Ceupacs mahu penjawat awam kibar Jalur Gemilang – Bernama


Ceupacs mahu penjawat awam kibar Jalur Gemilang
15 Ogos 2013
  •  Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
< 1 / 1 >

MELAKA – Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman meminta 1.4 juta penjawat awam di negara ini memasang Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 negara.

Malahan kata beliau, semua kenderaan rasmi kerajaan termasuk lori dan bas juga perlu dipasang Jalur Gemilang sebagai lambang semangat cintakan negara selaras dengan tema sambutan ‘Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku’.

Langkah ini juga sebagai penghargaan kepada kerajaan yang sering menambah baik sektor perkhidmatan awam melalui pelbagai inisiatif dan insentif, katanya.

“Saya selalu dapat aduan menyatakan penjawat awam kalau hal hendak naik gaji, bonus atau elaun semua bersemangat tapi bila hendak meriahkan sambutan hari kemerdekaan setahun sekali pasang bendera susah.

“Baru-baru ini kerajaan dah bagi bonus RM500 untuk penjawat awam dan RM250 untuk pesara takkan hendak beli bendera sebatang pun tak boleh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu hadir sesi kunjungan hormat Cuepacs Melaka terhadap Ketua Menteri Datuk Idris Haron sempena 100 hari pentadbiran beliau.

Omar berkata beliau juga akan mengadakan lawatan mengejut ke beberapa bangunan rasmi kerajaan di seluruh negara untuk melihat pelaksanaan pemasangan Jalur Gemilang sepanjang bulan Kemerdekaan ini.

“Tahun lepas saya pergi di kebanyakan pejabat kerajaan tapi sambutan kemerdekaan sunyi sepi tanpa pemasangan bendera. Bukan perlu belanja yang besar pasang lampu macam sambutan hari raya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan penjawat awam terutama golongan suami agar tidak melakukan perkara yang boleh mencemarkan imej sektor itu.

Beliau mengulas rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan seorang lelaki, dipercayai penjawat awam, membelasah isterinya di hadapan dua anak mereka, ketika berada di dalam lif di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang.

Rakaman itu disebar luas menerusi media sosial.

Sementara itu pada satu majlis di NILAI, Negeri Sembilan, Omar berkata Cuepacs melihat saranan penambahan anggota polis sebagai tepat pada masanya susulan kejadian jenayah yang dilihat meningkat, terutama membabitkan kes tembak.

Langkah itu juga katanya dilihat dapat mempertingkatkan lagi keyakinan orang ramai terhadap pasukan keselamatan. – Bernama

Ceupacs: Bonus Aidilfitri satu keperluan – Sinar Harian


Ceupacs: Bonus Aidilfitri satu keperluan

NIZAM ZAIN
16 Julai 2013
 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman

SHAH ALAM – Cuepacs hari ini menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada 1.4 juta penjawat awam di negara ini menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, bulan depan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kadar bonus raya yang dicadangkan kongres pada 9 Julai lalu adalah berpatutan dan hanya melibatkan kenaikan setengah bulan sahaja berbanding yang diberikan kerajaan pada tahun lepas.

“Tahun lepas kerajaan sudah beri dua bulan bonus, jadi kami harap tahun ini dapat diberikan sedikit kenaikan kepada penjawat awam memandangkan harga barangan keperluan semakin naik, sekali gus dapat meringankan beban mereka khususnya mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan dan golongan pesara.

“Hal itu bukan saja berita gembira buat penjawat awam ini bahkan akan beri sedikit keceriaan kepada peniaga di luar sana yang kita dapati kurang dapat sambutan penjawat awam yang masih menunggu bayaran bonus itu,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubunginya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa semalam yang mengatakan kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus kepada 1.4 juta penjawat awam sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak dua kali untuk tahun ini sahaja.

Omar berharap kerajaan dapat merealisasikan pemberian bonus Aidilfitri itu sepuluh hari atau seminggu sebelum umat Islam menyambut Hari Raya, bulan depan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peniaga barangan keperluan hari raya supaya tidak mengambil kesempatan jika penjawat awam bila penjawat awam diberikan bonus raya nanti.

Sebaliknya golongan peniaga patut berterima kasih kerana sedikit sebanyak dapat membantu mereka melariskan barangan jualan mereka yang kini masih suram daripada pengunjung baik di pasaraya mahupun bazar Ramadan.

Pada 9 Ogos tahun lepas, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan bagi membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

Bicara Isnin: Enam murid dalam satu sekolah – Sinar Harian


Bicara Isnin: Enam murid dalam satu sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Januari 2013
Enam murid dalam satu sekolah
Enam murid dalam satu sekolah

BUKAN sahaja melibatkan aktiviti keagamaan, tetapi kekurangan penduduk di sesebuah kampung juga boleh memberi kesan terhadap pendidikan peringkat sekolah rendah. Mungkin hakikat ini perlu dikupas dengan melihat keadaan kritikal di Sekolah Kebangsaan Lengkuas yang hanya mempunyai enam murid keseluruhan berbanding 10 murid, tahun lalu.

Guru besarnya, Norani Hassim berkata, namun begitu proses pembelajaran dan pengurusan sekolah tetap dilaksanakan dengan cemerlang. “Hanya enam murid tahun ini. Jumlah guru pula sembilan orang,” ujarnya.

Tambah Norani, pihak sekolah akur keadaan jumlah penduduk kampung telah mempengaruhi kemerosotan bilangan murid hingga kritikal sebegini. Infrastruktur dan bantuan daripada kerajaan mencukupi namun sayangnya tidak ramai murid.

Katanya, tidak banyak aktiviti dapat dilaksanakan dengan keadaan jumlah murid yang terlalu kecil. Namun berdasarkan pencapaian sebelum ini, tidak ada murid yang ketinggalan atau keciciran apabila kesemuanya boleh membaca dan lulus UPSR.

Beliau yang bakal bersara tidak lama lagi berkata, biarpun sepi dengan murid yang sedikit tetapi aktiviti antara pihak sekolah dan orang kampung menceriakan segala-galanya terutama jika ada lawatan, hari kokurikulum dan sambutan hari raya.

“Misalnya pada 31 Januari ini, pihak sekolah dengan kerjasama orang kampung akan mengadakan majlis penyampaian bantuan RM100 serta majlis persaraan saya,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan kampung Norani berkata, penduduk Kampung Lengkuas sentiasa memberikan kerjasama baik.

“Cuma jalan masuk ke kampung dan ke sekolah agak sukar. Jauh, kena melalui hutan, tetapi tahap keselamatan ketika melaluinya masih selamat,” ujarnya. Sebuah lagi sekolah yang berkemungkinan bakal diancam kekurangan murid ialah Sekolah Kebangsaan Changkat Banjar yang memiliki 39 murid berbanding 47 orang pada tahun lalu.

Guru besarnya, Jamaddin Kamaluddin berkata, pihak sekolah akur dengan faktor penghijrahan penduduk kampung yang berlaku kerana desakan sosioekonomi telah memberi kesan kepada jumlah murid. Katanya, seramai 14 guru di sekolah berkenaan boleh lebih fokus untuk mencipta kejayaan.

“Tahun lalu sekolah ini mempunyai 47 murid. Tahun ini jumlahnya menurun. Pencapaian UPSR tahun lalu juga bagus. Tiga murid memperoleh keputusan 4A, manakala seorang 3A 1B. Yang lain lulus,” katanya.

Jamaddin berkata, walaupun murid kurang tetapi bantuan kerajaan dan infrastruktur kepada sekolah ini mencukupi. “Saya berharap pihak ketua kampung membuat inisiatif untuk penambahan penduduk di kampung ini. Makin ramai penduduk, makin berpotensi pertambahan murid,” ujarnya.