Dua remaja hilang dikhuatiri lemas
31 Disember 2012

Ahli keluarga mangsa dan penduduk setempat menunggu sehingga mangsa dijumpai.

Muhamad Azhari Suranto

Mohamad Hafis Jamuladin
MERSING – Trip ahli Persatuan Kompang Sinar Perkasa Kampung Rahmat, Batu Pahat, yang berkelah berakhir dengan tragedi apabila dua daripadanya dikhuatiri lemas semasa mandi di Pantai Air Papan, di sini, pagi semalam.
Difahamkan, mangsa, Mohamad Hafis Jamuladin, 17, dan Muhamad Azhari Suranto, 17, dipercayai ke laut untuk mandi semula selepas menikmati sajian sarapan pagi.
Rakan mangsa, Mohd Fauzi Jelani, 28, berkata, ketika kejadian, dia bersama dua mangsa itu ke pantai untuk mandi-manda.
“Saya bertiga mandi bersama-sama. Apabila sudah letih, kami membuat keputusan naik ke tepi pantai untuk menikmati makanan yang ada.
“Selesai makan, mereka turun semula ke pantai. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu saya melihat mereka terkapai-kapai seperti meminta pertolongan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Mohd Fauzi berkata, dia bersama rakan lain bergegas turun untuk menyelamatkan mangsa, tetapi tidak berjaya kerana ombak kuat dan arus yang deras.
“Salah seorang daripada kami dapat mencapai tangan salah seorang daripada mereka, tetapi cubaan itu tidak berjaya.
“Ketika itu, kami rasa seperti ditarik ke tengah laut dan dengan sekelip mata mereka hilang,” katanya.
Bapa mangsa, Jamuladin Dasuki, 51, berkata, dia menerima panggilan telefon mengenai kejadian yang menimpa anaknya sekitar jam 9.30 pagi.
“Saya terkejut selepas menerima panggilan yang mengatakan anak saya lemas seterusnya segera mendapatkan bantuan ketua kampung untuk menghantar saya ke sana.
“Saya akan menunggu di sini sehingga anak saya ditemui pihak anggota penyelamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya bersama Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) giat melakukan operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa berkenaan.