Samun sebelum pergi sekolah – Sinar Harian


Samun sebelum pergi sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 April 2013
Samun sebelum pergi sekolah
Salehhudin (tengah) menunjukkan besi digunakan ahli Geng Miswan untuk menyamun mangsa.

BANDA HILIR – Dua pelajar sekolah menengah berusia 13 dan 14 tahun antara yang ditahan setelah dipercayai melakukan kegiatan samun sebelum pergi ke sekolah seawal jam 3 pagi di sekitar daerah ini.

Pelajar lelaki dan perempuan itu yang menyasarkan penghantar surat khabar ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di dua lokasi berasingan, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, kedua-dua mereka antara 11 ahli kumpulan yang ditangkap dalam dua serbuan berasingan di Taman Alai Perdana dan Taman Melaka Raya antara jam 4 petang dan 7 malam.

Menurutnya, kumpulan yang didalangi lelaki berusia 18 tahun dikenali sebagai Miswan itu turut menyasarkan warga emas yang sedang bersenam dan melakukan jenayah dalam tempoh tiga jam.

“Seramai 11 ahli Geng Miswan berusia antara 13 hingga 21 tahun berjaya ditangkap pasukan khas yang ditubuhkan ekoran 16 laporan kejadian samun membabitkan warga emas dan penghantar surat khabar (vendor) diterima.

“Suspek terdiri daripada tujuh lelaki berusia 13 hingga 21 tahun dan empat perempuan berusia antara 14 hingga 17 tahun dicekup di sebuah rumah sewa di Alai serta seorang lelaki di Melaka Raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di IPD Melaka Tengah yang turut dihadiri Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Deputi Superintendan Gan Chip Pho dan Pegawai Risikan/Operasi, Asisten Superintendan Koh Teck Chew.

Salehhudin berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas tiga motosikal jenis Honda EX5 termasuk dua motosikal yang dilaporkan hilang di Plaza Mahkota dan Telok Mas.

“Dua topi keledar, tujuh telefon bimbit pelbagai jenis dan sebatang besi dipercayai digunakan sebagai senjata ketika melakukan samun turut dirampas dalam serbuan itu.

“Ujian saringan urin yang dilakukan mendapati enam suspek berusia 19 hingga 21 tahun positif dadah jenis methamphetamine malah hasil semakan seorang suspek yang berusia 19 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Katanya, Geng Miswan dipercayai bergiat aktif dalam jenayah samun sejak awal tahun ini melakukan jenayah seawal jam tiga pagi sebelum matahari terbit di sekitar Banda Hilir, Tengkera, Melaka Tengah dan Malim.

“Penjenayah yang bersenjatakan batang besi ini bertindak agresif dengan menendang motosikal hingga mangsa terjatuh,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman empat hari sejak 10 April lalu bagi membantu kes yang disiasat di bawah Seksyen 395/379 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan senjata dan Seksyen 379A kanun sama atas kesalahan mencuri motosikal.