Guru melampau percakapan berbaur lucah – Sinar Harian


Guru melampau percakapan berbaur lucah

M JEFFRI RAZALI
19 Julai 2013

BANDARAYA MELAKA – Kerajaan negeri sedang menyiasat dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap seorang guru sebuah sekolah rendah di negeri ini yang didakwa mengeluarkan percakapan berbaur lucah terhadap muridnya baru-baru ini.

Exco Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Md Yunos Husin berkata, semua aduan itu akan disiasat dengan teliti bagi memastikan kesahihan sebelum sebarang tindakan dibuat.

“Sekiranya hanya seorang murid membuat dakwaan itu, mungkin ia tidak tepat. Tetapi dalam kes ini, terdapat beberapa dakwaan sama dibuat ibu bapa, sekaligus menunjukkan seriusnya masalah ini.

“Apapun, kerajaan negeri berjanji akan menyiasat dakwaan ini dengan teliti dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya di sini semalam.

Md Yunos berkata demikian merujuk kepada dakwaan ibu bapa berkaitan seorang guru lelaki mengeluarkan kenyataan berbaur lucah dengan merujuk kepada alat sulit masing-masing terhadap murid lelaki darjah satu dan dua di sekolah berkenaan.

Berikutan kejadian itu, difahamkan ibu bapa beberapa murid sudah membuat laporan kepada Jabatan Pelajaran Negeri.

Malah, Md Yunos berkata, beliau turut menerima beberapa pesanan ringkas (SMS) dari ibu bapa terbabit yang memaklumkan mengenai tindakan guru berkenaan.

“Kita sama sekali tidak boleh perbuatan sebegini. Kalau murid degil sekalipun, ada cara lain untuk menghukum mereka, bukannya cara begini,” katanya.

Guru Bahasa Inggeris raih RM7,000 menerusi novel Equilibria – Utusan


Guru Bahasa Inggeris raih RM7,000 menerusi novel Equilibria

KUALA LUMPUR 6 Dis. – Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM- Kumpulan Utusan mencapai kemuncaknya apabila seorang guru, Sri Rahayu Mohd. Yusop dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua menerusi karya yang berjudul Equilibria

Kemenangan itu melayakkan beliau yang merupakan guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Jaya, Ampang meraih wang tunai RM7,000, trofi dan watikah.

Sebanyak enam karya dipilih sebagai pemenang bagaimanapun, tiada pemenang yang layak memenangi tempat pertama.

Sri Rahayu ketika ditemui berkata, beliau mengambil masa selama setahun menyiapkan novel yang berkisar tentang kesan teknologi terhadap alam sekitar itu.

“Ini merupakan percubaan pertama dalam menghasilkan karya bergenre fiksyen sains dan saya benar- benar tidak menyangka ia dipilih sebagai pemenang dalam sayembara kali ini.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121207/dn_14/Guru-Bahasa-Inggeris-raih-RM7000-menerusi-novel-Equilibria#ixzz2EK3UiA3Y
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kerajaan Negeri analisis murid dapat 5A merosot – Sinar Harian


Kerajaan Negeri analisis murid dapat 5A merosot

NORHAFIZA MUSA
21 November 2012
Datuk Ahmad Razif Abd Rahman
Datuk Ahmad Razif Abd Rahman

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri akan mengadakan ‘post-mortem’ segera bagi membuat analisis berkaitan penurunan bilangan pelajar yang disasarkan mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, dianggarkan seramai 200 murid tahun enam di seluruh negeri gagal mendapat 5A sebagaimana disasarkan, sebaliknya hanya mendapat keputusan 4A 1B.

Menurutnya, pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A menurun sebanyak 2.34 peratus, iaitu daripada 15.56 peratus pada 2011 kepada 13.22 peratus pada tahun ini, atau 3,012 orang berbanding 3,548 orang pada tahun lepas.

“Ramai murid yang kita sasarkan akan mendapat keputusan 5A, tetapi hanya mendapat keputusan 4A IB. Sedangkan mereka tidak pernah mendapat keputusan seperti itu dalam peperiksaan percubaan atau peperiksaan lain sebelum ini.

“Sebab itu, kita akan mengadakan ‘post-mortem’ dengan segera untuk mengenal pasti punca berlaku perkara itu. Penurunan sangat ketara berlaku di sekitar daerah Besut yang merupakan daerah yang sering kita target ramai murid mendapat 5A.

“Saya tidak menolak berkemungkinan pelajar terbabit sedikit over confident dan mungkin juga disebabkan masalah-masalah lain,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sedikit kecewa dengan penurunan itu, namun mereka optimis dan terus melangkah ke hadapan sambil mengenal pasti serta menyelesaikan masalah yang berlaku.

Menurutnya, penurunan juga berlaku di seluruh negara, bukan sahaja dialami Terengganu.

Ditanya berkaitan pencapaian Terengganu yang kini mula diatasi negeri-negeri lain, termasuk Kelantan dan mungkin menimbulkan tekanan, beliau mengakui Kelantan mula menghampiri mereka sejak tahun lalu.

“Kita tidak terkejut dengan keputusan itu. Namun Terengganu masih unggul dan mengatasi pencapaian di peringkat nasional bagi beberapa kriteria,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa gembira dengan pencapaian sekolah-sekolah di kawasan luar bandar yang begitu membanggakan.

“Walaupun tidak semua sasaran berjaya dicapai, namun semua guru, ibu bapa dan pelajar telah bekerja keras untuk merealisasikan impian serta telah berjaya mengubah budaya kerja hari ini,” katanya.

Razif berkata, pendidikan di Terengganu bukan hanya menekankan aspek kuantiti tetapi melihat kepada kualiti.

Beliau turut menolak tohmahan berkaitan soalan bocor kerana pihak kementerian sendiri turun padang membuat pemantauan.

Muhyiddin gesa guru, ibu bapa komited perkembangkan kreativiti pelajar – Bernama


Muhyiddin gesa guru, ibu bapa komited perkembangkan kreativiti pelajar

2012/11/19 – 15:32:25 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu guru dan ibu bapa lebih komited dalam mengembangkan lagi keupayaan dan kreativiti pelajar serta mengasah pemikiran mereka supaya lebih positif dan progresif melalui aktiviti kokurikulum yang diceburi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai ibu bapa, mereka mampu mengenal pasti minat dan kecenderungan anak-anak mereka sejak dari awal lagi, begitu juga dengan guru di sekolah.

“Namun, jika minat dan kecenderungan ini tidak diperkukuhkan melalui sokongan dan dorongan yang sewajarnya, ia akan terbantut dan terhenti setakat itu sahaja. Amat merugikan jika keadaan ini berlaku,” katanya ketika meraikan kejayaan Kontinjen Malaysia di World Robot Olympiad (WRO) Kuala Lumpur 2012, di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Katanya, tidak dapat dinafikan bidang kokurikulum termasuk sukan, melengkapkan dimensi pendidikan seseorang pelajar melalui pelbagai aktiviti menarik dan pembelajaran berasaskan pengalaman yang menyeronokkan.

Beliau berkata, bidang itu juga merupakan landasan terbaik untuk memperkukuhkan interaksi dan memupuk integrasi pelbagai kaum di negara ini serta tempat bagi mereka mempelajari kepimpinan, meningkatkan kemahiran sosial, persaingan yang sihat, menyelesaikan masalah secara kreatif dan bekerja sebagai satu pasukan.

“Namun, matlamat ini hanya akan dapat dicapai jika guru dan ibu bapa turut bersama-sama memainkan peranan, memberi dorongan serta menyokong pembabitan pelajar dalam aktiviti kokurikulum,” katanya.

Berasa kagum dengan sikap positif yang ditunjukkan peserta WRO terhadap sains dan teknologi serta peserta pertandingan F1 In Schools, Muhyiddin berkata, kedua-dua pertandingan itu berjaya meningkatkan keyakinan diri serta daya saing pelajar secara positif yang turut meletakkan mereka di persada dunia pada usia muda.
“Yang paling penting, kedua-duanya amat bergantung kepada kebolehan mereka menguasai bidang sains dan teknologi.

“Jadi, saya berharap supaya kedua-dua aktiviti ini diberikan ruang yang secukupnya untuk berkembang luas supaya lebih ramai pelajar dapat turut terlibat, sekali gus meningkatkan minat mereka terhadap bidang sains dan teknologi,” katanya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada kontinjen Malaysia, beliau berkata, penyertaan pelajar pada pertandingan peringkat antarabangsa dalam bidang kokurikulum jarang sekali menghampakan, malah di pertandingan WRO sebelum ini Malaysia tidak pernah gagal membawa pulang pingat kemenangan.

“Ia adalah kali ketiga Malaysia muncul juara WRO dalam tempoh empat tahun dengan membawa balik dua pingat emas, iaitu pada 2009, 2010 dan tahun ini.

“Saya dimaklumkan untuk memperoleh dua pingat emas merupakan pencapaian tertinggi di pertandingan WRO kerana setakat ini belum ada mana-mana negara pun yang berjaya memungut lebih daripada dua pingat emas dalam tempoh sembilan tahun penganjurannya,” katanya.

Katanya, beliau turut berbangga dengan kejayaan pelajar dalam pertandingan akhir F1 In Schools peringkat dunia yang berlangsung di Abu Dhabi, selama tujuh hari mulai 27 Oktober lalu, apabila berjaya membawa pulang ‘Sponsorship and Marketing Award’, ‘Most Liked Award’ dan ‘Best Research and Development Award’.

Katanya, ‘Best Research and Development Award’ adalah anugerah paling paling berprestij pada pertandingan tersebut dan tidak mudah untuk dimenangi.

Malaysia diwakili oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free dan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor pada pertandingan tersebut manakala pertandingan WRO, kontinjen Malaysia membabitkan 57 pasukan terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah.

Acara robotik itu diadakan di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid selama tiga hari bermula 9 November lalu. – BERNAMA

Perak peruntuk RM 60,000 bagi pembangunan murid SJKT – Bernama


Perak peruntuk RM 60,000 bagi pembangunan murid SJKT

9 Mei 2012

IPOH — Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM60,000 untuk pembangunan murid-murid di 134 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata daripada jumlah itu RM30,000 diperuntukan bagi penganjuran acara sukan antara sekolah terbabit yang merupakan acara tahunan yang diadakan.

Sebanyak RM30,000 lagi adalah bagi mengadakan Klinik Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi persediaan murid-murid menghadapai ujian itu tahun ini, katanya ketika berucap pada majlis makan malam Guru-Guru SJKT negeri Perak di kediamannya malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sains dan Teknologi dan Penasihat Menteri Besar Datuk S. Veerasingam.

Beliau berkata peruntukan tersebut akan diserahkan kepada Majlis Guru Besar SJKT Negeri dan pihak majlis akan mengagih-agihkan peruntukan itu mengikut daerah atau sekolah.

Kita mahu keputusan UPSR terus meningkat lebih baik dari tahun lalu dan kita juga mahukan kualiti pelajar, jadi saya minta guru-guru meneruskan usaha mendidik pelajar-pelajar ini,” katanya.

Pada masa ini terdapat 16,000 murid sedang belajar di SJKT di Perak dan lebih 2,300 akan menjalani ujian UPSR tahun ini.

Dalam pada itu, Zambry meminta guru-guru mengesan murid-murid yang tidak mempunyai surat beranak supaya melaporkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri.

“Kita akan usahakan supaya mereka mendapat surat beranak bagi membolehkan mereka membuat kad pengenalan dan menjadi orang yang normal.

“Janganlah anak-anak ini disusahkan kerana kesilapan ibu bapa mereka, jadi kita kena bantu mereka,” katanya. – Bernama