimanapun gagal dihubungi Kosmo! bagi mendapatkan komen mengenai kejadian itu.

Sementara itu, laman Facebook dan Twitter milik Khadijah sudah ditutup oleh keluarga mangsa.