Najib ziarah Cikgu Kor – Utusan


Najib ziarah Cikgu Kor

NAJIB Tun Razak memeluk Abu Bakar Ali yang menderita sakit saraf tunjang Spondylosis ketika menziarahnya di Kampung Baru Kertih, Terengganu, semalam. – MINGGUAN/AZLAN BAHRUM

KEMAMAN 6 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempat meluangkan masa menziarahi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasek, Datuk Abu Bakar Ali, 66, di Kertih walaupun sibuk dengan lawatan kerjanya ke negeri ini hari ini.

Najib yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengambil peluang itu bertanyakan khabar keadaan veteran UMNO itu yang uzur sejak lebih tiga bulan lalu akibat penyakit spondylosis yang menjejaskan saraf dan pergerakannya.

Sementara itu Abu Bakar berkata, beliau terharu dengan kunjungan Perdana Menteri itu.

”Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang berusaha meluangkan masa menziarahi saya,” ujarnya.

Abu Bakar yang kini semakin pulih, pernah koma selama hampir dua minggu dan telah menjalani pembedahan di Kuala Lumpur pada awal Ogos lalu.

Lebih dikenali sebagai Cikgu Kor dan cukup disenangi penduduk setempat tanpa mengira fahaman politik, beliau menjadi wakil rakyat selama lima penggal dan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121007/dn_10/Najib-ziarah-Cikgu-Kor#ixzz28ZVT8U4R
© Utusan Melayu (M) Bhd

Adam pulang 15 Julai – Sinar Harian


Adam pulang 15 Julai
NOR RAIDAH AWANG
13 Julai 2012

Tabung Adik Adam
SHAH ALAM – Adam Akbar Ali, 10, kanak-kanak yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang dijadual pulang ke Malaysia 15 Julai ini.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin berkata, berdasarkan laporan dikeluarkan Hospital Johns Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat menunjukkan tahap kesihatan anaknya semakin pulih.

Menurutnya, pada rawatan terakhir fisioterapi 9 Julai lalu, Adam menunjukkan perkembangan positif.

“Tiada komplikasi pada tempat pembedahan dan luka juga semakin pulih,” katanya.

Akbar berkata, mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian yang banyak melaporkan kisah Adam dan sumbangan orang ramai termasuklah Kerajaan Negeri Terengganu.

Sebelum ini, Sinar Harian menubuhkan tabung adik Adam yang memerlukan kos pembedahan RM175,000.

Selepas liputan disiarkan, tabung Adam mendapat keprihatinan rakyat Malaysia yang simpati dengan nasibnya.

Hasrat Adam yang mahu berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum berlepas ke Amerika turut tercapai apabila Perdana Menteri menerima kunjungannya pada 8 Jun lalu.

Penderitaan Adam selama empat tahun menanggung sakit, kini kembali pulih seperti kanak-kanak lain.

Hajat Adam makan nasi lemak tercapai – Sinar Harian


Hajat Adam makan nasi lemak tercapai
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Julai 2012

Presiden Hospital Johns Hopkins, Ronald R Peterson menandatangani buku dan disaksikan Othman (kiri).
SHAH ALAM – Hasrat Adam Akbar Ali, 10, yang mengidam nasi lemak tercapai apabila pegawai kedutaan Malaysia melawatnya di Hospital Johns Hopkins, Baltimore Amerika Syarikat, semalam.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin berkata, kami terharu pemberian itu.

“Saya bersyukur keinginan Adam makan nasi lemak dapat perhatian kedutaan Malaysia,” katanya, semalam.

Katanya, rombongan diketuai Duta Besar ke Amerika Syarikat, Datuk Othman Hashim disambut baik Presiden Hospital Johns Hopkins, Ronald R Peterson dan pengurusan hospital.

“Kami berbesar hati dan menghargai kunjungan Othman dan pegawai kedutaan dan presiden dan pengurusan kanan hospital hari ini
(semalam),” katanya.

Akbar berkata, keprihatinan begitu bermakna kepada anaknya agar kembali sihat.

Sebelum ini, kisah Adam yang menghidap penyakit saraf tunjang memerlukan jumlah wang yang besar bagi menampung kos pembedahan membuang tumor pada saraf tunjangnya, 22 Jun lalu.

Pelbagai pihak tampil bantu, termasuk Kerajaan Negeri Terangganu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

Saluran darah Fatihah semakin mengecil – Sinar Harian


Saluran darah Fatihah semakin mengecil
NOR RAIDAH AWANG
4 Julai 2012

3 beradik menghidap penyakit kronik dan memerlukan rawatan serta
penjagaan rapi perlu bantuan
SHAH ALAM – Kesihatan Nurul Fatihah Zanery, 8, berada di tahap yang membimbangkan apabila saluran darah di tangan kanannya semakin mengecil.

Ibunya, Adiana Othman, 34, berkata, kesan daripada masalah itu, Fatihah tidak lagi dapat menggerakkan tangannya dan sering mengadu kesakitan.

“Setakat ini, pihak hospital tidak memberi sebarang ubat tahan sakit kepada Fatihah dan saya terpaksa meletakkan ais bagi mengurangkan kekejangan di bahu dan tangannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Adiana, pihak Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) memaklumkan akan membuat pembedahan pada Ramadan ini, namun ia bergantung kepada keputusan ujian imbasanmagnetik resonan (MRI).

“Saya berharap keputusan yang akan diterima esok (hari ini) positif, kerana jika tidak, masa depan Fatihah akan gelap memandangkan tangan kanannya tidak lagi dapat bergerak seperti sebelumnya,” ujarnya.

Sementara itu, anak sulung pasangan ini, Nurul Huda, 12, yang menghidap tiroid berada dalam keadaan kritikal kerana semakin kerap muntah berdarah dan memerlukan rawatan dengan segera.

Manakala anak keduanya, Muhammad Amir, 11, yang mengalami penyakit saraf tunjang kongenital dan masalah kawalan ke atas saluran kencing, menunjukkan tahap kesihatan yang tidak menentu.

Justeru itu, mereka yang prihatin dan berhasrat untuk menyumbang boleh menghubungi di talian 013-293 4873 atau terus ke akaun Maybank Adiana bernombor 162508103642.

Perlu jalani fisioterapi intensif – Sinar Harian


Perlu jalani fisioterapi intensif
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Julai 2012

Tabung Adik Adam
SHAH ALAM – Pesakit tumor saraf tunjang, Adam Akbar Ali,10, perlu menjalani fisioterapi secara intensif bagi memastikan keadaannya pulih dan kembali normal.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, selain fisioterapi, Adam juga perlu rehat secukupnya bagi memulihkan tenaga hilang sebelum ini.

” Setiap pagi kami bawanya ke hospital dan sebelah petang Adam disaran melakukan aktiviti ringan.

“Sokongan rakan sebaya dan sukarelawan di Childrens House, Johns Hopkins juga banyak membantu Adam menyemarakkan semangatnya,” katanya menerusi e-mel kepada Sinar Harian, semalam.

Adam yang menjalani pembedahan 22 Jun lalu diketuai Pakar Neuro, Dr Geore Jallo dijangka pulang apabila keadaannya pulih.

Akbar berkata, mereka sekeluarga juga dikunjungi adiknya dan keluarga sebelah mentua yang kini menetap di Texas, Amerika Syarikat.

Adam jalani fisioterapi – Sinar Harian


Adam jalani fisioterapi
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Jun 2012

Adam jalani rawatan susulan fi sioterapi di Hospital Johns Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat.
SHAH ALAM – Adam Akbar Ali, 10, kini menjalani rawatan susulan fisioterapi di Hospital Johns Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat, kelmarin.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin berkata, kanak-kanak itu semakin pulih dan mampu berjalan beberapa langkah keluar dari biliknya dengan bantuan doktor.

“Bagaimanapun, kaki dan tangannya masih lemah akibat kesan pembedahan tumor saraf tunjang.

“Alhamdulillah, senyuman Adam menggembirakan kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, keputusan pemeriksaan imbasan magnetik resonan (MRI) yang diperoleh semalam menunjukkan lebih 90 peratus daripada tumor berjaya dikeluarkan.

“Setakat ini hanya 10 peratus tumor yang masih belum dikeluarkan di mana risikonya rendah dan tiada sebarang kesan negatif untuk jangka masa panjang,” katanya, semalam.

Akbar berkata, pakar fisioterapi memberitahu Adam akan kembali pulih selepas beberapa hari menjalani sesi fisioterapi berkenaan.

“Adam, akan menjalani rawatan susulan di klinik Dr Jallo, Hospital Johns Hopkins sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia,” katanya.

Adam yang menghidap penyakit saraf tunjang memerlukan RM175,000 untuk kos pembedahan. Banyak pihak, termasuk NGO turut menyumbang. Kerajaan Terengganu menyumbang RM100,000.

Adam selamat tiba di AS – Sinar Harian


Adam selamat tiba di AS
NORSHAHZURA MAT ZUKI
18 Jun 2012

Adam(tiga dari kanan) ketika mengadakan laeatan ke Pejabat Perdana Menteri, 7 Jun lalu
BALTIMORE, AMERIKA SYARIKAT – “Alhamdulillah…” Itulah kalimah pertama diucap Akbar Ali Mohamed Noordin, 43, sebaik beliau sekeluarga selamat tiba di Amerika Syarikat bagi menjayakan pembedahan anak sulungnya, Adam, 10, yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang.

Akbar berusaha merealisasikan hasrat memberikan rawatan yang terbaik kepada Adam dengan berbekalkan doa dan pelbagai bentuk bantuan daripada banyak pihak.

Setibanya di Amerika Syarikat, Akbar merasakan hasrat sudah begitu hampir tercapai dan mereka sekeluarga bersyukur kepada Ilahi walaupun berada jauh di beribu batu dari tanah air, perasaan kasih sayang terpancar dalam kalangan rakyat Malaysia yang berada di sana.

Akbar bersama isterinya, Siti Rogayah Syed Ismail dan Adam diberikan layanan terbaik daripada keluarga kakitangan Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat.

Menurutnya, kepenatan menempuhi perjalanan selama 36 jam dalam kapal terbang hilang sekelip mata apabila menerima layanan mesra daripada mereka.

“Hanya ALLAH yang dapat membalas jasa mereka. Mereka juga memberikan peluang kepada kami untuk berehat setelah menempuhi perjalanan yang jauh kerana terpaksa transit di Narita, Los Angeles dan Charlotte,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Akbar berkata, pihaknya menghargai segala bantuan yang diberikan kepada mereka walaupun pertama kali bertemu dan menganggap mereka seperti saudara sendiri kerana keikhlasan mereka menghulurkan bantuan.
“Kami juga menghargai keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pegawai Pejabat Perdana Menteri yang juga banyak membantu kami,” katanya.

Akbar berkata, mereka sekeluarga merasa bertuah kerana segala urusan Adam yang akan menjalani pembedahan di Hospital Johns Hopkins di Baltimore pada 21 Jun ini dipermudahkan.

“Terima kasih juga kepada Sinar Harian yang memungkinkan segalanya berlaku dengan izin ALLAH,” katanya. Adam berlepas ke Amerika Syarikat jam 11 pagi waktu Malaysia pada 15 Jun lalu untuk menjalani pembedahan yang akan dilakukan oleh Pakar Neuro, Dr George Jallo.

Kos pembedahan Adam adalah RM175,000 yang dikumpulkan dengan bantuan orang ramai dan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Terengganu dan beberapa pertubuhan bukan Kerajaan (NGO).

‘Doakan pembedahan berjaya’ – Sinar Harian


‘Doakan pembedahan berjaya’
NOR RAIDAH AWANG
16 Jun 2012

Adam (empat kiri) bergambar bersama sukarelawan Kelab Awan Adventure yang hadir memberi kata-kata semangat kepadanya di KLIA.
SHAH ALAM – Adam Akbar Ali, 10, yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang berlepas ke Amerika Syarikat semalam, dijadualkan akan menjalani pembedahan pada 21 Jun ini di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin, 43, berkata, Adam akan dimasukkan ke wad pada 18 Jun ini, bagi menjalani pemeriksaan tahap kesihatannya, sebelum pembedahan dilakukan.

Menurutnya, pihak hospital sebelum ini memaklumkan tempoh rawatan di sana mengambil masa selama dua atau tiga minggu, bergantung pada tahap kesihatan Adam.

“Doakan moga pembedahan ini berjaya. Saya harapkan dengan pembedahan itu mudah-mudahan Adam akan sembuh dengan segera dan kembali ceria,” katanya kepada Sinar Harian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, ibu Adam, Siti Rogayah Syed Ismail, 34, menitiskan air mata sebaik sahaja ditemui wartawan Sinar Harian, dan melahirkan rasa terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang sanggup menyalurkan sumbangan sehingga Adam dapat menjalani pembedahan.

“Dengan masalah kewangan yang dihadapi kami sekeluarga, mungkin sukar bagi kami membayar kos pembedahan Adam sebanyak RM175,000,” katanya.

Siti berkata, selama empat tahun dia dan suami menjaga Adam yang sakit, mereka terpaksa menjual rumah untuk pembedahan pertama Adam pada Julai 2010 di Hospital Queen Elizabeth, Singapura yang menelan belanja RM240,000.

Namun, pembedahan itu hanya memberi penyelesaian sementara dengan mengurangkan risiko dan kesakitan dialaminya.

“Pada waktu itu, saya hanya fikirkan nyawa anak sahaja. Saya dan suami terpaksa gunakan semua kad kredit dan buat pinjaman peribadi bagi membiayai kos pembedahan pada masa itu,” katanya,

Beliau berkata, mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih pada akhbar Sinar Harian yang banyak melaporkan kisah adik Adam dan sumbangan orang ramai sehingga terkumpulnya dana.

Sehubungan itu, Siti berharap pembedahan Adam berjalan lancar, tanpa komplikasi dan selamat selain berharap rakyat Malaysia mendoakan kesihatan anaknya.

Derita Adam dapat perhatian Kerajaan Terengganu – Sinar Harian


Derita Adam dapat perhatian Kerajaan Terengganu
NORSHAHZURA MAT ZUKI
11 Jun 2012

Kerajaan Negeri Terengganu menyampaikan sumbangan bantuan rawatan kepada
Adam Akbar Ali di Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM – Penderitaan pesakit tumor saraf tunjang, Adam Akbar Ali, 10, mendapat perhatian Kerajaan Terengganu yang tampil menghulurkan sumbangan RM100,000 untuk membiayai pembedahan kanak-kanak tersebut yang dijadualkan pada 20 Jun nanti di Hospital John Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat.

Sumbangan cek tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri Terengganu, Datuk Yahya Khatib Mohamad di kediaman keluarga Adam, di Seksyen 7, semalam.

Yahya berkata, sumbangan tersebut adalah keprihatinan Kerajaan Terengganu kepada Adam yang ditimpa musibah kesihatan yang memerlukan kos perubatan yang tinggi.

“Kerajaan Terengganu tampil membantu Adam walaupun beliau bukanlah rakyat Terengganu. Adam adalah penerima pertama bantuan Tabung Darul Iman melibatkan bukan rakyat Terengganu.

“Keputusan pemberian sumbangan ini dibuat dalam mesyuarat Exco yang lalu yang meluluskan RM100,000 untuk diberikan kepada Adam bagi membiayai pembedahan beliau di luar negara,” katanya kepada media, selepas menyampaikan sumbangan tersebut kepada Adam, semalam.

Beliau berkata, bantuan kepada Adam diberikan kerana Kerajaan Selangor tidak memberikan bantuan kepada kanak-kanak tersebut, walaupun berita mengenai Adam telah disiarkan dalam akbar Sinar Harian, beberapa minggu sebelum ini.

“Kami berterima kasih kepada keluarga Adam kerana memberikan peluang kepada kami untuk menampung kos perubatan yang diperlukan,” katanya.

Yahya berkata, Tabung Darul Iman diwujudkan untuk membantu rakyat Terengganu yang ditimpa musibah seperti bencana alam dan sebagainya.

“Kerajaan Negeri juga mensubsidi beberapa kos perubatan melibatkan pesakit kronik dan bil-bil rawatan rakyat yang berpendapatan rendah,” katanya.

Sementara itu, bapa Adam, Akbar Ali Mohamed Noordin, 43, berkata, beliau sekeluarga berterima kasih kepada Kerajaan Terengganu yang menyumbang RM100,000 untuk membiayai pembedahan anak sulungnya itu.

“Pada mulanya, kos pembedahan adalah RM300,000 tetapi ia dikurangkan RM175,000.

“Bantuan yang disumbangkan oleh Kerajaan Terengganu mencukupkan dana yang diperlukan untuk membiayai kos pembedahan Adam. Jumlah terkumpul kini adalah RM182,500,” katanya.

Beliau berkata, dana RM82,500 disumbangkan oleh orang ramai, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan MCA setelah disiarkan di Sinar Harian dan media lain.

Ditanya mengenai tahap keyakinannya terhadap pembedahan di luar negara, Akbar berkata, setelah Adam menjalani pembedahan sebanyak dua kali di Singapura dan Kuala Lumpur, beliau yakin, pembedahan tersebut yang akan dilakukan oleh Pakar Neuro, Dr George Jallo akan berjaya.

“Alhamdulillah, berkat doa dan bantuan daripada orang ramai, anak saya akan menjalani pembedahan nanti. Sebanyak 90 hingga 95 peratus tumor Adam boleh dikeluarkan dan risiko untuk anak saya menjadi lumpuh adalah minima.

“Saya reda dan akur dengan kuasa ALLAH. Harapan saya semoga pembedahan tersebut berjaya dan selamat,” katanya.

Menurutnya, beliau akan ke sana bersama Adam dan isterinya, Siti Rogayah Sheikh Ismail, 34, pada 15 Jun nanti dan akan berada di sana selama tiga minggu.

“Saya berharap orang ramai akan mendoakan keselamatan kami dan pembedahan Adam berjaya dilakukan,” katanya.

Pasrah tiga anak derita sakit kronik – Metro


Pasrah tiga anak derita sakit kronik
SELAYANG: “Saya pasrah menjadi ‘jururawat’ peribadi kepada tiga anak yang menderita sakit kronik sejak 12 tahun lalu,” kata Adiana Othman, 34, ibu kepada dua anak perempuan dan seorang anak lelaki yang menderita penyakit berbeza.

Rutin hariannya kini seperti jururawat hospital membantu anak lelakinya, Muhammad Amir Zamary, 11, yang menghidap penyakit saluran pundi kencing tersumbat serta saraf tunjang kogenital membengkak sejak berusia enam tahun.
“Saya perlu mahir memasukkan tiub getah ke dalam lubang kencing anak bagi membantunya membuang air kecil setiap empat jam di rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Selayang Indah di sini, semalam. “Perasaan takut kini bertukar serasi dan saya perlu kuatkan semangat demi mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Selayang Indah di sini, semalam. Katanya, dua anaknya yang lain iaitu anak sulung, Nurul Huda, 12, menghidap tiriod manakala anak bongsu, Nurul Fatihah, 8, pula menderita barah tulang dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak Januari lalu.

Menurutnya, dia memerlukan perbelanjaan kira-kira RM30,000 untuk pembedahan Muhammad Amir dan Nurul Fatihah. “Saya tidak bekerja kerana terpaksa menjaga semua anak yang sakit manakala suami, Zamary Adam, 43, hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai penjaga stor kilang.
“Saya terpaksa menangguhkan pembedahan mereka kerana tidak cukup wang walaupun menerima sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) RM510 sebulan ketika ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Selayang Indah di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata, pihaknya berharap orang ramai membantu meringankan beban keluarga itu.