Kelas sementara bagi Zon Merah – Metro


Kelas sementara bagi Zon Merah

 0  0 Google +0  0  0

Lahad Datu: Kementerian Pelajaran mungkin mewujudkan kelas pembelajaran sementara untuk murid tiga sekolah dalam Zon Merah di FELDA Sahabat yang masih ditutup jika operasi membanteras pengganas di kawasan itu berlarutan.

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Lahad Datu, Jummiah Tee berkata, ia bagi memastikan 997 murid di ketiga-tiga sekolah berkenaan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian, SK Lok Buani dan SK Fajar Harapan tidak keciciran dalam pelajaran akibat Op Daulat dilancarkan pihak keselamatan.
“Pihak kami akan membincangkan perkara ini dengan Jabatan Pelajaran negeri dalam masa terdekat bagi menentukan sama ada ia perlu dilaksanakan atau sebaliknya.

 

“Buat masa ini tiga sekolah terbabit masih ditutup kerana belum ada kebenaran daripada pasukan keselamatan. Jika polis kata ia (Op Daulat) berpanjangan, barulah kita mengambil tindakan untuk membuka kelas sementara,” katanya di sini, semalam.
Jummiah berkata, keputusan itu bergantung kepada laporan keselamatan daripada pihak polis yang memantau keadaan di ketiga-tiga sekolah berkenaan.
Sehingga semalam, hanya tiga daripada 43 sekolah rendah sekitar daerah ini masih ditutup manakala semua 10 sekolah menengah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Kencana di FELDA Sahabat 16 dibuka seperti biasa.

 

Sementara itu, Ketua Polis Lahad Datu Superintendan Shamsudin Mat memberi jaminan tahap keselamatan di semua sekolah di daerah ini terkawal dan tiada sebab bagi ibu bapa berasa bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

5 sekolah di Lahad Datu, 49 di Semporna dibuka semula – Bernama


5 sekolah di Lahad Datu, 49 di Semporna dibuka semula

LAHAD DATU 11 Mac – Lima puluh empat sekolah – lima di Lahad Datu dan 49 di Semporna – dibuka semula hari ini selepas polis mengesahkan keadaan di kawasan itu adalah selamat dan terkawal.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supritendan Shamsuddin Mat berkata, lima sekolah yang dibuka di Lahad Datu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tambisan, SK Sahabat 16, SK Sahabat 4, SK Cenderawasih dan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana.

“Hanya tiga sekolah di Lahad Datu yang belum dibuka iaitu SK Lok Buani, SK Fajar Harapan dan SK Tanjung Labian kerana berada dalam kawasan zon merah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Tinjauan Bernama di SK Sahabat 4 di sini mendapati kehadiran pelajar terlalu sedikit berikutan ada ibu bapa tidak mengetahui bahawa sekolah telah dibuka semula.

“Kira-kira 80 murid dan 10 guru hadir hari ini,” kata Penolong Kanan 1 SK Sahabat 4, Mohamad Ostad Ulang dan memberitahu sekolah itu mempunyai 373 murid dan 29 guru.

Di SEMPORNA, keadaan sama berlaku di SK Simunul apabila hanya kira-kira 200 murid hadir pada sesi pagi hari ini.

Guru Besar sekolah, Sarudah Arun berkata, SK Simunul yang melaksanakan persekolahan dua sesi mempunyai 1,321 murid.

Sekolah itu ditutup sejak 4 Mac berikutan kejadian serangan hendap di Kampung Simunul 2 Mac lepas yang mengorbankan enam anggota polis dan enam pengganas dari selatan Filipina.

Sarudah berkata, ekoran insiden itu 30 daripada 81 guru memohon cuti berganti untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130311/dn_32/5-sekolah-di-Lahad-Datu-49-di-Semporna-dibuka-semula#ixzz2NDG1sOMt
© Utusan Melayu (M) Bhd

57 sekolah di Lahad Datu, Semporna dibuka Isnin depan – Bernama


57 sekolah di Lahad Datu, Semporna dibuka Isnin depan

SEMPORNA 8 Mac – Lima puluh tujuh sekolah yang kini ditutup sementara di Lahad Datu dan Semporna ekoran insiden pencerobohan pengganas Sulu akan dibuka Isnin depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Namun sebarang keputusan untuk melanjutkan tempoh penutupan sekolah terbabit bergantung kepada nasihat dan maklumat keselamatan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), katanya.

“Sekiranya MKN memberitahu kesemua sekolah selamat untuk diduduki semula maka kita akan buka semula,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Sarjan Azis Sarikon, antara perwira negara yang terkorban pada 2 Mac lalu dalam insiden pencerobohan pengganas di Semporna.

Mohd. Puad berkata, penutupan sekolah terbabit melibatkan cuti berganti di mana pihak sekolah perlu menggantikan sesi persekolahan apabila keadaan pulih bagi mengelakkan proses pembelajaran terjejas.

Beliau berkata, kementerian juga berbincang dengan pasukan keselamatan bagi menempatkan beberapa anggota polis di kawasan sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.

“Ibu bapa tidak perlu risau berhubung keselamatan anak mereka sekiranya sekolah dibuka, kerana pasukan keselamatan ada ditempatkan di kawasan sekolah tersebut,” katanya.

Lapan sekolah yang masih ditutup di daerah Lahad Datu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tambisan, SK Tanjung Labian, SK Sahabat 16, SK Lok Buani, SK Sahabat 14, SK Cenderawasih, SK Fajar Harapan, Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana.

Di daerah Semporna, 49 buah sekolah masih ditutup, melibatkan 40 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah.

Beliau juga berkata, pihaknya berbincang dengan pihak keselamatan untuk memberikan kawalan kepada guru yang bertugas di kawasan berisiko.

Terdahulu, Mohd. Puad menyampaikan sumbangan berjumlah RM36,486.15 hasil kutipan daripada Kolej Matrikulasi di Malaysia kepada keluarga Allahyarham. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130308/dn_45/57-sekolah-di-Lahad-Datu-Semporna-dibuka-Isnin-depan#ixzz2MviEVnyl
© Utusan Melayu (M) Bhd