Isu Kantin: Guru Besar, Pengerusi PIBG Terima Tekanan – mStar


Isu Kantin: Guru Besar, Pengerusi PIBG Terima Tekanan
Kantin sekolah ditutup kerana kerja pengubahsuaian.

SUNGAI BULOH: Tinjauan The Star ke SK Seri Pristana mendapati meja makan dan kerusi masih berada dalam bilik persalinan perempuan sekolah itu, tempat di mana pelajar bukan Islam makan sarapan pagi dan tengah hari sepanjang minggu lalu.

Ketika memasuki perkarangan sekolah kira-kira pukul 6 petang Selasa, guru besar dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kelihatan tertekan kerana beberapa pegawai dari pelbagai jabatan kerajaan menyoal mereka berulang kali mengenai tindakan tersebut.

Mereka menunjukkan kepada kami bilik persalinan yang berada dalam keadaan bersih pada ketika itu.

Dua meja dengan alas berwarna ungu diletakkan dalam ruang kecil dekat dengan bilik mandi dan singki serta kerusi.

Kantin sekolah itu yang bertentangan dengan bilik persalinan baju dibuka semula untuk murid-murid pada Selasa atas arahan Menteri Pendidikan.

Terdapat tiga bilik mandi dan tiga singki di dalam bilik tersebut yang betul-betul bersebelahan dengan tandas perempuan dan tandas orang kurang upaya.

Menurut pegawai sekolah tersebut, terdapat kira-kira 28 pelajar bukan Islam di sekolah terbabit.

Guru besarnya, Mohd Nasir Mohd Noor berkata, semua murid telah menggunakan bilik persalinan itu sejak Mac kerana ruang di kantin sekolah tidak mencukupi.

“Kemasukan pelajar meningkat melebihi 500 murid pada tahun ini. Malah kami tidak mempunyai bilik kelas yang cukup. Kami mempunyai purata kira-kira 49 murid dalam setiap kelas sekarang.

“Saya hanya memutuskan untuk memindahkan mereka ke bilik tersebut kerana kebanyakan murid-murid duduk di atas rumput atau berhampiran longkang kerana ruang yang terhad,” katanya.

Beliau berkata, kantin sekolah itu ditutup lebih seminggu yang lalu kerana kerja pengubahsuaian.

Mohd Nasir membawa kami ke kantin itu untuk menunjukkan pintu kaca yang baru dipasang di sudut penjuru kantin tersebut.

Kerja pengubahsuaian sudah berakhir minggu lalu, katanya.

“Kantin itu sepatutnya dibuka semula pada Isnin. Saya tidak tahu mengapa ia ditutup. Saya berada dalam mesyuarat pada hari tersebut,” kata Mohd Nasir.

Pengerusi PIBG, Hussein Mohd Ariff berkata, ahli persatuan itu menyedari situasi itu apabila ia dibawa ke dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

“Sebagai ibu bapa, saya rasa ia bukan idea baik tetapi keputusan bukan terletak di tangan saya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nasir menegaskan beliau tidak pernah mengamalkan diskriminasi terhadap para pelajar.

“Seperti yang anda boleh lihat, bilik mandi amat bersih. Hanya satu sebab saya memilih tempat itu kerana ia bilik paling dekat dengan kantin.

“Saya tidak bermaksud untuk mengapa-apakan murid-murid,” katanya.

Jeritan kawan, terkilan tak dapat bantu mangsa – Sinar Harian


Jeritan kawan, terkilan tak dapat bantu mangsa

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 September 2012
Jeritan kawan, terkilan tak dapat bantu mangsa
Rakan mangsa menunjukkan kawasan mangsa lemas.
Jeritan kawan, terkilan tak dapat bantu mangsa
Noraini (kanan) dan Abd Raman tidak dapat menahan sedih sewaktu menunggu jenazah anaknya.

IPOH – “Saya hanya mampu melihat kawan saya hanyut dibawa arus deras sungai sambil terkapai-kapai meminta tolong supaya dia diselamatkan.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana saya sendiri hampir lemas dihanyutkan arus. Nasib baik saya sempat berpaut pada akar kayu yang terjuntai di tebing sungai,” kata Mohd Izuddin Shuid, 11.

Mohd Izuddin adalah salah seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian lemas yang meragut nyawa rakannya, Mohd Aiman Izuddin Abd Raman, 12, di Sungai Perak berhampiran Kampung Temelong, Lenggong, semalam.

Menurutnya, dia bersama mangsa dan empat rakan lain berusia antara 8 hingga 15 tahun ke Sungai Perak selepas solat Jumaat untuk bermandi-manda di situ.

Katanya, dia yang baru pandai berenang turut cuba menyelamatkan mangsa namun gagal sebaliknya terus dibawa arus sungai.

Tambahnya, seorang lagi rakan mereka Taufik Mat Yunus, 12, yang mandi bersama cuba menarik tangan Mohd Aiman Izuddin tetapi tidak berjaya.

“Sebelum itu, saya serta rakan lain hanya mandi di air paras perut saja tetapi tidak menyangka boleh sampai ke kawasan yang berpasir jerlus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, ibu mangsa, Noraini Abdul Kadir, 47, berkata, Rabu lalu anaknya berselera menjamah sarapan pagi.

“Pagi Rabu lalu, anak saya makan tiga bungkus nasi lemak yang dibeli sedangkan sebelum ini dia jarang bersarapan. Bagaimanapun, saya tidak menyangka itu adalah petanda dia akan pergi buat selamanya,” katanya.

Noraini berkata, dia dan suami, Abd Raman Adam, 62, sering menasihati  anaknya supaya tidak mandi sungai kerana arus sungai deras dan berbahaya berikutan musim hujan.

“Anak saya ada meminta izin untuk ke sungai bersama rakan-rakannya namun saya tidak membenarkannya.

“Namun, kira-kira jam 3.30 petang tadi (kelmarin) seorang penduduk kampung datang ke rumah dan memberitahu anak saya hilang ketika mandi sungai bersama rakannya,” katanya.

Jenazah murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Temelong itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temelong selepas solat Zohor, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong, Ahmad Izuwan Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut daripada orang awam pada jam 3.30 petang kelmarin.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan seramai 12 anggota termasuk enam Unit Selam Skuba dari balai tersebut dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memulakan kerja mencari mangsa.

“Kami menjalankan operasi mencari dan menyelamat selama enam jam sebelum ia dihentikan pada jam 8 malam semalam (kelmarin). Operasi kemudiannya bersambung pada jam 7 pagi tadi (semalam).

“Mayat ditemui penduduk kampung lebih kurang jam 7.09 pagi tadi (semalam) di beting pasir berhampiran empangan Kenering selepas air surut berhampiran Pulau Cheri, Kampung Luat yang terletak kira-kira lima kilometer dari Kampung Temelong tempat di mana mangsa dipercayai lemas.

“Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan jam 7.20 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat,” katanya.

Noraini (kanan) dan Abd Raman tidak dapat menahan sedih sewaktu menunggu jenazah anaknya. Gambar kanan: Rakan mangsa  menunjukkan kawasan mangsa lemas.