Kisah pesakit leukemia: Izzani tangguh sekolah tangguh raya – Sinar Harian


Kisah pesakit leukemia: Izzani tangguh sekolah tangguh raya

RAZIATUL HANUM A. RAJAK
22 Ogos 2012
Kisah pesakit leukemia: Izzani tangguh sekolah tangguh raya
Izzani mencium pipi ibunya, Suhaini.

“JIKA boleh ditukar, saya rela menjadi galang gantinya.” Demikian luahan Suhaini Jelani, ibu kepada pesakit leukemia, Mohd Izzani Lee, 9.

Sebagai seorang ibu, Suhaini, 33, redha dengan ketentuan Illahi meski terkejut apabila dimaklumkan keadaan kesihatan anak keempatnya itu.

“Hati ibu mana yang tidak sakit melihat anak sendiri menanggung sakit.
“Dalam sejarah keluarga kami tiada yang menghidap kanser. Ini yang pertama. Jadi kami buntu pada awalnya. Namun saya redha,” ujar Suhaini kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Penutup Kempen Jom Botak baru-baru ini.

“Saya tidak sanggup melihat ketika dia sedang menerima rawatan. Saya dapat merasa sakit yang dialami Izzani,” katanya sayu.
Dilihat dari luaran, Izzani kelihatan sihat. Namun setiap minggu Izzani terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan serta menelan pelbagai jenis ubat.

Malah, Izzani tidak dapat keluar bermain bersama kanak-kanak lain memandangkan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Sejak disahkan menghidap leukemia Jun tahun lalu, Izzani hanya bermain dalam rumah memandangkan sistem pertahanan badan Izzani lemah sehingga menyebabkan dia begitu mudah mendapat jangkitan.
“Sistem pertahanan Izzani lemah, malah akibat pengambilan ubat-ubatan Izzani perlu berada dalam bilik berhawa dingin hampir sepanjang masa,” kata Suhaini.
Katanya lagi, Izzani terpaksa dicutikan dari persekolahannya selama dia menjalani rawatan yang dijangka memakan masa sehingga tiga tahun.

“Izzani memang nak ke sekolah tetapi keadaan tidak mengizinkan jadi dia dicutikan dari sekolah sehingga rawatan ini selesai,” katanya.

Apabila ditanya langsung kepada Izzani, dia menjawab dengan yakin: “Nak sekolah.”

Bercakap mengenai sambutan Aidilfitri kali ini, si ibu menjawab: “Tahun ini raya yang kedua kami sekeluarga tidak beraya tetapi baju raya untuk Izzani tetap kami beli.”

“Kami sudah dua tahun tidak pulang ke kampung kerana bimbang perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru itu akan memberi kesan kepada kesihatan Izzani. Jadi kami hanya pulang ke rumah suami saya, Mohd Faizal Lee, 41 di Sungai Besi.

“Kesihatan Izzani lebih penting daripada beraya,” katanya lagi.

Tambah Suhani, kos rawatan Izzani melebihi RM 1,000 sebulan dan rawatan kemoterapinya tiga atau empat kali sebulan menelan kos RM400 hingga RM500 untuk sekali rawatan.

Sementara itu, Kempen Jom Botak yang berlangsung selama tiga bulan itu melabuhkan tirainya di The Curve minggu lalu setelah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM260,000.

Kutipan dana diserahkan kepada Majlis Kanser Nasional (Makna).

Menurut Presiden Makna, Datuk Mohd Farid Ariffin,  pihaknya telah menjalankan kerjasama dengan universiti tempatan bagi menjalankan penyelidikan berhubung cara merawat dan mencegah kanser.

“Insya-ALLAH pada masa akan datang kita dapat jawapannya. Apa yang patut kita makan dan apa yang tidak patut kita makan untuk mencegah kanser.

“Makna saja tidak cukup. Penyelidikan menelan kos yang tinggi jadi kami perlukan bantuan orang ramai supaya lebih banyak kajian dapat dijalankan.

“Setakat ini kami membantu 78 hospital di Malaysia dengan kutipan dana lebih dua juta setiap bulan untuk pesakit kanser,” katanya yang ditemui selepas majlis penutupan kempen tersebut.

Remaja Perempuan Dibakar Kekasih Masih Kritikal Selepas Pembedahan – Bernama


Remaja Perempuan Dibakar Kekasih Masih Kritikal Selepas Pembedahan

KUALA LUMPUR: Nurul Firzanah Mat Zaki, gadis berusia 16 tahun yang dipercayai dibakar kekasihnya masih dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur pada Khamis.

Bapanya, Mat Zaki Mat Hussin, 45, berkata Nurul Firzanah dibedah di bahagian leher bagi membolehkan saluran pernafasannya kembali berfungsi seperti biasa.

Beliau berkata, dengan keadaan Nurul Firzanah, yang 25 peratus terbakar danmasih kritikal, sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lagi membawa sebarang erti kepada keluarganya.

“Isteri saya, Norliyati Abdul Hamid masih tidak dapat menerima tragedi yang menimpa anak kedua daripada tiga adik beradik dan setiap kali masuk ke bilik Nurul, dia akan menangis kerana terbayangkan keletah manja satu-satunya anak perempuan kami itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital itu, di sini Jumaat.

Nurul Firzanah sebelum itu dilaporkan koma selepas disimbah petrol dan dibakar, dipercayai dilakukan oleh teman lelakinya di kawasan semak berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, Seksyen 1, Wangsa Maju, selepas keluar bersahur bersama Selasa lepas.

Ekoran kejadian itu mangsa dikatakan mengalami kecederaan di muka, dada dantangan.

Mat Zaki berkata selepas kejadian, keluarga kenalan anaknya datang bertemu keluarganya bagi memohon maaf atas tindakan anak lelaki mereka yang berumur 19 tahun itu, namun sebagai bapa, katanya beliau tidak dapat menerima perbuatan yang dilakukan ke atas anaknya itu.

“Sebagai bapa, saya tidak dapat memaafkan perbuatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan itu,” katanya.

Beliau berkata, mereka sekeluarga tahu mengenai persahabatan di antara NurulFirzanah dengan pemuda itu dan tidak menghalang perhubungan itu, namun tidakmenyangka perkenalan tersebut membawa derita kepada anaknya.

Susulan kejadian itu, polis Kuala Lumpur memulakan gerakan memburu pemuda itu.

Terdahulu, Nurul Firzanah menerima sumbangan RM2,000 daripada YayasanKebajikan Negara yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah yayasanitu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. – BERNAMA