Remaja 14 tahun hamil, mangsa rogol – Sinar Harian


Remaja 14 tahun hamil, mangsa rogol
WARTAWAN SINAR HARIAN
27 September 2013

HULU SELANGOR – Bukan sekali dia jadi mangsa, tetapi remaja berusia 14 tahun itu dikatakan menjadi mangsa rogol lelaki hidung belang sehingga dia disahkan hamil.

Tembelang lelaki yang bekerja sebagai pemandu di sebuah pusat kesihatan itu pecah setelah sekali lagi didapati merogol remaja terbabit di sebuah stor di kawasan perindustrian di Hulu Yam pada 14 September lalu.

Menurut sumber, perbuatan terkutuk lelaki berusia 53 tahun itu terbongkar setelah bapa mangsa bersama penduduk kampung dan polis menyerbu stor simpanan peralatan jentera itu kira-kira jam 3.30 pagi hari tersebut.

Lelaki terbabit kini direman di Penjara Sungai Buloh dan sedang menjalani prosiding perbicaraan di mahkamah.

Beberapa sumber daripada penduduk kampung turut memberitahu, suspek yang sudah berumah tangga itu telah merogol remaja terbabit kali pertama pada tahun 2012 dan berterusan tanpa diketahui ahli keluarganya.

Mangsa kini disahkan mengandung antara tiga atau lima bulan.

Malah, lebih mengejutkan apabila suspek didakwa pernah melakukan perbuatan sama terhadap ramai wanita.

Seorang penduduk kampung turut mengakui suspek pernah menunjukkan wajah-wajah wanita yang telah menjadi pemuas nafsunya.

“Seorang wanita yang menjadi mangsanya dan sarat mengandung pernah datang ke rumahnya menuntutnya bertanggungjawab tetapi malangnya dia dihalau begitu saja.

“Selain remaja, anak dara dan janda warga tempatan, dia juga pernah ‘memerangkap’ wanita warga asing,” kata sumber.

Menurut sumber sama, disebabkan sikap buruk suspek yang tidak disenangi rakan-rakan tempatnya bertugas, dia pernah beberapa kali dipindahkan bertugas di tempat berlainan.

Sinar Harian turut mendapat maklumat bahawa suspek juga merupakan pemimpin penting di peringkat bawah sebuah parti politik dan dikatakan masih memegang jawatan itu ketika ini.

Suspek turut menjadi pengerusi sebuah surau, memegang beberapa jawatan penting di peringkat kampung dan taman perumahan, menjaga peti undi parti dan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Dirogol abang angkat – Berita Harian


Dirogol abang angkat
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

2012/05/31

SUBANG JAYA: Seorang pelajar Tingkatan Dua sarat mengandung lapan bulan dipercayai selepas dirogol abang angkatnya di kediaman keluarganya di Taman Tengah, Batu 14, Puchong Perdana.

Mangsa dikatakan dirogol lelaki berusia 25 tahun itu pada Ogos tahun lalu sebelum disahkan mengandung, namun tidak memaklumkan ahli keluarganya kerana bimbang dimarahi.

Difahamkan, lelaki terbabit yang tinggal di Batu 13, Puchong itu adalah anak angkat kepada keluarga mangsa dan sering berulang-alik serta tidur di rumah mangsa.

Mangsa dikatakan dirogol lelaki terbabit di kediamannya ketika keluarga mangsa tiada di rumah dan kejadian itu hanya disedari keluarga mangsa selepas pelajar itu sarat mengandung lapan bulan selepas melihat keadaan perutnya yang buncit.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner, Yahaya Ramli, berkata selepas kejadian itu diketahui keluarganya, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya, petang kelmarin.

Katanya, siasatan polis mendapati, suspek sudah berkahwin dengan wanita lain dua bulan lalu dan gerakan memburu suspek sedang dijalankan.

“Mangsa dipercayai tidak memberitahu kejadian yang menimpanya sehingga mengandung lapan bulan kerana bimbang keluarganya akan memarahinya.
“Sepanjang lapan bulan mengandung, mangsa ke sekolah seperti biasa tanpa disedari sesiapa berikutan fizikalnya yang kecil,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam perkembangan lain, Yahaya berkata, polis memburu tujuh lelaki yang juga ahli kongsi gelap di Subang Jaya dipercayai terbabit dalam dua kes pembunuhan masing-masing pada 12 dan 13 Mei lalu.

Lelaki terbabit adalah M Kumar, 30, N Logeswaran, 25; R Srisangkar, 25; K Manoharan, 35; S Surendran, 27; R Surendren, 26 dan V Suresh, 25.

Semua suspek adalah anggota kumpulan kongsi gelap digelar Satu Hati dan Kumpulan 08 dipercayai mempunyai kaitan dalam kes pembunuhan dua lelaki tempatan di Kelana Jaya dan Taman Tasik Puchong Perdana.