16 September 1963 bermulanya sebuah negara – AstroAwani


16 September 1963 bermulanya sebuah negara

 Aizat Sharif| Kemas kini: September 16, 2013

email
comments
KUALA LUMPUR: Malaysia ditubuhkan secara rasmi pada tanggal 16 September 1963 dimana dalam penubuhan negara ini ianya telah melibatkan gabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah).

Menyorot kembali perjalanan pembentukan Malaysia pada 50 tahun yang lalu, ianya bermula apabila Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam ucapannya di depan Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961 telah membayangkan penubuhan sebuah negara yang melibatkan gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah.

Penganalisis sejarah dan Pensyarah kanan Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Profesor Dr Ahmad Murad Merican menjelaskan bahawa kerjasama gabungan ini lebih merupakan kepada satu bentuk kerjasama dari segi politik dan ekonomi dan ianya juga sebagai satu langkah untuk menyekat pengaruh komunis yang dilihat semakin menular dan menjejaskan kestabilan politik.

“Selain itu, pembentukan Malaysia juga adalah untuk menyeimbangkan populasi kaum yang berada di Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Persekutuan Tanah Melayu mempunyai majoriti penduduk kaum Melayu diikuti Cina, India dan lain-lain manakala di Singapura pula, jumlah kaum Cina begitu ramai dan tindakan Tunku membawa Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Brunei untuk membentuk Malaysia itu juga sedikit sebanyak menyeimbangkan populasi kaum yang ada di Malaysia dimana kebanyakkan penduduk di sana adalah kaum Bumiputera yang terdiri dari etnik Iban, Kadazan, Murud, Bajau dan lain-lain lagi,” kata Ahmad Murad.

Tambah beliau, pada awalnya Sarawak dan Borneo Utara menolak cadangan tersebut kerana tidak yakin akan pembentukan Malaysia ini akan mampu memberi jaminan kepada mereka untuk pemerintahan sendiri.

“Namun setelah diberi jaminan mereka akhirnya bersetuju untuk menyertai gagasan ini membentuk Malaysia,” katanya lagi.

Pada 17 Januari 1962, sebuah suruhanjaya telah ditubuh dan dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold.

Fungsi suruhanjaya ini ialah untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri yang terlibat dalam pembentukan Malaysia dan ianya diwakili oleh lima anggota dan dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil Kerajaan British, Sir Anthonv Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Mohamed Ghazali Shafie H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Pandangan dan pungutan suara atau dipanggil referendum telah dilakukan dari Februari hingga April tahun yang sama.

“Berbagai-bagai pihak seperti parti-parti politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan, pemimpin kaum dan bermacam-macam lagi telah diminta pandangan mereka kerana suara mereka adalah penentu kepada samada rancangan ini akan menjadi atau tidak,” katanya lagi.

Dari referendum itu, 80 peratus bersetuju dengan pembentukan gagasan itu dan pada 21 Jun 1962, laporan tersebut diserahkan kepadaan kerajaan British.

Kesepakatan akhirnya dicapai antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Perdana Menteri Britain, Harold Macmillan untuk mengadakan sebuah rundingan di London.

Selama dua minggu rundingan itu berlangsung sebelum satu perjanjian ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London pada 9 Julai 1963 dan telah ditandatangani oleh wakil-wakil Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Lord Landsdowne, Harold Macmillan dan Ducan Sandys mewakili Kerajaan Britain sementara Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Tan Siew Sin, Tun V.T Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr Lim Swee Aun mewakili Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Wakil Sabah pula terdiri daripada Datu Mustapha Datu Harun, Tun Mohammad Fuad Stephens, W.K.H Jones, Khoo Siak Chiew, W.S Holley dan G.D Sundang manakala P.E.H Pike, Temenggung Jugah a/k Barieng, Datu Bandar Abang Haji Mustapha, Ling Beng Siew dan Datu Abang Haji Openg mewakili Sarawak.

Singapura pula mewakilkan Lee Kuan Yew dan Goh Keng Swee.

Kedua-dua negara bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama pada 12 Julai 1963 iaitu Kerajaan British bersetuju menyerahkan kedaulatan Sabah, Sarawak dan Singapura kepada Kerajaan Malaysia dan Malaysia akan ditubuhkan pada 31 Ogos, 1963.

Walaupun perancangan sebenar pengisytiharan akan dibuat pada 31 Ogos 1963, majlis tersebut terpaksa ditangguhkan.

Lawrence Michelmore selaku wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengadakan tinjauan pandangan penduduk Sabah dan Sarawak.

Pada 14 September 1963, laporan telah dikeluarkan yang mengesahkan majoriti penduduk negeri tersebut menyokong penyertaaan dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Justeru, pada 16 September 1963, gagasan tersebut telah menjadi kenyataan dan lahirlah sebuah persekutuan yang dikenali sebagai Malaysia.

Pengisytiharan tersebut telah dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Upacara membaca deklarasi penubuhan Malaysia itu telah dilakukan di hadapan Yang Di Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, dan Sabah.

Pengisytiharan yang sama juga turut dilakukan serentak di Jesselton (Kota Kinabalu), Kuching dan Singapura yang dihadiri pemimpin negeri masing-masing iaitu Tun Mohammad Fuad Stephens, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan Lee Kuan Yew.

Namun, pada tahun 1965, disebabkan beberapa masalah politik dalaman yang melanda antara Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura, Singapura telah menarik diri dari Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara Republik.

Malaysia@50

Berita mula diterbitkan pada: September 16, 2013 08:30 (MYT)

JADUAL PENERBANGAN PENEMPATAN GURU J-QAF AMBILAN 2012 BAGI TAHUN 2013


JADUAL PENERBANGAN PENEMPATAN GURU J-QAF AMBILAN 2012 BAGI TAHUN 2013

15 September 2013

Maklumat Penerbangan ke Sabah, Sarawak dan WP Labuan akan dimaklumkan di laman web KPM dari semasa ke semasa.
 
Pendaftaran di Hotel Sama-Sama KLIA ialah sehari sebelum tarikh penerbangan pada jam 3 petang.
 
Terima kasih.
LAMPIRAN:
 
Jadual penerbangan ke Sabah, Sarawak dan WP Labuan, danpendaftaran (check in) Hotel Sama-Sama KLIA.
 Muat Turun(fail pdf)

Syarat jadi guru terpaksa diketatkan, kata menteri – Sinar Harian


Syarat jadi guru terpaksa diketatkan, kata menteri
NIZAM ZAIN
10 September 2013
  • BICARA MINDA: IDRIS JUSOH
< 1 / 1 >
SHAH ALAM – Demi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 tercapai, kerajaan perlu mengambil langkah tegas dalam soal kelayakan mereka yang bakal bergelar pendidik.
“Syaratnya sekarang sekurang-kurangnya 7A di Semenanjung dan Sabah Sarawak 5A.
“Guru akan jadi kerjaya hebat pada masa akan datang,” kata menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh pada program Bicara Minda yang bertajuk, ‘Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia-Satu Perspektif’ di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, di sini hari ini.
Kementerian Pendidikan menetapkan hanya 30 peratus sahaja calon terbaik untuk menggalas tanggungjawab sebagai guru.
Beliau berkata demikian mengulas lanjut langkah kerajaan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus dalam SPM menjelang 2015 sekali gus membidas kritikan pedas sesetengah pihak yang mempertikaikan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Tambah Idris lagi, syarat pengambilan guru itu terpaksa diperketatkan bagi memastikan matlamat kerajaan menjadikan sekolah tempatan sebagai satu pertiga terbaik di dunia tercapai menjelang 2025.

“Setiap tahun setiap menteri akan membentangkan laporan tahunan dan prestasi kementerian masing-masing termasuk Kementerian Pendidikan agar pelan pendidikan agar berjalan dengan baik dan boleh dilihat oleh rakyat pada akhir tahun.

“Pada 2015, kementerian akan membuat kajian semula pelan pendidikan yang telah berjalan sebelum membolehkan kita menjadikan sekolah kita satu pertiga terbaik di dunia,” jelasnya.

Selain mengenakan syarat yang ketat, pengenalan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) di peringkat sekolah juga akan membantu kerajaan mempercepatkan proses untuk mencapai matlamat itu yang tidak lagi bergantung kepada mata pelajaran sebaliknya keupayaan pelajar untuk berfikir dapat diterapkan.

TPM umum tujuh teras transformasi pendidikan pedalaman Sabah, Sarawak – Utusan


TPM umum tujuh teras transformasi pendidikan pedalaman Sabah, Sarawak

Oleh HISYAMUDDIN AYUB

BELURAN 18 April – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan tujuh teras utama dalam Pelan Transformasi Pendidikan Sekolah Pedalaman Sabah dan Sarawak.

Antara teras tersebut ialah meningkatkan kualiti kepimpinan dan kemahiran mengurus, infrastruktur fizikal, akses Internet dan persekitaran pembelajaran maya – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130418/dn_20/TPM-umum-tujuh-teras-transformasi-pendidikan-pedalaman-Sabah-Sarawak#ixzz2QnhfHGD9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pantau anak guna komputer riba – Sinar Harian


Pantau anak guna komputer riba

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Februari 2013
Pantau anak guna komputer riba
Azalina (tengah) merakam gambar bersama penerima Notebook 1 Malaysia di Dewan Bandar Penawar.

BANDAR PENAWAR – Golongan ibu bapa diminta sentiasa memantau dan mengawasi anak masing-masing dalam penggunaan komputer supaya kemudahan berkenaan tidak disalah gunakan.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pemberian komputer riba 1Malaysia yang diberikan kerajaan bertujuan untuk membolehkan masyarakat khususnya generasi muda mencari maklumat dengan cara lebih mudah dan bukannya melakukan perkara sebaliknya.

Menurutnya, jika dahulu pelajar terpaksa pergi ke perpustakaan semata-mata untuk mencari bahan ilmu, namun kini golongan muda dipermudahkan dengan hanya menggunakan sebuah gajet yang kecil.

“Dengan adanya bantuan komputer riba 1Malaysia ini, anak-anak juga boleh mendapatkan ilmu bergerak malah boleh dibawa ke mana-mana sahaja.

“Bagaimanapun, setiap benda ada baik dan buruknya.

“Oleh itu kita harap ibu bapa dapat memantau anak-anak dalam penggunaan teknologi ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Komputer Riba 1Malaysia di Dewan Bandar Penawar, di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, seramai 660 penerima dari lapan buah sekolah dalam kawasan Parlimen Pengerang menerima bantuan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Azalina turut menegur pihak tertentu supaya tidak bercakap mengenai soal politik jika tidak benar-benar memahami mengenai perkara itu.

Katanya, politik memberi kesejahteraan kepada rakyat dan bukannya mendatangkan kesengsaraan.

Beliau turut menyelar tindakan pembangkang yang sering memburuk-burukkan isu projek pembangunan di Pengerang hanya kerana modal politik dan meraih undi rakyat.

“Seperti mana projek pembangunan Pengerang yang bakal memberi manfaat kepada penduduk, ia bukanlah projek asing bagi negara ini. Projek minyak dan gas di Pengerang sudah ada di merata tempat dalam negara kita antaranya Sabah, Sarawak, Kerteh, Terengganu dan lain-lain tempat.

“Salahkah jika Umno hendak bawa pembangunan di Pengerang? Ketika Pengerang tidak mempunyai kemudahan dan pembangunan seperti mana yang ada sekarang, mengapa pihak pembangkang tidak memperjuangkan, sebaliknya baru kini mereka hendak bercakap soal perjuangan?,” katanya.

Azalina turut meletakkan keyakinan bahawa calon pembangkang yang dikhabarkan bakal bertanding di Pengerang akan kalah malah percaya akan menyokong Umno selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Cuepacs mahu semua jenis elaun, insentif penjawat awam dikaji semula – Bernama


Cuepacs mahu semua jenis elaun, insentif penjawat awam dikaji semula

14 November 2012
logo cuepacs
Cuepacs

KOTA KINABALU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu semua jenis elaun dan insentif penjawat awam di seluruh negara termasuk imbuhan tetap perumahan dan bayaran insentif wilayah untuk Sabah dan Sarawak dikaji semula.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata perkara itu perlu memandangkan harga rumah dan kos sara hidup rakyat di negara ini semakin meningkat.

“Di mana-mana negeri, elaun tidak boleh dibeza-bezakan seperti dahulu sebab sekarang ini harga rumah dan kos sara hidup terlalu tinggi.

“Sebab itu Cuepacs menyuarakan supaya semua jenis elaun, insentif dan imbuhan tetap perumahan perlu dikaji semula bersama dengan kajian suruhanjaya transformasi perkhidmatan awam,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, di sini hari ini.

Omar berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pelbagai pihak agar elaun perumahan penjawat awam dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di semenanjung atau sebaliknya diseragamkan.

Beliau berkata pihaknya telah menyuarakan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan berharap JPA mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Misalnya kalau elaun perumahan di Sememanjung RM800, sini (Sabah/Sarawak) pun RM800, pasal rumah ini tiada (harga rumah) Sabah murah, Sarawak mahal dan sememanjung murah.

“Kita bimbang bila pekerja baru masuk, kalau gaji masih kecil, masalahnya mereka mahu tinggal di mana? Sewa mahal, beli rumah pun tidak mampu,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu akan menjejaskan produktiviti, tanggungjawab sosial dan keluarga kepada penjawat awam terutama yang baru bekerja.

Sementara itu, Omar berkata Cuepacs belum bersetuju mengenai cadangan Kementerian Kewangan untuk menjalin kerjasama dengan bank bagi menguruskan skim pinjaman perumahan penjawat awam. – Bernama

Muhyiddin: Kerajaan akan lancar tranformasi pendidikan pribumi Sabah, Sarawak – Bernama


Muhyiddin: Kerajaan akan lancar tranformasi pendidikan pribumi Sabah, Sarawak

7 September 2012
TPM: Kerajaan sedia 3.3 juta pekerjaan menjelang 2020
Tan Sri Muhyiddin Yassin.

LANGKAWI – Kerajaan akan melancarkan program transformasi pendidikan khas bagi masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak dalam usaha meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan masyarakat di negeri itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan menyedari tidak boleh menggunakan formula yang sama untuk semua pihak kerana ada masyarakat yang memerlukan tumpuan dan perhatian tertentu.

“Tak boleh sama, kaum-kaum minoriti, sub etnik perlu program khusus. Akan ada satu program dilancarkan untuk kepentingan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Langkawi di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan telah melancarkan program tranformasi pendidikan anak-anak Orang Asli yang dilakukan di Pahang.

“Kita mahu atasi masalah ketidakhadiran ke sekolah, keciciran dan prestasi pembelajaran rendah supaya tahap pendidikan anak-anak Orang Asli dapat ditingkatkan,” katanya.- Bernama

Guru dari Sabah, Sarawak tertekan isu elaun – Berita Harian


Guru dari Sabah, Sarawak tertekan isu elaun
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/06/12

KESATUAN Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Jawatankuasa Bersama, Persatuan Guru Sabah dan Sarawak menggesa pihak pengurusan sekolah menyelesaikan segera isu guru dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung gagal menikmati pelbagai imbuhan.

Segelintir guru terbabit mendakwa mereka masih belum dibayar elaun ditetapkan Kementerian Pelajaran yang didakwa berpunca kegagalan pembantu tadbir sekolah menjalankan tugas dengan dedikasi.
Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata guru terutama yang berkhidmat di bandar gagal menikmati kemudahan seperti Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), Elaun Perpindahan Wilayah (EPW) dan Elaun Sara Hidup (COLA), tertekan berikutan kos sara hidup yang tinggi.
Seorang guru mendakwa secara sinis seorang ketua kerani di sekolah tempatnya bertugas menyindir beberapa guru dari Sabah dan Sarawak dengan membangkitkan sentimen orang Borneo yang berkhidmat di Malaysia tidak seharusnya meminta yang bukan-bukan. Katanya, keadaan ini dikhuatiri menyebabkan mereka gagal menumpukan perhatian kepada amanah mendidik yang dengan sendirinya menjejaskan prestasi akademik sekolah terbabit.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak sekolah mengambil tindakan segera membela nasib pendidik termasuk memastikan kerani atau pembantu tadbir menunaikan amanah mengurus dokumen kepada pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dengan segera.

“Kerani di sekolah asal guru berkenaan juga hendaklah melengkapkan dokumen mengenai pendidik terbabit bagi memudahkan sekolah baru mereka menguruskan penyaluran kemudahan elaun berkenaan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Baru-baru ini, akhbar ini menyiarkan mengenai ada guru dari Sabah dan Sarawak yang berpindah ke Semenanjung gagal menikmati pelbagai kemudahan elaun iaitu elaun gangguan, ITP, EPW dan COLA selepas lebih setahun bertukar.
Elaun Gangguan sepatutnya dinikmati pada tempoh tiga bulan selepas berpindah, namun belum dinikmati pada tempoh setahun enam bulan serta lebih malang mereka gagal menikmati kemudahan lain termasuk bonus tahunan.

Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana menjadi tanggungjawab pentadbir menguruskan segala urusan berkaitan elaun dengan kadar segera dengan mengetepikan sentimen kenegerian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bersama, Persatuan-Persatuan Guru Sabah dan Sarawak, William Gani Bina, berkata pihaknya mengharapkan sekolah mengambil perhatian serius termasuk memantau tugas kerani yang gagal menjalankan amanah ini.

Katanya, jika kerani gagal menunaikan amanah, Pengetua dan Guru Besar hendaklah bertindak membela guru terbabit dengan membawa masalah mereka kepada pengetahuan pihak PPD dengan segera.

Seorang guru mendakwa secara sinis seorang ketua kerani di sekolah tempatnya bertugas menyindir beberapa guru dari Sabah dan Sarawak dengan membangkitkan sentimen orang Borneo yang berkhidmat di Malaysia tidak seharusnya meminta yang bukan-bukan.

“Negara kita sudah 55 tahun merdeka tahun ini, ibarat seorang penjawat awam yang berada di ambang persaraan, namun masih ada rakyat negara ini yang kolot dan bersikap kenegerian,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

ORIENTASI PENEMPATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH DG41 (SEKOLAH RENDAH) YANG TELAH TAMAT MENGIKUTI SARJANA MUDA PENDIDIKAN DAN DITEMPATKAN DI SABAH/SARAWAK/WP LABUAN


ORIENTASI PENEMPATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH DG41 (SEKOLAH RENDAH) YANG TELAH TAMAT MENGIKUTI SARJANA MUDA PENDIDIKAN DAN DITEMPATKAN DI SABAH/SARAWAK/WP LABUAN

Sukacita dimaklumkan bahawa maklumat ORIENTASI PENEMPATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH DG41 (SEKOLAH RENDAH) YANG TELAH TAMAT MENGIKUTI SARJANA MUDA PENDIDIKAN DAN DITEMPATKAN DI SABAH/SARAWAK/WP LABUAN adalah seperti lampiran yang di bawah.
Lapor Diri dan Majlis Orientasi

Tarikh   : 23 Mei 2012 (RABU)

Masa     : 09.00 pagi

Tempat : Dewan Serbaguna, Kementerian Pelajaran Malaysia

Aras 9, Blok E12, Kompleks E,

62604 WP Putrajaya
Sebarang masalah berkaitan perkara ini, mohon rujuk Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (Sektor Rendah) 03 88830649/             03 88830651      .

PERMOHONAN BARU BIASISWA KECIL PERSEKUTUAN (BKP) DAN BIASISWA KELAS PERSEDIAN UNIVERSITI (BKPU) 2012


PERMOHONAN BARU BIASISWA KECIL PERSEKUTUAN (BKP) DAN BIASISWA KELAS PERSEDIAN UNIVERSITI (BKPU) 2012

Pengumuman:

Permohonan baru Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) dan Biasiswa Kelas Persedian Universiti (BKPU) 2012 akan bermula seperti tarikh di bawah :

i) Zon 1(Sabah, Sarawak, WP Labuan, Kelantan, Terengganu)      :  23 hingga 29 April 2012
ii) Zon 2(Selangor, Johor, Pahang, Melaka, WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Sekolah Berasrama Penuh)  :  30 April hingga 6 Mei 2012

iii) Zon 3 (Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan)   : 7 hingga 13 Mei 2012

Sekolah-sekolah boleh mengakses ke sistem permohonan tersebut melalui http://apps.moe.gov.my/biasiswa/ .