Penjawat awam perlu semai semangat patriotik: Abu Bakar – Bernama


Penjawat awam perlu semai semangat patriotik: Abu Bakar

2013/09/09 – 14:04:40 PMCetakEmel Kawan
PUTRAJAYA: Penjawat awam dan seluruh rakyat harus berganding bahu dalam memelihara dan mempertahankan keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran negara daripada ancaman dalam mahupun luar negara.

Timbalan Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi (MOSTI), Datuk Abu Bakar Mohamad Diah berkata pekerja sektor awam harus berperanan menyemai nilai-nilai patriotisme dan sayang kepada negara di dalam diri mereka.

“Sehubungan itu, penjawat awam bersama-sama rakyat Malaysia perlu menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan ke-56 dan sambutan Hari Malaysia ke-50,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menyemarakkan bulan Kemerdekaan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 dan sambutan Hari Malaysia ke-50, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Lebih 500 penjawat awam dari Mosti, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyertai majlis tersebut yang dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, bacaan ikrar Rukun Negara dan nyanyian lagu-lagu patriotik.

Sementara itu, Mohamad Zabidi berkata penyertaan penjawat awam dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan itu membuktikan bahawa semangat cintakan negara dan menghargai erti kemerdekaan wujud dalam kalangan penjawat awam dan budaya berkenaan diteruskan, pada masa depan.
Tema Hari Kemerdekaan tahun ini ‘Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku’ adalah bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara bangsa, katanya.

“Ia juga bertujuan mengingatkan rakyat akan kepentingan bersatu mempertahankan negara dan mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan tanah air,” katanya.

– BERNAMA

‘Tiada aktiviti rekrut pelajar’ – Sinar Harian


‘Tiada aktiviti rekrut pelajar’
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2013
  • 'Tiada aktiviti rekrut pelajar'Hamzah (kanan) dan Mohd Zaki (dua kanan) ketika ditemui media pada Majlis Seiring dan Sejalan serta Sambutan Bulan Kemerdekaan ATM dan PDRM di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.
< 1 / 1 >

KUALA NERUS – Polis mengesahkan tiada aktiviti merekrut pelajar dalam kegiatan gengsterisme, dikesan di negeri ini. Bagaimanapun pemantauan giat dijalankan di semua sekolah dan IPT agar gejala negatif itu tidak menular.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, langkah proaktif diambil dengan menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada pegawai polis.

Selain itu katanya, langkah lain turut diambil antaranya dengan mengukuhkan kesedaran melalui Kelab Pencegahan Jenayah dan Kor Sukarelawan Polis (Kor-Suksis) yang memberi kesan cukup positif bagi membendung pembabitan pelajar dalam kegiatan tidak bermoral tersebut.

“Tumpuan kita bukan sahaja terhadap pelajar, malah turut melibatkan penuntut IPT supaya tiada usaha pihak tertentu yang cuba untuk menjadikan golongan ini sebagai ahli dalam aktiviti jenayah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Seiring dan Sejalan serta Sambutan Bulan Kemerdekaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, semalam.

Hadir sama dalam program kolaborasi membabitkan kedua-dua pasukan keselamatan itu ialah Panglima 8 Briged, Brigidier Jeneral Datuk Mohd Zaki Hamzah dan pegawai kanan kedua-dua agensi berkenaan.

Hamzah berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjadikan pelajar sebagai anggota kongsi gelap atau gengsterisme bagi memperluaskan lagi kegiatan jenayah mereka, malah tindakan tegas akan dikenakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Kita juga berharap agar semua pihak termasuk sekolah dapat menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya ada pihak atau individu yang cuba untuk merekrut pelajar menjadi ahli kumpulan mana-mana kongsi gelap,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan Ops Cantas Khas, beliau berkata, polis kini giat menjalankan pemeriksaan melalui sekatan jalan raya, pusat hiburan serta rumah bagi membendung penularan gejala gengsterisme daripada bertapak di negeri ini.