Cemerlang akademik, sahsiah – Utusan


Cemerlang akademik, sahsiah

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

Muhyiddin Yassin bersama pelajar-pelajar dan guru-guru Sekolah Seri Puteri selepas menyampaikan hadiah dan slip peperiksaan kepada pelajar cemerlang SPM sekolah berkenaan di Cyberjaya, semalam.

CYBERJAYA 21 Mac – Kejayaan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memberi dorongan lebih kuat kepada Kementerian Pelajaran untuk menjadikan para pelajar manusia yang berjaya secara holistik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sememangnya menjadi hasrat kementerian mahu memastikan para pelajar bukan setakat cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga menjadi insan kamil.

“Kami komited untuk meningkatkan prestasi pelajar kita di seluruh negara dengan keputusan cemerlang yang kita terima hari ini,” katanya ketika berucap selepas menyampaikan hadiah kepada 14 pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 9A+ di Sekolah Seri Puteri di sini hari ini.

Pelajar cemerlang terbabit masing-masing menerima iPad dan wang tunai RM300 sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Sekolah Seri Puteri menduduki senarai tempat kedua terbaik daripada 50 buah sekolah terbaik di seluruh negara dengan 96 daripada 171 pelajarnya memperoleh 9A.

Muhyiddin berkata, pihaknya akan terus membuat penelitian dan analisis terhadap pencapaian pelajar dalam bidang mata pelajaran utama, prestasi antara luar bandar dan bandar serta pencapaian antara kaum untuk subjek-subjek tertentu.

“Matlamat kita ialah bagaimana hendak meningkatkan lagi kecemerlangan kalau boleh untuk setiap pelajar dalam sistem pendidikan kita.

“Saya yakin kejayaan anak-anak kita seperti di sekolah ini adalah hasil kerjasama erat yang dijalinkan di antara kementerian, Jabatan Pelajaran di peringkat negeri dan daerah,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, peranan yang dimainkan oleh PIBG sekolah itu turut membantu meningkatkan prestasi para pelajar.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa yang anak mereka tidak mencatat keputusan cemerlang seperti yang dihajati agar tidak berputus asa.

Hal yang demikian, katanya, kerana sebahagian daripadanya akan ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pra universiti, matrikulasi dan sebagainya.

Katanya, cita-cita pelajar tidak terhenti setakat pencapaian di peringkat SPM semata-mata sebaliknya merupakan permulaan sebuah perjalanan menuju ke masa hadapan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130322/dn_03/Cemerlang-akademik-sahsiah#ixzz2OHIuctxC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Cuepacs setuju kenaikan pangkat time-based diperluas – Bernama


Cuepacs setuju kenaikan pangkat time-based diperluas

21 November 2012
logo cuepacs
Cuepacs

ALOR SETAR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik dan bersetuju dengan cadangan kerajaan supaya kenaikan pangkat secara ‘timed-based’, yang kini dinikmati sektor pendidikan dan kesihatan, diperluas kepada perkhidmatan awam lain.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata langkah ini sememangnya dinantikan penjawat awam lain.

“Kalau semua kementerian menggunakan kaedah time-based, itu satu perkara yang amat ditunggu-tunggu oleh semua penjawat awam, sebab di situ nanti mereka akan dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja mereka.

“Time-based ini tak sama dengan kenaikan KUP (Khas Untuk Penyandang). Time-based mesti ada satu mekanisma supaya yang naik berdasarkan kaedah time-based hanya yang betul-betul layak sahaja. Kalau dia naik jawatan tapi tak tau nak buat kerja apa pun, baik tak payah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kad Skuad Pengguna kepada anggota Cuepacs di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkaitan cadangan kerajaan berhubung perkara itu.

Ali berkata kerajaan sedang meneliti secara terperinci pelaksanaannya termasuk menunggu laporan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam sebelum perluasan terbabit dilakukan.

Omar berkata penjawat awam tidak memerlukan lagi sistem kenaikan pangkat melalui kaedah temu duga.

“Buat apa nak temu duga kalau dah kerja 30 tahun. Yang menjadi penemu duga pula baru kerja lima tahun tapi yang ditemu duga dah kerja 30 tahun. Masa temu duga pula 15 minit saja, kemudian tanya pula yang bukan-bukan… ,” katanya.

Beliau juga berkata kenaikan pangkat melalui kaedah time-based akan dinilai melalui kompetensi, produktiviti dan sumbangan kerja.

“Kalau kerja bagus tapi tak ada sumbangan, tak kreatif, tak berintegriti dan tidak mempunyai sahsiah yang baik, jangan naikkan pangkat dia,” katanya. – Bernama

Pertumbuhan paling cepat – Metro


Pertumbuhan paling cepat

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Sektor pendidikan mengalami kadar pertumbuhan paling cepat sepanjang dekad lalu dan menjadi satu daripada pengganda output tertinggi negara.

Perkembangan itu turut menjana dan memberi kesan kepada sektor lain yang menyaksikan pihak awam dan swasta memainkan peranan penting merealisasikan aspirasi serta sasaran pertumbuhan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP), Bidang Keberhasilan Ekonomi Utama (NKEA) dalam pendidikan, sektor itu disasar menyumbang RM60.7 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara (PKN) menjelang 2020 daripada RM27.1 bilion pada 2009.

 

“Pada masa sama, pendidikan dalam erti kata lebih mendalam harus menggarap nilai murni, pemikiran kritis, kepemimpinan dan komunikasi di samping pengetahuan teknikal bidang masing-masing.
“Sahsiah murid secara holistik ini akan memberi kesan berganda terhadap daya saing ekonomi dan keterangkuman sosial untuk pembangunan negara secara menyeluruh,” katanya dalam ucapan perasmian Program Bakat Muda Axiata (AYTP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Pengerusi Axiata Group Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar, Ahli Lembaga Pengarah Axiata Group Berhad, Datuk Azzat Kamaluddin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group Berhad, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim.