Bijak awasi anak-anak
KUALA LUMPUR: Penggunaan media sosial seperti laman facebook dan twitter di kalangan remaja bawah umur sukar dihentikan, namun boleh dikawal sekiranya ibu bapa mengambil pendekatan bijak dengan memantau pergerakan anak-anak.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, institusi keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak, sahsiah diri serta moral anak-anak.
“Saya mengucapkan syabas kepada Metro Ahad kerana mendedahkan isu Parti Lolipop dan bercakap sendiri dengan bapa yang anaknya terbabit dengan pesta liar berkenaan.
“Laporan sebegini sepatutnya membuka mata golongan ibu bapa supaya lebih prihatin dengan pergerakan dan kegiatan anak-anak di dalam atau di luar rumah,” katanya ketika diminta mengulas laporan berkenaan, semalam.
Menurut Lee, interaksi positif antara ibu bapa dan anak penting supaya mereka tidak berasa dipinggirkan ketika berdepan masalah mahupun situasi tidak menyenangkan.
“Ibu bapa memang tidak boleh menghalang anak-anak membabitkan diri dalam kemajuan arus siber, tapi mereka boleh membantu membimbing sekali gus mengekang sebarang kegiatan tidak bermoral,” katanya.
Selain itu, Lee berkata, penyalahgunaan Internet juga boleh dikaitkan dengan ketidakseimbangan pembangunan ekonomi negara berikutan berlakunya keciciran dalam pembentukan modal insan berkualiti.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/16