Ibu dan anak ditahan miliki 993 pil dadah – Bernama


Ibu dan anak ditahan miliki 993 pil dadah

2013/09/08 – 15:41:31 PMCetakEmel Kawan
GUA MUSANG: Seorang ibu dan anak lelakinya yang berumur 15 tahun ditahan di sebuah rumah di Rancangan Pembangunan Tanah Kampung Sungai Terah di sini hari ini.

Turut ditemui dalam serbuan kira-kira jam 7.19 pagi itu ialah 993 pil bertanda ‘WY’ dalam lima paket plastik.

Polis percaya wanita berkenaan yang merupakan seorang surirumah berumur 39 tahun dan anaknya mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran ‘Lani Botak’, kata Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah.

Sindiket berkenaan giat mengedar dadah di kawasan rancangan itu. – BERNAMA

Pengetua sekolah dituduh terima rasuah – Utusan


Pengetua sekolah dituduh terima rasuah

KUCHING 12 Jan. – Seorang pengetua sekolah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM12,000 sebagai balasan mengemukakan sokongan terhadap penilaian prestasi dan mempercepatkan bayaran tuntutan seorang pembekal makanan tiga tahun lalu.

Junaidi Zulkipli, 58, yang kini merupakan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebedu, Serian bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Junaidi didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 8 pagi, 16 Februari 2009 ketika dia menjadi Pengetua SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud, Sadong Jaya.

Dia dituduh menerima wang suapan daripada Saiful Bahri Ahmad Adibi melalui penyelia sekolah, Norassimah Kassim sebagai dorongan memberi sokongan terhadap prestasi pembekal makanan itu serta mempercepatkan proses tuntutannya dalam Pesanan Kerajaan (LPO) bagi Januari 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda RM10,000 atau tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, bergantung kepada yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How manakala tertuduh diwakili peguam Mejar (B) Osman Ibrahim.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 beserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu perbicaraan pada 2 April depan.