Menyamar suami isteri, samun guru – Sinar Harian


Menyamar suami isteri, samun guru
HAMIZAH BASIR
25 Julai 2012
SEREMBAN – Dua penjenayah sanggup menyamar sebagai suami isteri yang mahu menghantar anak ke sebuah Tabika Perpaduan di Mantin, di sini semalam, sebelum bertindak menyamun dua guru wanita membabitkan RM37,000.

Dalam kejadian kira-kira 11.10 pagi itu, suspek wanita datang ke tabika berkenaan dan bertanyakan prosedur penghantaran anak kepada kedua-dua guru terbabit sebelum memanggil pasangannya yang menunggu di luar.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, kedua-dua suspek yang memakai helmet penuh serta bersenjatakan parang kemudian menyerbu masuk dan mengugut dua guru berkenaan supaya menyerahkan barang berharga.

“Bimbang dicederakan, guru berkenaan kemudian menyerahkan barangan kemas, dua telefon bimbit bernilai lebih RM500.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek tidak mencederakan kanak-kanak yang berada di dalam tabika itu dan kebetulan dua guru berkenaan berada di pejabat mereka,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak meminta kunci kereta jenis Perodua Myvi milik salah seorang guru yang berada di luar kawasan tabika itu.

“Kedua-dua suspek kemudian bertindak melarikan kereta berkenaan dan meninggalkan motosikal jenis Honda di tabika berkenaan.

“Hasil pemeriksaan awal kita mendapati, motosikal berkenaan dicuri di Klang dan siasatan sedang dilakukan untuk memburu suspek,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah kereta jenis Toyota Camry milik seorang guru dilarikan enam lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Taman Desa Indah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, mangsa berusia 30-an didatangi sebuah kereta jenis Toyota Estima dinaiki enam lelaki berhenti di hadapan rumah sejurus pulang dari bekerja.

“Tiga daripada suspek kemudian bertindak mengugut mangsa supaya menyerahkan semua barangan berharga seperti komputer riba, barang kemas, broadband, dan telefon bimbit.

“Suspek turut bertindak melarikan kereta Toyota Camry mangsa sebelum melarikan diri. Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM117 000,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

“Kita sedang mengesan kesemua suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7991222 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Polis buru 4 lelaki culik, samun guru – Utusan


Polis buru 4 lelaki culik, samun guru

SETIU 30 Julai – Polis memburu sekumpulan empat lelaki yang disyaki melarikan seorang guru wanita sebelum menyamun mangsa di Kampung Guntung Luar, dekat sini, semalam.

Mangsa yang berusia 35 tahun dikatakan diculik dari rumahnya di Kampung Guntung Luar sebelum dipaksa masuk ke dalam kereta oleh penjenayah terbabit.

Ketika kejadian pukul 6.30 petang, mangsa berada seorang diri di rumahnya, sebelum tiba-tiba didatangi empat lelaki berusia 30-an, menaiki sebuah kereta Perodua Myvi.

Salah seorang lelaki itu yang berusia 30-an turun lalu berpura-pura mencari alamat seseorang.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Rohaizat Abd. Ani berkata, semua suspek kemudian beredar selepas mangsa menyatakan tidak mengetahui individu yang dicari berkenaan.

“Mereka datang semula kira-kira 10 minit dan tiga daripadanya menghampiri mangsa yang berada di halaman rumah lalu mengusung mangsa ke dalam kereta.

“Mangsa kemudian ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Bintang, kira-kira 6 kilometer dari rumahnya, setelah suspek mengambil tiga utas gelang, seutas rantai dan sebuah telefon bimbit yang kesemuanya bernilai kira-kira RM20,000.

Katanya, sejurus disamun, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan dibantu orang awam pulang ke rumahnya.

Menurutnya, mangsa bersama suaminya, juga seorang guru telah membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, malam tadi.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan pihaknya setakat ini telah mengenal pasti seorang daripada suspek dipercayai turut terbabit dalam beberapa kes serupa sebelum ini.