‘Saya tetap nak ambil SPM’
Kuala Terengganu: “Saya tetap mengambil peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) walaupun terpaksa berkerusi roda,” kata Muhammad Zulhakimi Mat Ripin, 17, yang patah tulang belakang selepas dihempap besi paip sepanjang enam meter di Kerteh, Kemaman.
Muhammad Zulhakimi yang tinggal di Kampung Seberang Balok, Kuantan berkata, dalam kejadian jam 3 petang, Ahad lalu, dia bersama empat rakan bekerja menurunkan besi paip yang digunakan untuk menyalurkan gas dari sebuah lori kontena ke sebuah kilang di Kerteh.
Katanya, ketika kren digunakan untuk mengangkat besi paip berkenaan, kabel diikat pada besi paip itu terputus lalu menghempap belakang badannya sehingga dia tidak bergerak.
“Kejadian itu amat pantas dan saya yang berada di tepi lori kontena itu langsung tidak sempat mengelak ketika besi paip terjatuh.
“Bahagian bawah badan saya terasa kebas dan tidak mampu digerakkan sebaik dihempap besi paip berkenaan dan rakan membantu mengusung saya untuk dihantar ke Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Doktor memberitahu selain tulang patah, urat saraf di belakang badan turut terputus menyebabkan kedua-dua kaki saya tidak dapat digerakkan,” katanya ketika ditemui di Wad Ortopedik HSNZ, di sini, semalam.
Menurutnya, dia tidak menduga kerja sambilan yang dibuat sempena cuti sekolah itu menyebabkan dia terlantar di hospital dan terpaksa mengambil cuti panjang persekolahan.
“Keluarga saya bukan orang berada, jadi sejak dua tahun lalu saya bekerja sebagai pekerja am mengikut lori kontena untuk membantu meringankan bebanan ibu dan ayah yang menanggung perbelanjaan persekolahan lima adik,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pelabuhan, Kuantan itu.
Katanya, dia tidak tahu bila kecederaannya sembuh dan ketika ini dia terpaksa meminta rakan serta abangnya, Muhammad Zulkarnain, 18, membantunya mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi SPM.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27
– See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2013022707034420130227070344/Article/index_html#sthash.2l44TeEB.dpuf