Kuala Lumpur tuan rumah Olimpik Robot Dunia 2012 – Utusan


Kuala Lumpur tuan rumah Olimpik Robot Dunia 2012

Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan pelajar SMK USJ 4, Lee Kai Cen (tiga dari kanan), Nicholas Goon Choong Ming dan Parvin Suthan (dua dari kiri) pada pra pelancaran Kuala Lumpur World Robot Olympiad (WRO) 2012 dan pelancaran laman web rasmi WRO 2012 di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Dr. Wee Ka Siong (belakang tengah), Abdul Ghafar Mahmud (kiri) dan Pengarah Urusan Sasbadi Sdn. Bhd., Law King Hui (kanan). – BERNAMA

 

PUTRAJAYA 18 Jan. – Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah kejohanan Olimpik Robot Dunia (WRO) 2012 bertemakan Nurturing 21st Century Skills yang bakal berlangsung pada 9 hingga 12 November depan.

Sebanyak 400 pasukan dari 40 buah negara di seluruh dunia dijangka menyertai kejohanan yang berupaya meningkatkan minat para pelajar terhadap sains dan teknologi, robotik serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Acara tahunan sejak 2004 itu memberi peluang kepada peserta meningkatkan kemampuan diri dengan menggunakan teknologi secara inovatif dan kreatif dalam penyelesaian masalah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran menyempurnakan majlis pra pelancaran WRO 2012 dan pelancaran laman web rasmi http://www.wro2012.org di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.

WRO merupakan kemuncak kepada Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) yang dianjurkan sejak 2005 oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Sasbadi Sdn. Bhd. dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi program perkongsian pintar antara pihak kerajaan dan swasta.

Pada tahun lalu, di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), kontinjen Malaysia yang dianggotai 65 peserta membawa pulang masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa serta enam Anugerah Kecemerlangan selain menenangi anugerah khas, Best Technical Award.

Peluang sebagai tuan rumah WRO 2012 diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi melalui penubuhan kelab robotik di sekolah-sekolah.

Ia bagi membolehkan kementerian membentuk 50 pasukan robotik yang mantap untuk bersaing dalam kejohanan tersebut.

Muhyiddin rasmi pra-pelancaran KL World Robot Olympiad – Bernama


Muhyiddin rasmi pra-pelancaran KL World Robot Olympiad 

2012/01/18

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyempurnakan majlis pra-pelancaran Kuala Lumpur World Robot Olympiad (WRO) 2012 sempena pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah kejohanan terbabit buat pertama kalinya.

Kejohanan dari 9-12 November itu dijangka disertai oleh kira-kira 400 pasukan dari 40 buah negara dari seluruh dunia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada majlis itu, peluang untuk menjadi tuan rumah WRO 2012 akan digunakan sepenuhnya untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang kompeten dalam bidang sains dan teknologi melalui penubuhan kelab robotik di sekolah-sekolah.

“Dari situ, pihak Kementerian Pelajaran berharap dapat membentuk 50 pasukan robotik yang mantap untuk memberikan saingan hebat dalam WRO 2012 kelak,” tambah kenyataan itu.

Pada majlis sama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut melancarkan laman web rasmi kejohanan terbabit iaitu http://www.wro2012.org yang memuatkan segala maklumat berkaitan kejohanan itu bagi kemudahan orang ramai.

WRO, yang menjadi acara tahunan yang dianjurkan sejak 2004 adalah kemuncak kepada Pertandingan Robotik Kebangsaan iaitu pertandingan yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Sasbadi Sdn Bhd dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Penyertaan negara setiap tahun dalam kejohanan antarabangsa itu sehingga kini berjaya membawa pulang tujuh pingat emas, lapan pingat perak, lima pingat gangsa, enam anugerah khas dan 21 anugerah kecemerlangan, selain merangkul gelaran juara keseluruhan sebanyak dua kali berturut-turut iaitu pada 2009 dan 2010.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud. – BERNAMA