Remaja hilang ditemui di Kulim
4 Mei 2013

Ibu Sarmila mengucapkan terima kasih kepada Chee Heng selepas anaknya yang hilang sejak 24 April berjaya ditemui semula di Kulim.
PUCHONG – Remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang selepas dilarikan dua lelaki tidak dikenali di Puchong pada 24 April lalu berjaya ditemui semula di Kulim Kedah, malam Rabu lalu.
Difahamkan, mangsa, C Sarmila Devi ditemui sepasang suami isteri di sebuah pondok bas selepas dia ditinggalkan dua lelaki berkenaan kira-kira jam 8 malam.
Keadaan mangsa yang mencurigakan dan menangis teresak-esak menyebabkan pasangan suami isteri itu memberhentikan kereta dan bertanya apa yang berlaku sebelum membawanya pulang ke rumah.
Selasa lalu, ibu remaja perempuan berkenaan, P Vijaya Barathy, 40, membuat aduan kepada Ketua Biro Aduan Puchong, Kuan Chee Heng berhubung kehilangan anak kedua daripada enam beradik itu.
Mangsa didakwa dilarikan sekumpulan lelaki menaiki kereta jenis Proton Wira berwarna hitam ketika sedang berehat di tempat kerjayanya di sebuah pasar raya di Bukit Puchong.
Sarmila berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, dia yang berada di bahagian belakang pasar raya berkenaan dirapati dua lelaki tidak dikenali.
Katanya, lelaki itu memaksanya masuk dalam kereta dan tidak sedar apa yang berlaku sehingga terjaga daripada pengsan, mendapati dia sudah berada dalam kereta. Jelasnya, lelaki itu menyuruhnya diam dan membawanyaberpusing-pusing melalui laluan lebuh raya sehinggalah ke sebuah rumah teres dua tingkat.
Di rumah teres itu, katanya terdapat seorang wanita dalam lingkungan umur 20-an yang didakwa turut mengalami nasib sepertinya.
“Selama dikurung, saya hanya diberi makan roti dan air mineral, saya juga dipukul, diikat sebelum dilepaskan di sebuah pondok bas semalam (Rabu lalu). Oleh kerana tidak tahu berbuat apa-apa saya hanya menangis sebelum sepasang suami isteri menghulurkan bantuan dan membawa saya pulang ke rumahnya.
“Selepas itu barulah saya dapat berhubung dengan emak dan dibawa pulang semula ke rumah dengan selamat,” katanya di pejabat Biro Aduan Puchong, kelmarin.
Ibu Sarmila, Vijaya berkata, dia bersyukur anaknya berjaya ditemui semula selepas hampir seminggu hilang tanpa khabar berita.
Dia mengucapkan terima kasih kepada pihak media, orang awam dan pihak polis yang memberi bantuan sehingga anaknya berjaya diselamatkan semula.
Sementara itu Chee Heng berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan memberi perlindungan kepada mangsa sebelum diserahkan kepada ibu bapanya semula dengan selamat.