Kisah pesakit leukemia: Izzani tangguh sekolah tangguh raya – Sinar Harian


Kisah pesakit leukemia: Izzani tangguh sekolah tangguh raya

RAZIATUL HANUM A. RAJAK
22 Ogos 2012
Kisah pesakit leukemia: Izzani tangguh sekolah tangguh raya
Izzani mencium pipi ibunya, Suhaini.

“JIKA boleh ditukar, saya rela menjadi galang gantinya.” Demikian luahan Suhaini Jelani, ibu kepada pesakit leukemia, Mohd Izzani Lee, 9.

Sebagai seorang ibu, Suhaini, 33, redha dengan ketentuan Illahi meski terkejut apabila dimaklumkan keadaan kesihatan anak keempatnya itu.

“Hati ibu mana yang tidak sakit melihat anak sendiri menanggung sakit.
“Dalam sejarah keluarga kami tiada yang menghidap kanser. Ini yang pertama. Jadi kami buntu pada awalnya. Namun saya redha,” ujar Suhaini kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Penutup Kempen Jom Botak baru-baru ini.

“Saya tidak sanggup melihat ketika dia sedang menerima rawatan. Saya dapat merasa sakit yang dialami Izzani,” katanya sayu.
Dilihat dari luaran, Izzani kelihatan sihat. Namun setiap minggu Izzani terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan serta menelan pelbagai jenis ubat.

Malah, Izzani tidak dapat keluar bermain bersama kanak-kanak lain memandangkan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Sejak disahkan menghidap leukemia Jun tahun lalu, Izzani hanya bermain dalam rumah memandangkan sistem pertahanan badan Izzani lemah sehingga menyebabkan dia begitu mudah mendapat jangkitan.
“Sistem pertahanan Izzani lemah, malah akibat pengambilan ubat-ubatan Izzani perlu berada dalam bilik berhawa dingin hampir sepanjang masa,” kata Suhaini.
Katanya lagi, Izzani terpaksa dicutikan dari persekolahannya selama dia menjalani rawatan yang dijangka memakan masa sehingga tiga tahun.

“Izzani memang nak ke sekolah tetapi keadaan tidak mengizinkan jadi dia dicutikan dari sekolah sehingga rawatan ini selesai,” katanya.

Apabila ditanya langsung kepada Izzani, dia menjawab dengan yakin: “Nak sekolah.”

Bercakap mengenai sambutan Aidilfitri kali ini, si ibu menjawab: “Tahun ini raya yang kedua kami sekeluarga tidak beraya tetapi baju raya untuk Izzani tetap kami beli.”

“Kami sudah dua tahun tidak pulang ke kampung kerana bimbang perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru itu akan memberi kesan kepada kesihatan Izzani. Jadi kami hanya pulang ke rumah suami saya, Mohd Faizal Lee, 41 di Sungai Besi.

“Kesihatan Izzani lebih penting daripada beraya,” katanya lagi.

Tambah Suhani, kos rawatan Izzani melebihi RM 1,000 sebulan dan rawatan kemoterapinya tiga atau empat kali sebulan menelan kos RM400 hingga RM500 untuk sekali rawatan.

Sementara itu, Kempen Jom Botak yang berlangsung selama tiga bulan itu melabuhkan tirainya di The Curve minggu lalu setelah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM260,000.

Kutipan dana diserahkan kepada Majlis Kanser Nasional (Makna).

Menurut Presiden Makna, Datuk Mohd Farid Ariffin,  pihaknya telah menjalankan kerjasama dengan universiti tempatan bagi menjalankan penyelidikan berhubung cara merawat dan mencegah kanser.

“Insya-ALLAH pada masa akan datang kita dapat jawapannya. Apa yang patut kita makan dan apa yang tidak patut kita makan untuk mencegah kanser.

“Makna saja tidak cukup. Penyelidikan menelan kos yang tinggi jadi kami perlukan bantuan orang ramai supaya lebih banyak kajian dapat dijalankan.

“Setakat ini kami membantu 78 hospital di Malaysia dengan kutipan dana lebih dua juta setiap bulan untuk pesakit kanser,” katanya yang ditemui selepas majlis penutupan kempen tersebut.

Lapan beranak berteduh di pondok berdinding zink, kanvas – Utusan


Lapan beranak berteduh di pondok berdinding zink, kanvas

Norhawa Arip bersama dua anaknya di Kampung Parit Abdul Aziz, Sungai Balang Darat, Muar, Johor.

 

MUAR 23 Feb. – Sebuah pondok berdindingkan zink dan kanvas tanpa pintu, menjadi tempat berteduh lapan beranak di Kampung Parit Abdul Aziz dekat sini sejak lapan bulan lalu setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran.

Pondok berukuran 20 x 15 kaki itu didiami oleh keluarga Ariffin Md. Amin, 39, bersama isteri, Norhawa Arip, 37, dan enam anak mereka berusia tiga hingga 15 tahun.

Menurut Norhawa, pondok yang didirikan atas tanah milik ibu mertuanya itu hanya menanti masa untuk roboh, selain tidak memiliki kemudahan asas.

“Pondok ini tidak mempunyai bilik dan di ruang yang sempit inilah kami tidur, berehat, makan dan tempat anak-anak membuat kerja sekolah.

“Selain itu, ‘rumah’ ini juga tidak mempunyai bekalan elektrik dan saya terpaksa mendapatkan bekalan elektrik dengan cara membuat penyambungan dari rumah jiran,” katanya semasa ditemui di sini baru-baru ini.

Norhawa berkata, apabila hujan lebat waktu malam, semua ahli keluarga tidak dapat tidur kerana terkena tempias berikutan kanvas itu tidak mampu menahan tiupan angin yang kuat.

Ketika itu, mereka sekeluarga terpaksa berhimpit untuk mengelak daripada terkena tempias hujan.

Katanya, pendapatan suaminya yang tidak menentu sebagai pemandu lori menyebabkan mereka tidak mampu membina rumah baharu.

“Pendapatan yang ada sekadar mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga termasuk menanggung lima daripada enam anak yang masih bersekolah,” katanya.

Norhawa pernah membuat permohonan mendapatkan rumah baharu daripada Baitulmal menerusi ketua kampung, tetapi hingga kini masih belum mendapat maklum balas.

Dia mengakui berasa sayu apabila melihat anak-anaknya membesar dalam keadaan rumah yang kurang sempurna.

Justeru, dia berharap permohonannya untuk mendapatkan bantuan bagi membina rumah baharu diberi pertimbangan segera oleh pihak berkaitan.