Potensi anak menerusi cap jari – Kosmo


Potensi anak menerusi cap jari

 

Oleh SUHANA VERU

 


 

SETIAP kanak-kanak dikurniakan bakat semula jadi sejak kecil lagi. Hakikatnya, tidak ramai golongan ibu bapa menyedari potensi anak-anak mereka.

Perkara itu turut diakui seorang bapa, Muhammad Kamarul Md. Zin, 34, yang tidak menyedari bakat anak lelakinya, Muhammad Zafri, yang berusia enam tahun.

“Saya hairan dia begitu berani setiap kali membuat persembahan di khalayak ramai berbanding dengan rakan yang seusia dengannya,” ujarnya ketika ditemui pada kempen Kenali Potensi Si Manja di Damansara, Selangor.

Menurutnya, keberanian yang ditonjolkan oleh anaknya itu tidak dilihat beliau secara serius, namun selepas melalui analisis cap jari, dia diberitahu anaknya itu lebih menggunakan otak kiri daripada otak kanan.

“Saya agak terkejut dengan keputusan itu memandangkan saya melihat dirinya menunjukkan minat dalam subjek bahasa dan tidak sangka dia mempunyai kecenderungan dalam bidang Sains dan Matematik.

“Mujur, saya tergerak hati membawanya untuk menjalani ujian tersebut sekurang-kurangnya boleh mengetahui di mana letaknya potensi Zafri,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pembangunan Bahagian Psikologi Universiti Maranatha Christian, Indonesia, Efnie Indrianie berkata, analisis cap jari merupakan satu kaedah inovatif yang merekod kesemua 10 cap jari kanak-kanak untuk mengenal pasti potensi bakat dan cara pembelajaran mereka.

Kaedah tersebut boleh membantu ibu bapa untuk mengetahui bakat yang ada pada anak mereka sekali gus boleh membimbing mereka mengikut rentak gaya anak tersebut.

Analisis itu menggambarkan corak otak yang telah terbina bagi seorang kanak-kanak sejak dalam kandungan.

Potensi kanak-kanak boleh dikesan dengan menganalisis setiap jari dengan menggunakan alat pengimbas dan ia akan memaparkan bentuk cap jari di dalam komputer yang menggunakan perisian khas untuk mengesan cap jari.

SEORANG kanak-kanak melakukan ujian cap jari yang dijalankan semasa kempen Kenali Potensi Si Manja oleh Ducth Lady.

 

Bertutur lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata, langkah pemeriksaan itu akan dilakukan dengan mengambil cap ibu jari kiri ke kelingking kiri dan seterusnya pada sebelah kanan pula.

Kemudian, apabila cap jari diambil ia akan memaparkan bentuk iaitu lengkungan, simpulan dan lingkaran di monitor komputer.

Seterusnya, kesemua data cap jari yang diperoleh akan dimasukkan dalam sistem khas. Proses pengiraan akan dijalankan menerusi sistem itu.

“Proses yang mengambil masa sekitar 30 minit itu mampu mengenali perbezaan corak cap jari. Corak ini akan dapat dipadankan dengan susunan formasi saraf-saraf otak.

“Ia dapat mengenal pasti potensi seseorang kanak-kanak. Ini satu teknologi yang amat menarik kerana penemuan daripada kajian biometrik sebagai petunjuk sifat-sifat mental,” jelasnya lagi.

Begitupun, beliau menyarankan kepada golongan ibu bapa selepas mengetahui potensi anak-anak, mereka tidak membandingkan seorang anak dengan anak yang lain kerana setiap individu berbeza.

Sebaliknya, ibu bapa harus memberi sokongan moral agar mereka dapat mengembangkan potensi anak-anak serta mengatasi kelemahannya.

Ujian cap jari merupakan satu analisis saintifik dengan mengukur biometrik menerusi cap jari untuk mengenal pasti potensi seseorang individu.

Menyentuh mengenai ketepatan keputusan potensi itu, beliau memberitahu, kajian telah menunjukkan bahawa teknologi berkenaan mempunyai tahap ketepatan yang tinggi.

Terdahulu, satu tinjauan penelitian yang dijalankan di Indonesia oleh Makmal Psychobiometric (Spectrum Synergy Biometric) mendapati hampir 75 peratus kanak-kanak biasanya menunjukkan sifat-sifat yang selari dengan keputusan analisis cap jari.

MINAT dan kebolehan anak-anak dalam bidang Matematik dan Sains juga dapat dikenal pasti melalui ujian cap jari.

 

Sementara itu, 25 peratus lebih cenderung kepada pengaruh dan pendidikan dari alam sekitar dan budaya.

Pensyarah daripada Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Mastura Badzis berkata, pada minggu ke-13 kehamilan, cap jari mula terbentuk pada janin.

Pada minggu ke-19, kedutan terbentuk di dalam otak dan dapat dilihat pada setiap 10 cap jari mewakili bahagian berbeza pada otak kanak-kanak.

Tambah beliau, susunan saraf-saraf pada bahagian-bahagian otak itu dianggap mempunyai simetri dengan corak dan bentuk cap jari pada setiap jari.

“Jadi, ia boleh mengenali pola kebolehan dalam otak manusia berdasarkan pertumbuhan saraf dalam bahagian otak tersebut,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0118&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm#ixzz2IJxKpDzn
Hakcipta terpelihara

Perhimpunan kumpulan ibu bapa sokong dasar PPSMI – Bernama


Perhimpunan kumpulan ibu bapa sokong dasar PPSMI

15/02/2012 6:49pm

 

PETALING JAYA 15 Feb. – Satu kumpulan penyokong PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) akan menganjurkan satu perhimpunan di Dataran PJ di sini pada 10 Mac ini bagi menunjukkan pendirian serius mereka mahukan kerajaan mengembalikan dasar itu.

Penyelaras kumpulan Ibu bapa Prihatin Selangor (CPS), Shamsudin Hamid berkata, antara 5,000 dan 10,000 ibu bapa akan menghadiri perhimpunan “Parents for PPSMI” (P4P) pukul 10 pagi, dan ia akan diadakan serentak di Pulau Pinang, Ipoh dan Sabah.

“Tujuan perhimpunan ini adalah bagi menyatakan sokongan kami kepada PPSMI. Kami mahu kerajaan mengembalikan dasar itu.

“Ini tidak bermaksud kita tidak hormat pada bahasa kebangsaan. Tapi, sila lihat dalam gambaran yang lebih luas, iaitu masa depan anak-anak kita,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

PPSMI dimansuhkan bermula tahun ini dan digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). — BERNAMA

Tidak minat punca lambakan guru – Sinar Harian


Tidak minat punca lambakan guru

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Februari 2012
Dr Mohd Puad Zarkashi.

BATU PAHAT – Penurunan jumlah pelajar mengambil jurusan Sains menjadi punca berlaku lambakan 13,000 guru subjek Sains dan Matematik di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Mohd Puad berkata, isu berkenaan perlu diteliti bersama kerana punca masalah itu membabitkan bidang kua­sa Kementerian Pelajaran dan Ke­menterian Pengajian Tinggi (KPT).

Menurutnya, kementerian kini sudah mewujudkan Jawatankuasa Penyelarasan bagi memastikan pengambilan guru seimbang.

“Menerusi jawatankuasa ini, kementerian akan maklumkan kepada KPT unjuran guru semua subjek untuk sekolah menengah bagi mengelakkan kekurangan mahupun lambakan. Bagi sekolah rendah tiada masalah lambakan berikutan Institut Pendidikan Guru (IPG) dikelolakan kementerian.

“Isunya kini lebih rumit apabila jumlah pelajar memilih Sains menurun, menyebabkan berlaku lamba-kan guru dalam subjek tersebut di sekolah menengah. Kita juga tidak boleh paksa pelajar memilih bidang Sains jika mereka tidak minat,” katanya selepas majlis penyerahan fasa kedua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Penggaram, semalam.

Beliau berkata, semua pihak termasuk kementerian, sekolah dan ibu bapa perlu bekerjasama bagi meningkatkan semula minat pelajar mengikuti aliran Sains seterusnya mengatasi isu lambakan guru Sains dan Matematik.