Sahabat baik sampai ke mati – Metro


Sahabat baik sampai ke mati

Oleh Shalfarina Shahriman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MARAN: “Saya benar-benar tidak menyangka persahabatan mereka dibawa hingga mati. Mereka dalam kelas sama sejak tahun satu hingga tingkatan lima, malah jarak rumah kami juga tidak jauh,” kata Zainab Abu, 60, ibu kepada Khairul Izham Khalid, 17, yang maut bersama rakan baiknya, Mohamad Aizat Mohamed, 17, dalam kemalangan jalan raya, kelmarin.

Dua sahabat baik yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu meninggal dunia apabila motosikal dinaiki mereka terbabas dan melanggar tebing sebelum kepala masing-masing terhantuk pada bongkah batu, di Kilometer 39.9, Jalan Temerloh-Bandar Tun Abdul Razak, berhampiran Felda Jengka 16, dekat sini. Kedua-dua mereka sedang menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Menurut Zainab, Khairul kadang-kadang mengulang kaji pelajaran di rumah Aizat dan begitu juga sebaliknya. “Saya tidak sangka kehadiran Aizat untuk sama-sama belajar di rumah saya petang semalam (kelmarin) menjadi pertemuan terakhir. Itu juga kali terakhir saya melihat mereka belajar bersama di meja selalu digunakan,” katanya.

 

Menurutnya, anak bongsunya itu berehat di rumah ketika Aizat datang menjemput untuk keluar dengan motosikal jam 10 malam tanpa memberitahu destinasi dituju.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana mereka sering keluar bersama dan ingatkan mereka hanya mahu merehatkan otak kerana masing-masing sibuk mengulang kaji pelajaran dan kebetulan minggu ini tiada peperiksaan dijalankan,” katanya.
Zainab berkata, dia sekeluarga terkejut menerima panggilan telefon pada jam 12.15 tengah malam memaklumkan Khairul, anak bongsu daripada 12 beradik itu terbabit dalam kemalangan dan diminta datang ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), Temerloh, untuk melihat keadaannya.

 

 

“Sebaik tiba di hospital, saya dimaklumkan Khairul dan Aizat meninggal dunia. Saya terkilan kerana tidak sempat menatap wajahnya ketika dia menghembuskan nafas terakhir, namun reda dengan ketentuan Allah.
“Ini takdir yang perlu saya tempuh dan mendoakan mereka ditempatkan dalam kalangan orang dikasihi Allah,” katanya.

 

Sementara itu, ibu Mohamad Aizat, Sumiah Muntalib, 51, berkata, anak keempat daripada lima beradik itu sering berkelakuan pelik sejak seminggu lalu sedangkan sebelum ini arwah tidak pernah berperangai demikian.
“Arwah menjadi terlalu manja dengan saya. Sejak seminggu lalu, dia akan menyikat rambut saya dan sering memberitahu sayangkan saya, malah arwah juga tidak membenarkan sesiapa masuk ke biliknya kecuali saya.
“Memang pelik dengan permintaannya, tetapi mulut seolah-olah terkunci dan berat bertanya kenapa dia bersikap sedemikian, sebaliknya hanya membiarkan kelakuannya, tetapi tidak menyangka ia sebenarnya petanda arwah akan pergi meninggalkan kami sekeluarga selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Jengka 18, semalam.
Jenazah Khairul Izham dan Mohamad Aizat selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Jengka 18, jam 11 pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Sulaiman A Hamid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata, kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing dari Bandar Tun Abdul Razak.
“Kemalangan berlaku apabila Mohamad Aizat gagal mengawal motosikal ditunggangnya menyebabkan terbabas ke kiri jalan dan terlanggar tebing.
“Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak dan kepala terhentak pada bongkah batu disusun sebagai penghadang hakisan tebing berkenaan.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15