76 Sekolah Di Terengganu Capai Sasaran Akademik – Bernama


76 Sekolah Di Terengganu Capai Sasaran Akademik

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 76 sekolah di Terengganu mencapai sasaran kerajaan negeri dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata jumlah itu meliputi 21 sekolah menengah dan 55 sekolah rendah.

Kerajaan negeri menetapkan sasaran berdasarkan formula ’20-10-5-2′ iaitu 20 peratus calon UPSR mendapat semua ‘A’, 10 peratus bagi PMR, lima peratus untuk Sijil Pelajaran Malaysia dan dua peratus bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, katanya di sini, Selasa.

Katanya sekolah terbaik akan menerima Anugerah Anjung Ilmu yang diperkenal kerajaan negeri bermula tahun ini.

Beliau ditemui pemberita selepas penyampaian anugerah itu kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Tapu (peringkat UPSR) dan Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud (peringkat PMR). Setiap sekolah turut menerima wang tunai RM10,000.

“Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM300,000 untuk anugerah itu yang baru diwujudkan tahun ini dan akan diteruskan pada masa akan datang bagi melonjakkan lagi motivasi para guru untuk terus cemerlang dalam pencapaian akademik sekolah masing-masing,” katanya.

Menurutnya bagi tujuan itu juga satu perhimpunan warga pendidik bersama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said akan diadakan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Guru Besar SK Tapu Shukri Ghaza berkata kejayaan sekolah berkenaan yang menyaksikan 16 daripada 20 calon UPSRnya mencatat keputusan semua A tahun lalu merupakan hasil penat lelah para guru dan pelajar.

“Tahun ini kita menjangkakan 13 orang calon yang akan mendapat 5A daripada 27 orang calon UPSR,” katanya kepada Bernama selepas majlis itu.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran SM Sultan Mahmud, Zulkeflee A.Rahman pula berkata pada PMR yang lepas, 88 daripada 104 calonnya mendapat keputusan 8A.

“Alhamdulillah, sekolah ini berjaya mendapat tempat terbaik di peringkat negeri dan tempat ketiga terbaik bagi Sekolah Berasrama Penuh peringkat kebangsaan dengan pencapaian sebanyak 84.62 peratus dalam PMR tahun lepas,” katanya menambah kejayaan itu hasil pelaksanaan pelbagai program membabitkan guru dan pelajar.BERNAMA

Guru AS jatuh cinta dengan Terengganu – Utusan


Guru AS jatuh cinta dengan Terengganu

Ahmad Razif Abd. Rahman (tiga dari kanan) bermesra dengan guru Pembantu Bahasa Inggeris (ETA) sempena pelancaran program dan majlis serahan ETA di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 31 Jan. – Tahun lalu, Amanda Ussak, 24, berkunjung buat kali pertama ke negara ini untuk melawat rakan senegara dan ternyata lawatan singkat itu telah membibitkan rasa rindu kepada Malaysia sehingga dia bertekad mahu ke negara ini lagi.

Justeru, dia selalu mendapatkan maklumat berkaitan program untuk golongan pelajar yang akan membolehkannya untuk ke negara ini lagi, negara yang disifatkannya sebagai sangat unik kerana masyarakatnya hidup aman walau berbeza kaum, agama dan budaya.

Sebaik sahaja mengetahui tentang program Pembantu Bahasa Inggeris (ETA) yang merupakan kerjasama jaringan pendidikan antara Malaysia dengan AS, gadis dari New Jersey itu tidak menunggu lama untuk mendaftarkan diri.

Kata graduan Hubungan Industri dari George Washington University ini, paling mengujakan apabila dia dapat mendalami kehidupan masyarakat Islam, apatah lagi umat Islam merupakan majoriti di negara ini.

“Saya ingin belajar bahasa Melayu dan akan gunakan kesempatan berada di sini untuk mempelajarinya,” katanya yang turut merancang mempelajari cara menyediakan hidangan tempatan.

Dia yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Dungun, Dungun bertekad untuk membantu pihak sekolah merancakkan lagi program untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Amanda ialah salah seorang daripada 20 ETA AS yang menyertai program untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah premier, sekolah elit dan Imtiaz selama 10 bulan.

Pelancaran program dan majlis serahan ETA berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Ahmad Razif Abd.Rahman di sini hari ini.

Seorang lagi ETA, Elaine Glenny, 23, berkata, dia telah mengumpul maklumat tentang sistem pendidikan Malaysia supaya tugasnya nanti berjalan lancar, sekali gus membantu mencapai matlamat program berkenaan.

“Terpilih untuk program ini ialah sesuatu yang mengujakan kerana di universiti kami sangat ramai yang mahu menyertainya dan saya amat bertuah,” kata graduan Biologi dari Cornel University.

Berpengalaman sebagai tutor, dia yang ditempatkan di SMK Tengku Ibrahim, Setiu berjanji akan memberikan yang terbaik, di samping mempelajari lebih banyak perkara tentang negeri ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130201/dn_21/Guru-AS-jatuh-cinta-dengan-Terengganu#ixzz2JeR7Fdx0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tangani masalah bateri e-Book – Sinar Harian


Tangani masalah bateri e-Book

NURUL HUDA HUSAIN
21 Januari 2013
Tangani masalah bateri e-Book
Ahmad Razif (dua, kanan) menyampaikan bantuan kepada salah seorang ibu bapa

KUALA NERUS – Kerajaan Negeri akan menangani segera masalah bateri e-Book yang tidak boleh bertahan lama bagi memastikan ia dapat digunakan sepanjang tempoh pembelajaran pelajar di semua sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif berkata, pihaknya akan berunding dengan Top IT mengenai langkah penyelesaian bagi memastikan bateri e-Book itu dapat digunakan dalam tempoh yang lama.

“Kita akan bincang dengan pegawai teknologi yang terlibat tentang bagaimana cara untuk memastikan bateri e-Book dapat bertahan dengan lebih lama kerana, kita ada menerima aduan yang mengatakan ada sebahagian e-Book yang digunakan pelajar mengalami masalah bateri.

“Ini kerana, Kerajaan Negeri memandang serius penggunaan e-Book dan kita juga sedang meneliti untuk turut menggunakan bahan pembelajaran itu dalam Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Dun Seberang Takir di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, di sini, semalam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sememangnya fokus serius terhadap penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) sejajar dengan usaha untuk merealisasikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu.

Sehubungan itu, beliau turut meminta semua ibu bapa agar memainkan peranan untuk memantau penggunaan e-Book oleh anak-anak ketika berada di rumah,  bagi memastikan ia tidak disalah guna untuk aktiviti yang kurang sihat.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan seramai 888 murid menerima bantuan wang tunai RM100 setiap seorang dan kebanyakan bapa yang ditemui turut menyatakan rasa syukur dan terima kasih dengan bantuan yang diterima.

SM Sukan Gong Badak bakal lahir lebih ramai ahli sukan – Bernama


SM Sukan Gong Badak bakal lahir lebih ramai ahli sukan

25 September 2012

SEKOLAH sukan kedua di Gong Badak berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu, yang bakal beroperasi dua tahun lagi, dijangka melahirkan ramai ahli sukan bertaraf antarabangsa dalam tempoh enam hingga 10 tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata pembinaan sekolah sukan di kawasan seluas lapan hektar itu akan bermula tahun depan dengan peruntukan awal kerajaan persekutuan sebanyak RM25 juta.

Beliau berkata, sekolah sukan itu dijangka mampu menampung antara 800 hingga 1,000 pelajar dan akan mempunyai kemudahan bertaraf antarabangsa yang mampu melahirkan ahli sukan terlatih dan berkemahiran tinggi dalam bidang sukan.

“Kesempatan untuk melahirkan ramai ahli sukan berprestasi tinggi itu akan digunakan semaksima mungkin oleh Terengganu supaya lebih ramai anak negeri berkecimpung dalam sukan bertaraf dunia,” katanya kepada pemberita di Besut, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Razif mengunjugi keluarga Pegawai Pelajaran Daerah Setiu Allahyarham Mohd Azmy Zakaria yang meninggal dunia akibat kanser Khamis lepas.

Mohd Azmy juga adalah Pengetua pertama Sekolah Menengah Sukan Bukit Nenas Setiu.

Turut hadir Pengarah Pelajaran Negeri Zakaria Hussin yang turut menyampaikan sumbangan wang dari Tabung Bantuan Kebajikan Pendidikan (BAKEP) Terengganu kepada balu Allahyarham, Zawiah Khamis di kediamannya di Kampung Bukit Puteri di sini.

Ahmad Razif berkata Sekolah Menengah Sukan Bukit Nenas (SMSBN) Setiu, yang pertama di Terengganu, akan terus menjadi pusat untuk pelajar lepasan sekolah rendah yang berbakat dalam sukan.

Beliau berkata SMSBN akan mengendalikan ahli sukan di peringkat awal sehingga mereka mencapai tahap tertentu sebelum berpeluang memasuki Sekolah Menengah Sukan Gong Badak.

Sekolah Menengah Sukan Gong Badak itu akan menggunakan tenaga pengajar yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran dan 40 peratus daripada pelajarnya pula diambil dari seluruh negara. – Bernama

Pelajar dua sekolah keracunan makanan – Sinar Harian


Pelajar dua sekolah keracunan makanan
WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Julai 2012

Sebahagian murid dibawa ke sekolah setelah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Gunung Rapat, semalam.
Pelajar yang dipercayai keracunan makanan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, semalam.
SEREMBAN – Lebih 70 pelajar Sekolah Menengah Agama Sheikh Haji Mohd Said (SHAMS) di sini, keracunan makanan dengan 15 terpaksa mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), semalam.

Kejadian sejak tengah malam kelmarin itu membabitkan pelajar tingkatan tiga dan lima yang tinggal di asrama sekolah berkenaan selepas menikmati hidangan di dewan makan asrama.

Pegawai Perhubungan Awam HTSJ Lathifah Abdul Hamid berkata, 15 pelajar terbabit mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kirakira pukul 9.15 pagi sebelum dibenar pulang.

“Daripada maklumat yang kita terima seramai 72 pelajar di sekolah berkenaan mengalami sakit perut dan cirit-birit disyaki akibat keracunan makanan. Semua pelajar terbabit telah diberikan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.

Beliau berkata HTSJ telah menghantar sepasukan pegawai perubatan ke sekolah berkenaan bagi menyiasat kejadian.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Ismail Taib berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu dan tindakan akan diambil jika didapati pengusaha makanan tersebut bersalah.

Beliau mengingatkan pengusaha makanan dan pengusaha kantin sekolah di negeri ini agar menitikberatkan kebersihan makanan bagi mengelak keracunan makanan.

Beberapa pelajar terbabit ketika ditemui berkata, mereka mengalami sakit perut serta pening sejak malam tadi selepas menikmati hidangan di dewan makan.

Nor Syahira Mohd Shah, 16, berkata, dia mula mengalami sakit perut sejak malam kelmarin sehingga menyebabkannya muntah dan tidak boleh tidur.

“Saya mula perasan perut saya kurang selesa selepas solat Isyak, tapi saya ingatkan pada masa itu hanya sakit perut biasa sahaja.

“Tapi sehingga lewat malam perut saya semakin sakit dan saya mula cirit birit dan muntah,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Atiqah Mohd Rafi, 13, pula berkata, dia turut mengalami simptom yang sama dengan rakan-rakannya malam tadi dan terpaksa berulang-alik ke tandas selain mengalami muntah-muntah.

Bagaimanapun pihak sekolah ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan, Datuk Abdul Halim Abdul Razak mengesahkan menerima laporan kes terbabit dan akan menyiasat kejadian berkenaan.

Sementara itu di IPOH, kira-kira 50 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rapat, di sini dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gunung Rapat apabila dikesan keracunan makanan selepas menikmati nasi goreng di kantin sekolah berkenaan, semalam.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 10.30 pagi melibatkan murid tahun 4, 5 dan 6 yang terlibat dalam sesi pagi persekolahan

Pegawai Pelajaran Daerah Kinta Utara, Marazlan Amran ketika dihubungi memaklumkan, semua murid terlibat kini dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Beliau bagaimanapun memaklumkan masih menunggu laporan lengkap berkaitan insiden itu sebelum tindakan lanjut.

Guru diminta lebih prihatin terhadap masalah pelajar perempuan – Bernama


Guru diminta lebih prihatin terhadap masalah pelajar perempuan

15 Julai 2012
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu meminta pendidik di negeri ini agar lebih prihatin terhadap masalah pelajar, khususnya pelajar perempuan, bagi mengelak gejala sosial seperti melahirkan anak di sekolah atau membuang bayi terus berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Ahmad Razif Abd Rahman berkata walaupun kes sedemikian dikategori sebagai terpencil, namun beliau tetap memandang serius perkara itu.

Beliau berkata guru perlu peka terhadap anak didiknya dengan mengambil berat perkara yang berlaku di sekeliling mereka agar dapat mencegah pelajar daripada terjerumus dalam gejala sedemikian.

“Kita tidak menyalahkan sesiapa dalam kes berkenaan memandangkan pelajar perempuan terbabit baru sahaja memasuki sekolah berasrama berkenaan pada awal tahun lalu.

“Selain itu, pelajar yang menghuni di asrama juga mempunyai banyak cara untuk menyembunyikan kandungannya serta bijak mengaburi mata guru di sekolah pada zaman sekarang,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kes buang bayi melibatkan pelajar sekolah di Terengganu.

Ahmad Razif juga berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh berhubung kejadian itu dan menyerahkan perkara tersebut kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, akhbar melaporkan tembelang seorang pelajar perempuan yang mengadu sakit perut sebelum mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, akhirnya pecah apabila mengaku baru melahirkan anak dan menyembunyikan bayinya dalam sebuah beg galas.

Beg berisi bayi perempuan yang dilahirkan pukul 1 pagi pada 3 Julai itu kemudian diserahkan kepada rakan pelajar tersebut tanpa memaklumkan isi kandungannya.

Mayat bayi perempuan yang cukup sifat itu ditemui selepas doktor yang merawat pelajar tersebut menghubungi rakan terbabit dan memintanya membawa beg galas berkenaan pada 6 petang hari yang sama.

Polis menahan seorang remaja lelaki untuk membantu siasatan berhubung kes itu beberapa hari kemudian.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati remaja lelaki itu dan pelajar perempuan berkenaan bukan pasangan kekasih namun mereka dipercayai mengadakan hubungan seks sebanyak dua kali pada tahun lepas. — Bernama

25 pelajar keracunan makanan – Sinar Harian


25 pelajar keracunan makanan
WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Julai 2012

Seorang kakitangan klinik (tengah) mengambil maklumat daripada seorang pelajar terlibat.
PORT DICKSON – Seramai 25 pelajar di sebuah sekolah kebangsaan, di sini dikejarkan ke Klinik Kesihatan Port Dickson setelah mengalami keracunan makanan disyaki selepas menikmati makanan nasi ayam dalam satu program di sebuah sekolah di Pasir Panjang, kelmarin.

Difahamkan, kesemua pelajar tahap dua sekolah tersebut tiba di klinik dengan dihantar oleh guru selepas mereka mengadu sakit perut ketika sesi pembelajaran di sekolah, semalam.

Salah seorang bapa pelajar berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia mendapat panggilan daripada pihak sekolah mengatakan anaknya dibawa ke klinik selepas mengalami cirit-birit kerana keracunan makanan.

“Pihak sekolah menelefon saya kira-kira jam 10 pagi memaklumkan anak saya mengalami sakit perut. “Malam tadi (semalam) anak saya ada juga mengadu sakit perut, namun saya fikir ia sakit biasa sahaja dan hanya menyuruhnya berehat, namun tidak menyangka ia akibat keracunan makanan,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Port Dickson, semalam.

Seorang pelajar pula mendakwa, dia makan nasi ayam namun tidak tahu sama ada sudah basi ataupun tidak. “Ketika itu, saya lapar dan hanya makan begitu juga dengan rakan-rakan lain,” katanya yang enggan dikenali.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di klinik berkenaan mendapati beberapa pelajar sedang mendapatkan ubat sambil ditemani guru dan ibu bapa.

Kesemua pelajar terbabit bagaimanapun dilihat meninggalkan klinik selepas kira-kira dua jam kemudian. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Ismail Taib berkata, semua pelajar yang terlibat berada di dalam keadaan stabil dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Bagaimanapun, kita akan menyiasat punca kejadian ini kerana ia adalah sesuatu perkara yang serius dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Ismail turut memberi amaran kepada pengusaha kantin sekolah dan mana-mana pengusaha makanan agar memastikan makanan yang disediakan kepada pelajar atau pelanggan sentiasa bersih.

“Kita mempunyai undang-undang diperuntukkan bagi kesalahan tersebut dan mereka yang didapati bersalah tidak akan terlepas,” katanya.

Terengganu terima RM8.88j bagi projek naik taraf kemudahan sekolah – Bernama


Terengganu terima RM8.88j bagi projek naik taraf kemudahan sekolah

2 Julai 2012
KUALA TERENGGANU – Kementerian Pelajaran memperuntuk RM8.88 juta bagi dua projek iaitu penyelenggaraan sekolah serta menaiktaraf surau sekolah di negeri ini pada tahun ini.

Peruntukan ini adalah di bawah Projek Transformasi Luar Bandar bagi Pakej Rancangan Khas (PRK).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata bagi projek penyelenggaraan sekolah, ia melibatkan 49 sekolah dengan kos RM4.9 juta manakala projek penyelenggaraan serta menaiktaraf 51 buah surau sekolah melibatkan RM3.98 juta.

“Majlis hari ini adalah bagi program penyelenggaraan dan ubahsuai/naiktaraf surau sahaja melibatkan 40 buah sekolah dengan peruntukan RM2.488 juta.

“Tiga buah surau di bawah program itu dengan peruntukan RM177,848 masih belum dikeluarkan waran buat masa ini,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan inden projek transformasi dan naiktaraf surau sekolah luar bandar kepada kontraktor di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kontraktor yang mendapat projek menaiktaraf surau sekolah-sekolah berkenaan supaya menjalankan tanggungjawab menyiapkannya dengan amanah dan sempurna mengikut masa ditetapkan.

“Kita tidak mahu kontraktor yang mendapat projek, membuat kerja sambil lewa sehingga projek yang diserahkan kepada mereka tidak siap atau terabai begitu sahaja sehingga merugikan banyak pihak,” katanya. – Bernama

Dedah pelajar mengenai teknologi inovasi – Sinar Harian


Dedah pelajar mengenai teknologi inovasi
SHAHIZATUL FARHA S ROSLI
23 Jun 2012
JOHOR BAHRU – Golongan pelajar dari pelbagai peringkat tidak melepaskan peluang menyertai Minggu Sains Teknologi dan ICT (Misti) dan Karnival Sains & Inovasi Zon Selatan di Persada Johor, bagi menyuntik idea kreatif menghasilkan inovasi.

Karnival itu yang berlangsung selama seminggu hingga 25 Jun ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung antaranya demo petrosains, catur bistari, sesi bersama angkasawan, pertandingan jejak sains dan lainlain lagi.

Salah seorang pengunjung, pelajar tingkatan empat, Samsiah Samsuddin, 16, berkata, karnival berkenaan memberi banyak pendedahan kepadanya mengenai teknologi inovasi dan memberi idea untuknya melakukan perubahan berinovasi dalam kehidupan seharian.

“Ini merupakan kali pertama saya berkunjung ke karnival seperti ini dan saya berasa amat teruja kerana terdapat pelbagai penemuan dan ciptaan yang memberi inspirasi kepada saya. “Karnival ini secara tidak langsung membuka minda saya Pelajar-pelajar yang berkunjung ke Misti dan Karnival Sains & Inovasi Zon Selatan, semalam mengambil peluang menggunakan teleskop. Murid-murid diberi penerangan mengenai salah satu inovasi yang dihasilkan ketika berkunjung ke ‘booth’ Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM). bahawa inovasi boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai kesungguhan dan kreativiti,” katanya.

Sementara itu, murid tahun enam, Muhd Aidil Fauzan, 12, berkata, dia turut berhasrat menghasilkan inovasi sendiri selepas menyaksikan pameran ciptaan dan rekaan teknologi inovasi pada karnival berkenaan.

“Saya memang meminati subjek sains, dan karnival ini memberi banyak idea kepada saya mengenai inovasi yang boleh dilakukan. “Selepas ini saya pasti akan datang ke karnival ini lagi untuk melihat hasil inovasi terkini yang ihasilkan.

“Saya juga berazam untuk menghasilkan ciptaan inovasi saya sendiri yang berguna kepada masyarakat pada suatu hari nanti,” katanya. Dalam pada itu, murid tahun empat, G Thanusha, 10, berkata, karnival berkenaan sedikit-sebanyak emupuk minatnya dengan lebih mendalam terhadap subjek sains melalui pembelajaran dan demonstrasi kreatif yang ditunjukkan.

“Walaupun ini kali pertama saya ke karnival ini, namun saya dapat mempelajari pelbagai maklumat aru terutamanya mengenai inovasi dan sains. “Selain itu, pelbagai pertandingan dan kuiz yang disediakan sepanjang karnival ini turut menarik minat saya dan rakan-rakan,” katanya.

17 pembantu guru Bahasa Inggeris AS di Terengganu – Bernama


17 pembantu guru Bahasa Inggeris AS di Terengganu

2012/01/25

KUALA TERENGGANU: Seramai 17 daripada 50 Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright dari Amerika Syarikat (AS) yang dihantar ke negara ini akan ditempatkan di beberapa sekolah di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata ia adalah tahun ketujuh negeri Terengganu mendapatkan khidmat ETA sebagai salah satu usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Menurutnya, bagi program kali ini, pihaknya akan menumpukan penempatan di sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah premier dan sekolah elit.

“Program ETA sebenarnya bukan asing bagi kita kerana ia dilaksanakan di sini sejak tahun 2006 lagi.

“Bezanya tahun ini ialah, ia tidak lagi diletakkan di bawah seliaan kerajaan negeri sebaliknya telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran,” katanya.

ETA adalah program jalinan yang diwujudkan bagi mempromosikan pertukaran pendidikan antara Malaysia dan AS.

Kumpulan 50 guru ETA itu tiba di negara ini pada 4 Januari lalu dan sebahagiannya akan turut ditempatkan di Johor dan Pahang selama 10 bulan mulai 31 Januari.
Menurut Ahmad Razif, berdasarkan pengalaman Terengganu, 100 peratus format dan modul yang pernah digunakan akan terus dikekalkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk menambah bilangan tenaga pengajar menerusi program ETA, tahun ini.

“Kita ada mohon daripada Fullbright untuk tujuan itu tetapi mereka hanya sediakan 50 ETA untuk Malaysia kali ini.

“Justeru, kita kini sedang mengenal pasti negara-negara lain termasuk United Kingdom untuk menambah bilangan tenaga pengajar Bahasa Inggeris di sini,” katanya. – BERNAMA