Ibu kesal sikap doktor – Sinar Harian


Ibu kesal sikap doktor

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 April 2013
Ibu kesal sikap doktor
Tindakan doktor bertugas yang tidak mengendahkan aduan pesakit menyebabkan bahagian betis remaja itu melecur teruk. Gambar kecil: Kesan melecur.

MARAN -Lain yang ingin dirawat, sakit lain pula yang dapat. Demikian nasib seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang menderita sakit kulit akibat melecur selepas mendapatkan rawatan patah kaki di sebuah hospital berdekatan.

Ibu kepada remaja berkenaan, Norhayati Manaf, 48, berkata, kaki anaknya itu patah akibat terlibat dalam kemalangan ketika keluar membeli roti canai bersama seorang jiran sebelum dirempuh sebuah kereta di depan gerai makanan terbabit, dekat bandar ini, kira-kira jam 11 malam pada 28 Mac lalu.

Menurutnya, pada jam 4 pagi, kaki anaknya disimen sementara bagi membolehkan pembedahan kecil dilakukan berikutan dua tulang kaki sebelah kiri didapati patah.

“Selepas beberapa minit, anak saya mengadu kakinya sangat panas dan kemudian meraung sebab tak tahan sakit.

“Saya beritahu doktor tapi dia cakap, itu perkara biasa. Katanya, memang akan rasa panas kalau kena simen. Jadi, apa yang boleh saya buat hanya tenangkan anak saya yang meraung sakit hingga keesokan hari,” katanya.

Norhayati berkata, bahagian betis kaki anaknya itu disedari melecur ketika jururawat bertugas membuka balutan simen bagi membolehkan kaki yang patah itu digantung semasa berbaring.

Menurutnya, dia tidak menyangka kesakitan akibat panas yang dirasai anaknya itu bukan perkara biasa sehingga bahagian tersebut melecur seakan kulit terbakar.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku dan doktor bertugas sepatutnya lebih peka dengan aduan pesakit. Jangan anggap semua perkara biasa kerana dua kali saya beritahu doktor bahawa kaki anak saya panas tetapi tak diendahkan.

“Saya harap perkara ini tak berulang kepada pesakit lain. Sekarang anak saya terpaksa tanggung sakit untuk sembuhkan kesan melecur yang bernanah dan berair,” katanya