‘Bas haram terkecuali’ – Metro


‘Bas haram terkecuali’

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Mohd Amin Jalil

Senawang: Skim Insurans Murid Sekolah (SIMS) yang dikendalikan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hanya membabitkan bas sekolah mempunyai lesen dan berdaftar dengan suruhanjaya itu manakala bas sekolah haram terkecuali daripada menerima faedah ditetapkan dalam skim itu.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, menerusi SIMS, pelajar sekolah rendah hingga menengah berpeluang mendapat perlindungan insurans membabitkan kematian akibat kemalangan sebanyak RM100,000; hilang keupayaan kekal sehingga RM100,000; bayaran perubatan sehingga RM3,000; manfaat hospital (RM100 sehari sehingga 30 hari) dan khairat kematian sebanyak RM2,500.
Katanya, skim perlindungan insurans itu yang yang dikendalikan Takaful Malaysia Berhad sudah mula berkuat kuasa 2 Januari lalu berterusan sehingga 1 Januari 2014 dan akan dilanjutkan jika mendapat peruntukan daripada kerajaan.

 

“Skim perlindungan insurans ini membabitkan murid di sekolah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dan menaiki atau menggunakan bas sekolah berlesen dengan SPAD di Semenanjung dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi Sabah dan Sarawak,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agong Kali Ke-3, Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Sekolah Daerah Seremban (PPBSDS), di sini, petang semalam..
Beliau berkata, ia meliputi kegunaan bas sekolah untuk aktiviti luar seperti rombongan, lawatan sambil belajar dan sebarang kurikulum tambahan yang disahkan oleh pihak sekolah, manakala bas sekolah tidak berdaftar dengan SPAD tidak layak menerima skim itu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

PELAKSANAAN SKIM INSURANS MURID SEKOLAH (SIMS) DI BAWAH SURUHANJAYA PENGANGKUTAN


PELAKSANAAN SKIM INSURANS MURID SEKOLAH (SIMS) DI BAWAH SURUHANJAYA PENGANGKUTAN

28 March 2013

Pelaksanaan Skim Insurans Murid Sekolah (SIMS) adalah program Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Program ini memberi skim perlindungan insurans kepada murid sekolah yang menggunakan bas/van sekolah yang berlesen dengan SPAD di seluruh Semenanjung Malaysia dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi Sabah dan Sarawak mulai 02 Januari 2013 sehingga 01 Januari 2014. Sila rujuk panduan lengkap pelaksanaan SIMS(SPAD), senarai skop perlindungan, amaun manfaat dan borang serta kaedah membuat tuntutan adalah seperti dilampirkan.

 

Muat Turun
Borang Tuntutan SIMS
Panduan Skim Insuran Murid Sekolah
Surat Makluman SPADS

Bahasa Inggeris Subjek Wajib Lulus SPM – mStar


Bahasa Inggeris Subjek Wajib Lulus SPM

Oleh STEPHANIE LEE

KOTA KINABALU: Bahasa Inggeris ditetapkan sebagai subjek wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila pelajar dan tenaga pengajar sudah bersedia, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, sementara bersedia untuk melaksanakannya, ibu bapa, guru dan pelajar harus bekerjasama untuk memperbaiki kualiti Bahasa Inggeris di negara ini.

Menurut beliau, walaupun sistem pendidikan di negara ini dianggap baik, lebih banyak perkara perlu dilakukan untuk mengangkat ia supaya setanding dengan negara lain.

“Kita harus berusaha dengan menjadikan sistem pendidikan di mana daya saing berada pada kelas dunia,” katanya selepas melancarkan Jelajah Guru Muda 1Malaysia di sini, Sabtu.

Beliau berkata, pendidikan antara penyumbang utama kepada pembangunan negara dan kualiti pembangunan modal insan manakala para guru memainkan peranan penting dalam memastikan matlamat direalisasikan.

“Ini suatu tugas yang amat penting yang dipikul oleh guru-guru. Sebab itu, kita mahu supaya peranan yang dipikul itu terus dipertingkatkan, diperkukuhkan lagi dan diperkuatkan lagi agar cita-cita kita untuk melahirkan atau generasi yang masyarakt Malaysia yang terdidik akan tercapai.

“Ini kerana dalam tempoh tinggal tujuh tahun lagi kita akan masuk dalam ambang penting dalam sejarah pembangunan negara iaitu menjadi sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri,” katanya.

Muhyiddin berkata meskipun bukan perkara mudah tetapi akan menjadi lebih mudah kalau ditanam iltizam, kesanggupan untuk memikul apa sahaja tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Guru tidak seperti penjawat awam yang lain, guru adalah kumpulan profesional kerana penjawat awam hanya menggunakan ilmu untuk melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan, tetapi guru menggunakan ilmu dan menurunkan ilmu kepada anak bangsa agar berjaya menghadapi masa depan yang lebih baik khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Sabah dan Sarawak merupakan sebuah negeri yang besar, penduduknya tidak berapa ramai tapi bertaburan di seluruh negeri dan tentunya perlukan suatu usaha yang lebih.

“Kalau di Semenanjung kita biasa ke sekolah untuk mendidik anak-anak dan tidak banyak halangan dan rintangan tetapi di Sabah dan Sarawak, guru-guru adalah guru-guru yang cekal dan berani, sanggup mengharungi sungai, jalan-jalan yang jauh berbatu-batu, berjam-jam lamanya dalam keadaan yang agak luar biasa,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan telah merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (2013-2025) dalam tiga gelombang dalam usaha meningkatkan daya saing negara ini dalam arena pendidikan.

“Apa yang kita akan lalui adalah suatu yang agak luar biasa. Banyak negara mencuba menjadi negara berjaya dalam bidang pendidikan tapi sebahagian kecil sahaja yang mampu mencapai, sebahagian besarnya gagal.

“Tetapi kita mengambil satu langkah berani kerana bagi kita tiada yang mustahil. Kalau Malaysia mahu menjadi sebuah negara maju, cemerlang dan hebat mahu bertanding sehingga ke peringkat antarabangsa setanding dengan negara gergasi dunia, maka sistem kita mesti sistem yang terbaik,” katanya.

RM500 juta baiki 1,608 sekolah rosak teruk – Utusan


RM500 juta baiki 1,608 sekolah rosak teruk

BATU PAHAT 18 Feb. – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500 juta sepanjang tahun ini bagi membaik pulih 1,608 sekolah di seluruh negara yang berada pada tahap rosak teruk serta dikhuatiri boleh membahayakan pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, peruntukan itu merupakan insentif pertama yang disalurkan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk membaik pulih sekolah-sekolah.

Menurutnya, kebanyakan sekolah yang tersenarai dalam kategori rosak teruk itu terletak di kawasan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak serta memerlukan pembaikan secepat mungkin.

“Semua sekolah di seluruh negara berada pada kategori ditetapkan seperti baik, sederhana, rosak kecil dan rosak teruk. Tetapi pada peringkat awal, kementerian memberi tumpuan untuk membaik pulih sekolah rosak teruk dahulu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130219/dn_07/RM500-juta-baiki-1608-sekolah-rosak-teruk#ixzz2LKxgaEzv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Prasarana pendidikan dipertingkat – Bernama


Prasarana pendidikan dipertingkat

SIBU 29 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan terus meningkatkan infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar seiring dengan penambahbaikan berterusan kualiti pendidikan negara.

Merujuk kepada situasi di Sarawak, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, antara menjadi tumpuan untuk ditingkatkan adalah bangunan sekolah, kuarters guru dan peralatan pembelajaran yang akan dilakukan secara berperingkat-peringkat sekali gus menolak tanggapan ada diskriminasi infrastruktur pendidikan di luar bandar.

”Ini semua kita akan lakukan (peningkatan infrastruktur pendidikan) dan kita komited terhadap perkara tersebut,” katanya pada Program Guru Muda 1Malaysia (GM1M) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, peningkatan infrastruktur di luar bandar tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana kedudukan geografi Sarawak yang besar yang memerlukan ia dilakukan secara sistematik.

Katanya, komitmen kerajaan Persekutuan terhadap pendidikan di luar bandar dibuktikan juga melalui pembentukan pelan transformasi sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kepentingan penduduk luar bandar.

Beliau menambah, mulai tahun ini, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan inisiatif yang selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) antaranya menilai 70,000 guru opsyen Bahasa Inggeris melalui Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dan guru yang tidak mencapai kemahiran ditetapkan diberi latihan tambahan separuh masa.

Mengenai cadangan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang turut berucap pada majlis yang sama supaya sekolah-sekolah vokasional yang menawarkan pendidikan peringkat sijil ditambah di Sarawak, Muhyiddin memberitahu, Kementerian Pelajaran bersedia mengkaji cadangan tersebut.

Terdahulu, Abdul Taib mencadangkan supaya sekolah-sekolah vokasional yang menawarkan pendidikan peringkat sijil ditambah di Sarawak namun subjek ditawarkan adalah berlainan dan mesti berdasarkan keperluan industri-industri berat di negeri ini. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130130/dn_09/Prasarana-pendidikan-dipertingkat#ixzz2JSdULqU4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Cuepacs mahu semua jenis elaun, insentif penjawat awam dikaji semula – Bernama


Cuepacs mahu semua jenis elaun, insentif penjawat awam dikaji semula

14 November 2012
logo cuepacs
Cuepacs

KOTA KINABALU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu semua jenis elaun dan insentif penjawat awam di seluruh negara termasuk imbuhan tetap perumahan dan bayaran insentif wilayah untuk Sabah dan Sarawak dikaji semula.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata perkara itu perlu memandangkan harga rumah dan kos sara hidup rakyat di negara ini semakin meningkat.

“Di mana-mana negeri, elaun tidak boleh dibeza-bezakan seperti dahulu sebab sekarang ini harga rumah dan kos sara hidup terlalu tinggi.

“Sebab itu Cuepacs menyuarakan supaya semua jenis elaun, insentif dan imbuhan tetap perumahan perlu dikaji semula bersama dengan kajian suruhanjaya transformasi perkhidmatan awam,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, di sini hari ini.

Omar berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pelbagai pihak agar elaun perumahan penjawat awam dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di semenanjung atau sebaliknya diseragamkan.

Beliau berkata pihaknya telah menyuarakan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan berharap JPA mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Misalnya kalau elaun perumahan di Sememanjung RM800, sini (Sabah/Sarawak) pun RM800, pasal rumah ini tiada (harga rumah) Sabah murah, Sarawak mahal dan sememanjung murah.

“Kita bimbang bila pekerja baru masuk, kalau gaji masih kecil, masalahnya mereka mahu tinggal di mana? Sewa mahal, beli rumah pun tidak mampu,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu akan menjejaskan produktiviti, tanggungjawab sosial dan keluarga kepada penjawat awam terutama yang baru bekerja.

Sementara itu, Omar berkata Cuepacs belum bersetuju mengenai cadangan Kementerian Kewangan untuk menjalin kerjasama dengan bank bagi menguruskan skim pinjaman perumahan penjawat awam. – Bernama

Sekolah bantuan kerajaan tidak dipinggir, kata Ka Siong – Bernama


Sekolah bantuan kerajaan tidak dipinggir, kata Ka Siong

16 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah menafikan hak mana-mana sekolah termasuk sekolah bantuan kerajaan untuk menerima peruntukan perbelanjaan mengurus, malah memberi bantuan mencukupi dan konsisten setiap tahun.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata kementerian juga sentiasa cuba mengimbangi keperluan antara sekolah, namun perlu memberi tumpuan lebih kepada sekolah daif terutama yang terletak di pedalaman Sabah dan Sarawak agar kerja-kerja baik pulih boleh diselesaikan segera.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hamim Samuri (BN-Ledang) di Dewan Rakyat, di sini hari ini, yang mahu tahu kedudukan sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) memandangkan banyak desakan yang menuntut pembelaan kepada sekolah persendirian mutakhir ini.

Mengulas lanjut, Wee berkata sebanyak RM500 juta telah dibelanjakan bagi membaik pulih lebih 8,000 SK dan SMK pada tahun ini dengan RM400 juta lagi diperuntukkan untuk tahun depan.

Menjawab soalan tambahan Wong Ho Leng (DAP-Sibu) sama ada kerajaan bercadang memberi peruntukan tahunan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta Sekolah Mubaligh, Wee berkata bantuan itu diberi secara sistematik sejak tahun 2009 lagi.

“Pada 2009, kita beri SJKC RM50 juta dan SJKT RM50 juta. Disusuli RM50 juta lagi masing-masing untuk kedua-dua jenis sekolah itu tiga bulan kemudian.

“Semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-10, sebanyak RM70 juta peruntukan keseluruhan diberi kepada SJKC dan SJKT bagi tahun 2011-2012,” kata Wee.

Katanya kerajaan telah menambah sebanyak RM100 juta lagi tahun ini untuk memenuhi beberapa keperluan mendesak, manakala RM100 juta diperuntukkan bagi tahun 2013.

Menjawab soalan asal Wong, Wee berkata 60 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina yang ada di negara ini merupakan institusi pendidikan swasta dan tidak terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pelajaran termasuk penyediaan peruntukan. – Bernama

Fokus tingkat kualiti pendidikan negara – Utusan


Fokus tingkat kualiti pendidikan negara

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Kementerian Pelajaran yang menerima peruntukan terbesar iaitu RM38.7 bilion dan tambahan RM500 juta untuk Pelan Pembangunan Pendidikan akan memberi fokus kepada pembangunan profesionalisme guru serta membina prasarana sekolah secara meluas di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu penting bagi memastikan usaha kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan negara mencapai objektif ditetapkan apatah lagi mulai 2013, gelombang pertama Pelan Pembangunan Pendidikan akan bermula.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, melalui fokus pembangunan tersebut, bukan sahaja kualiti guru dan kemudahan infrastruktur dapat ditingkatkan tetapi lebih penting, pelajar yang dilahirkan mempunyai daya pemikiran tinggi.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluluskan satu peruntukan yang besar kepada Kementerian Pelajaran. Ia peruntukan terbesar kerana merangkumi 21 peratus daripada keseluruhan Bajet 2013.

“Melalui peruntukan ini, kita akan meneruskan usaha-usaha meningkatkan mutu pendidikan dengan sejumlah RM500 juta akan digunakan khusus untuk meningkatkan kualiti profesionalisme guru selaras dengan gelombang pertama Pelan Pendidikan Nasional yang bermula pada 2013.

“Saya juga telah membuat perancangan teliti untuk membangunkan sekolah dan prasarana sekolah secara meluas di seluruh negara terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pelan pembangunan Kementerian Pelajaran selepas kementerian itu menerima peruntukan terbesar berjumlah RM38.7 bilion beserta tambahan RM500 juta.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran juga akan membuat kajian baru bagi melihat bagaimana sistem pengagihan peruntukan untuk 2013 bakal dibuat.

“Melalui kajian baru nanti mungkin kita akan melihat di mana sekolah diperlukan, di situ sekolah akan dibangunkan dan di mana kekurangan bilik darjah, di kawasan itu kita akan memberi perhatian khusus,” ujarnya.

PM lancar cawangan pertama Kedai Buku 1Malaysia – Bernama


PM lancar cawangan pertama Kedai Buku 1Malaysia

22 September 2012

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Kedai Buku 1Malaysia yang pertama di Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur di sini.

Kedai itu merupakan kedai utama dengan beberapa cawangan lain bakal dibuka di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Orang ramai berpeluang membeli bahan bacaan terbitan tempatan dan luar negara selain alat tulis pada harga lebih kompetitif berbanding harga pasaran.

Kedai Buku itu bertempat di tingkat satu, diharap dapat menyubur budaya membaca di kalangan rakyat dan berfungsi sebagai ‘game changer’ dengan bertindak sebagai pemangkin penyatuan antara kaum.

Selain menawarkan produk buku, kedai itu juga membekalkan keperluan sekolah, perpustakaan serta aktiviti pertemuan bagi penulis dan penerbit tempatan. – Bernama

Mosti kerjasama dengan Kementerian Pelajaran jayakan Pelan Pembangunan Pendidikan – Bernama


Mosti kerjasama dengan Kementerian Pelajaran jayakan Pelan Pembangunan Pendidikan

15 September 2012

KUCHING – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedia bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025).

Menterinya Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pelajaran bagi mengenal pasti keperluan yang boleh disediakan kepada sekolah yang memerlukan bantuan serta sokongan daripada MOSTI.

“Untuk sekolah di pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak memang memerlukan  teknologi seperti wifi ataupun sistem solar untuk membekalkan tenaga elektrik dan MOSTI boleh berbincang untuk mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian Karnival Sains dan Inovasi Zon Sarawak di sini hari ini.

Maximus berkata MOSTI juga akan terus giat mempromosikan bidang sains dan teknologi kepada generasi muda melalui beberapa program yang telah dan akan dilaksanakan.

Katanya program seperti karnival sains dan inovasi di seluruh negara itu boleh mendekatkan lagi rakyat khasnya golongan muda dalam bidang tersebut melalui beberapa aktiviti perkongsian ilmu berasaskan sains, kreativiti dan inovasi. – Bernama