Remaja nyaris dirogol sepupu – Sinar Harian


Remaja nyaris dirogol sepupu

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mei 2013

MUAR – Seorang pelajar sebuah sekolah di Pagoh, nyaris menjadi mangsa rogol sepupunya dalam sebuah tandas di Kompleks Penghulu Pagoh dekat sini, kelmarin.

Pelajar berusia 15 tahun itu berjaya diselamatkan polis sebaik kejadian berkenaan disedari orang awam yang terdengar jeritan mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, susulan itu, polis membuat pemeriksaan dan mendapati salah satu tandas di kompleks itu dikunci dari dalam.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu beberapa kali dan dibuka, polis menemui mangsa dalam keadaan tidak terurus sedang menangis ketakutan.

“Suspek yang turut berada dalam tandas itu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk pemeriksaan.

“Suspek yang sudah tidak bersekolah adalah sepupu mangsa yang telah disuruh ibu remaja perempuan berkenaan untuk mengambilnya pulang dari sekolah dengan menaiki motosikal,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sahadan berkata, suspek mengajak mangsa singgah ke kompleks itu dengan alasan kononnya ingin menyambut hari lahir remaja berkenaan.

Jelasnya, apabila tiba di tempat kejadian, suspek bertindak menarik mangsa  masuk ke dalam tandas.

“Suspek menarik tudung dan kain mangsa, tetapi tidak sempat merogolnya,” katanya.

Sahadan berkata, berdasarkan ujian air kencing suspek didapati bebas dadah, tetapi mempunyai rekod dalam perintah pengawasan polis selama dua tahun yang akan berakhir pada 2015.

Menurutnya, rekod tersebut bersangkutan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan niat.

Pelajar jual hasil curi di sekolah – Sinar Harian


Pelajar jual hasil curi di sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Julai 2012

Sahadan (tengah) menunjukkan barangan rampasan selepas menahan pelajar bersama rakan-rakannya yang terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan pecah kedai telefon bimbit.
Muar – Seorang pelajar berusia 14 tahun bersama tiga rakannya ditahan polis kerana memecah masuk sebuah kedai menjual telefon bimbit dekat sini, pada 30 Jun lalu. Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Shahadan Jaafar berkata, pelajar terbabit ditahan Sabtu lalu di sebuah rumah di sekitar bandar ini sebelum menahan tiga lagi suspek.

Menurutnya, tiga rakan suspek yang lain, masing-masing berusia lingkungan 20-an bekerja sebagai buruh dan pembantu kedai terlebih dahulu akan mengagih barang curi selepas memecah masuk kedai terlibat.

“Pelajar itu kemudiannya akan menjual pelbagai jenis telefon bimbit serta aksesori yang dicuri kepada rakan-rakan di sekolah dengan harga murah. “Berdasarkan rekod, tiga lagi rakannya dipercayai terbabit dalam beberapa lagi kes pecah rumah sekitar daerah ini yang menyebabkan kerugian kira-kira RM10,000. “Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah,” katanya pada sidang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.

Selain itu, dalam perkembangan sama, Sahadan berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam tiga kes pecah rumah sepanjang minggu lalu. Katanya, suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan di bandar ini, kelmarin selepas dipercayai terbabit melakukan dua pecah rumah pada 9 Julai lalu selain satu kes pada 10 Julai.

“Identiti lelaki terbabit diketahui menerusi semakan cap jari yang ditemui di rumah mangsa,” katanya. Katanya, suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam pecah rumah.