Pelajar hilang sebulan ditemui keletihan di stesen LRT – Berita Harian


Pelajar hilang sebulan ditemui keletihan di stesen LRT

2012/02/16

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu yang dilaporkan hilang sejak sebulan lalu selepas mengikut rakannya, ditemui keletihan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sungai Besi dipercayai di kurung di sebuah flat kosong di ibu negara.

Norish Aunie Niesa Mohd Nizam yang dilaporkan hilang ketika keluar pada 29 Disember lalu untuk meraikan sambutan tahun baru, ditemui ibunya Nor Salinda Salleh, 33, pada Rabu minggu lalu sebaik menerima panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan anaknya berada di lokasi terbabit.

Difahamkan Norish Aunie dikurung di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Tun Razak tanpa makan minum, kecuali diberi makan ketika dibawa keluar bersiar-siar.

Mangsa juga terpaksa minum air paip untuk mengalas perut, selain diberi sekeping roti canai pada hari tertentu.

Anak sulung dua beradik itu juga ada meminta rakan menghantarnya pulang, namun tidak dibenarkan dengan alasan dia sudah memaklumkan kepada ibu mangsa tempat tinggalnya.

Nor Salinda berkata, pelbagai usaha dilakukan sepanjang kehilangan Norish Aunie sehingga mendapat panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan lokasi anaknya dan diminta datang segera.

“Hanya Allah yang tahu betapa gembiranya hati saya.
“Sebaik tiba di lokasi terbabit, saya melihat Norish Aunie dalam keadaan letih dan tidak bermaya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut, Nor Salinda berkata, anaknya memaklumkan, wanita yang menghubungi saya itu adalah jiran di flat tempat dia dikurung yang membantunya membebaskan diri.

“Mengikut cerita Norish Aunie, lebih sebulan kehilangannya itu, beliau berada di flat terbabit bersama rakannya berusia 17 tahun tanpa mengetahui pemilik sebenar rumah itu.

“Malah, anak saya juga tidak dibenarkan keluar dan hanya sekali sekala diberi makan.

“Sebaik rakannya menghilangkan diri, Norish Aunie meminta bantuan jiran itu membawanya keluar sebelum dibawa ke LRT Sungai Besi.

“Memandangkan telefon bimbitnya dirampas Norish Aunie meminta wanita itu menghubungi saya,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pelajar perempuan Tingkatan Satu hilang dipercayai dilarikan rakan perempuan yang baru dikenalinya di sebuah siber kafe di Jalan Ipoh, di sini.

Pelajar hilang dipercayai dilarikan kawan – Berita Harian


Pelajar hilang dipercayai dilarikan kawan

2012/01/16

pix_gal0

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu dilaporkan hilang hampir tiga minggu lalu dipercayai dilarikan rakan perempuan yang baru dikenalinya di sebuah siber kafe di Jalan Ipoh, di sini.

Norish Aunie Niesa Mohd Nizam, 13, dilaporkan keluar rumah pada 29 Disember tahun lalu untuk ke kafe siber bersama adik lelakinya sebelum didatangi rakan yang dikenali sebagai Ija dan beberapa lelaki lain sebelum mereka menghilangkan diri.

Ibu mangsa, Nor Salinda Salleh, 33, berkata, anak sulung daripada dua beradik itu sehingga kini gagal dikesan dan percaya rakan perempuan yang baru dikenali anaknya menjadi dalang utama kehilangan Norish Aunie.

“Lebih mengejutkan, pada hari kehilangan Norish Aunie, rakan karib saya menerima panggilan daripada seorang perempuan yang memperkenalkan diri sebagai Ija, namun menggunakan nombor telefon Norish Aunie yang memaklumkan beliau membawa keluar anak saya untuk menyambut tahun baru di ibu negara.

“Ketika kawan saya meminta untuk bercakap dengan Norish Aunie sendiri, perempuan berkenaan tidak membenarkan dengan alasan takut dimarahi sebelum memutuskan talian.

“Hati saya kuat mengatakan ada sesuatu perkara buruk berlaku kerana selama ini Norish Aunie tidak pernah keluar bersama rakannya,” katanya.