JITRA: “Saya sedih kerana arwah tidak sempat datang ke rumah kerana dia menemui ajal dalam keadaan tragik. Sebelum itu dia hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk berjumpa saya pagi tadi (semalam),” kata Syuhada Ghazali (gambar), 14.
Syuhada rakan karib kepada Amalina Adam, 14, yang maut bersama Wirda Izwaney Daud, 13, selepas motosikal ditunggangi mereka terbabas sebelum merempuh titi besi dan terhumban ke dalam tali air di Kampung Stesen Keretapi, Tunjang, di sini, semalam.
Menurutnya, sebelum kejadian, dia berasa amat gembira apabila arwah memberitahu mahu ke rumahnya di Kampung Jeram, Tunjang, di sini, tiga kilometer dari rumah mangsa.
“Semalam (kelmarin) saya hantar SMS kepada arwah beritahu nak jumpa sangat kerana tidak dapat berbuat demikian sejak dua minggu lalu. Saya beritahu arwah saya terlalu rindu dengannya.
“Arwah tidak membalas SMS pada hari itu sebaliknya hanya menjawab kira-kira jam 8 pagi ini (semalam) sambil memberitahu dia dan rakannya akan datang ke rumah saya pada tengah hari,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Jitra, di sini, semalam.
Menurutnya, dia dan arwah adalah rakan baik dengan bersama-sama ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Bonglai, di sini.
“Hubungan kami rapat sejak dulu lagi. Saya kini kehilangan seorang sahabat yang baik buat selama-lamanya.
“Apabila dapat tahu arwah terbabit dalam kemalangan, saya rasa macam tidak percaya sehingga saya datang sendiri ke hospital ini untuk mengetahui apa yang berlaku,” katanya.
Ibu Amalina, Rahmah Md Isa, 57, berkata, dia terkejut apabila diberitahu anak bongsu daripada sembilan beradik itu terbabit dalam kemalangan.
“Biasanya arwah beritahu ke mana dia pergi, tetapi pagi tadi (semalam) dia keluar rumah tanpa memberitahu saya dan adik-beradik lain.
“Arwah nampak pelik kerana beria-ia bersolek sampai dua tiga kali sebelum keluar rumah,” katanya.
Bapa Wirda Izwaney, 13, Daud Saad, 45, berkata, sebelum kejadian, anaknya baru sampai ke rumah selepas beberapa minggu tinggal bersama kakaknya di Kuala Lumpur.
Jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di tanah perkuburan Islam Gurindam, Kampung Pida 3, di sini.