Remaja dirogol selepas dipaksa minum arak – Sinar Harian


Remaja dirogol selepas dipaksa minum arak

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Julai 2013
 Noor Mushar Muhammad
Superintendan Noor Mushar Muhammad

SABAK BERNAM – Seorang pelajar tingkatan dua bukan saja dipaksa meneguk minuman keras, malah dirogol seorang lelaki dan dicabul seorang lagi rakannya dalam kejadian di sebuah rumah di daerah ini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, suspek masing-masing berusia 21 tahun itu dikatakan menodai pelajar perempuan berusia 14 tahun itu selepas mendapati mangsa dalam keadaan mabuk dan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa yang berasal dari Ampang itu dipercayai mengikuti kedua ibu bapanya pulang ke kampung untuk menghadiri majlis kenduri.

“Kejadian itu dipercayai berlaku, sewaktu ibu mangsa menyuruh mangsa bersama seorang sepupu lelakinya berusia 13 tahun itu menghantar lauk kenduri di rumah jiran, bagaimanapun, mangsa tidak pulang ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kedua ibu bapa mangsa yang bimbang anaknya tidak pulang ke rumah bertindak mencari mangsa di rumah jiran bersama suaminya dan menemui sebuah motosikal yang digunakan anaknya itu.

“Ibu bapa mangsa memaklumkan kejadian itu kepada orang kampung dan seorang daripada mereka memberitahu ternampak kelibat tiga lelaki membawa anak dan anak saudaranya itu menaiki sebuah kereta,” katanya.

Noor Mushar berkata, setelah puas mencari selama dua jam akhirnya penduduk kampung menemui sebuah kereta yang dipercayai digunakan suspek untuk membawa kedua-dua sepupu berkenaan.

“Sebaik saja masuk ke dalam rumah terbabit, ibu bapa mangsa terkejut apabila mendapati anaknya tidur dalam keadaan separuh bogel dalam sebuah bilik bersama tiga lelaki terbabit sementara sepupunya itu berada di depan ruang tamu rumah.

“Ibu mangsa yang melihat keadaan itu segera mengejutkan anaknya dan mangsa telah membuat pengakuan seorang daripada suspek bertindak merogolnya dan memaksanya mengambil minuman keras,” katanya.

Beliau berkata, ibu mangsa yang berang dengan perbuatan durjana suspek telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Abang kandung rogol adik – Sinar Harian


Abang kandung rogol adik

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 November 2012
Noor Mushar Mohamad
Noor Mushar Mohamad

SABAK BERNAM – Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun terpaksa melalui detik hitam dipercayai dirogol abang kandungnya  berusia 14 tahun ketika masih tinggal serumah, pertengahan tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, ibu bapa mereka dalam proses perceraian dan mangsa anak kedua daripada lima beradik menetap bersama ibunya di Sabak Bernam.

“Mangsa menyembunyikan perkara tersebut kerana bimbang sikap ayahnya yang panas baran.

“Hanya selepas ibu dan bapanya duduk berasingan, mangsa berani mendedahkan kejadian itu kepada ibunya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Noor Mushar, sejurus pendedahan dilakukan, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Sabak Bernam, kira-kira jam 3 petang, Jumaat lalu.

“Berikutan itu, polis berjaya menahan suspek di rumah ayahnya dekat Sekinchan, sekitar jam 3 petang, keesokannya.

“Suspek bawah umur itu dipercayai melakukan perkara terkutuk berkenaan ketika ibu dan bapa tiada di rumah atas urusan kerja,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang sebelum ini kanak-kanak periang dipercayai mengalami kemurungan selepas kejadian berkenaan.

“Kejadian itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan suspek adalah anak sulung dan sepatutnya menjadi contoh serta pelindung kepada mangsa,” katanya.

Pelajar maut dirempuh guru – Sinar Harian


Pelajar maut dirempuh guru

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 September 2012
Pelajar maut dirempuh guru
Keadaan motosikal mangsa setelah bertembung dengan Toyota Innova, semalam.

SABAK BERNAM – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bedena menemui ajal setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung kenderaan dipandu seorang guru, di Jalan Lama Kuala Selangor, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal EX-5 dalam perjalanan ke sekolah, di Sungai Besar.

“Pemandu kereta Toyota Innova dari arah bertentangan menuju Simpang Lima gagal mengelak lalu merempuh motosikal mangsa yang secara tiba-tiba masuk ke laluannya.

“Mangsa, Muhammad Fiqri Mohd Kassim, 17, maut serta merta di tempat kejadian dipercayai cedera parah di kepala kerana hentakan di cermin hadapan kereta,” katanya.

Menurut Mushar, pemandu yang bertugas di Sekolah Menengah Simpang Lima difahamkan dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.

“Pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan dan tampil membuat laporan sejurus kejadian tersebut.

Bagaimanapun, kita masih belum menerima laporan daripada keluarga mangsa yang maut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat,”
katanya.

Sementara itu, guru berkenaan, Huwaibatul Aslamiah Khodari,34, berkata, dia dalam perjalanan ke sekolah terkejut apabila motosikal berkenaan memasuki laluannya secara tiba-tiba.

“Saya cuba mengelak namun tidak sempat kerana jarak motosikal berkenaan begitu hampir menyebabkan kami bertembung,” katanya.

“Saya bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebaliknya hanya bahagian hadapan kereta sahaja yang rosak,” katanya.

Abang masuk lubuk pusar – Metro


Abang masuk lubuk pusar

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KUBU BHARU: “Saya hanya mampu melihat abang tenggelam dan timbul tanpa mampu memberi pertolongan,” kata Mohamad Fakhrurazi Mohamad Sahiful Nahar, 11, menceritakan detik cemas melihat abang sulungnya, Mohamad Baihaqi, 15, lemas ketika mandi di Sungai Dusun pada jam 5 petang kelmarin.

Ketika kejadian, dia bersama abang dan dua rakan lain berumur 12 dan 16 tahun buat pertama kali mandi di sungai itu yang terletak 500 meter dari rumahnya di Jalan Pam Air, Kampung Soeharto, di sini.
Katanya, pada mulanya mereka mula mandi di kawasan yang cetek kerana belum mengetahui keadaan air walaupun air sungai kelihatan jernih.

 

“Arwah abang memberanikan diri berenang ke kawasan lebih dalam di lubuk pusar berseorangan. Saya cuba melarangnya, tetapi tetap berdegil.
“Saya sedih kerana tidak mampu menyelamatkan arwah abang,” katanya.
Menurutnya, dua rakannya segera memaklumkan kejadian berlaku kepada penduduk kampung bagi mendapatkan pertolongan.

 

 

Mohamad Fakhrurazi berkata, dia amat sedih melihat abangnya terbujur kaku apabila diangkat ke tebing sungai itu.
“Saya tidak menyangka kepulangan abang ke kampung dari asrama Sekolah Menengah Agama Simpang Lima, Sabak Bernam untuk menghabiskan cuti selama dua minggu berakhir dengan tragedi amat memilukan ini.

 

“Arwah adalah seorang abang yang amat bertanggungjawab dan mesra melayani adik beradik lain dalam keluarga,” katanya.
Katanya, arwah abangnya dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Soeharto oleh penduduk kampung bagi mendapatkan rawatan susulan.
Sementara itu, ayahnya, Mohamad Sahiful Nahar Dimyati, 43, berkata, ketika kejadian, dia sedang menjahit pakaian di kedai pakaian terpakai berhampiran rumahnya.
Katanya, dia pasrah dan reda dengan dugaan Allah apabila mendapati anak sulung daripada lapan beradik itu sudah meninggal dunia.
“Selepas tiba di klinik berkenaan, saya hanya mampu berdoa kerana anak sudah tiada. Jenazahnya dituntut di Bilik Mayat, Hospital Kuala Kubu Bharu pada jam 9 malam kelmarin untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Soeharto pada hari sama.
“Saya berterima kasih kepada penduduk kampung yang membantu menyelesaikan urusan pengkebumian arwah anak saya,” katanya.

Didakwa rogol remaja hingga hamil – Sinar Harian


Didakwa rogol remaja hingga hamil

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Mei 2012

KLANG – Seorang lelaki yang masih bergelar suami orang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol teman wanitanya berusia 15 tahun 11 bulan sehingga hamil tujuh bulan, tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohammed Yusri Ali, 29, bapa seorang anak, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norsharidah Awang.

Dia didakwa merogol mangsa di bilik hotel bajet di Jalan Feri, Sabak Bernam, kira-kira jam 2 pagi, 1 September, tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM12,000 terhadap tertuduh.

Kes itu akan disebut semula pada 16 Julai depan.