Bank Rakyat hulur sumbangan untuk asrama anak yatim – Bernama


Bank Rakyat hulur sumbangan untuk asrama anak yatim

16 Oktober 2012

KANGAR – Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis hari ini menerima sumbangan pelbagai peralatan elektrik bernilai RM10,000 untuk keperluan asrama anak yatim Kompleks Dr Siti Hasmah Jejawi dekat sini.

Sumbangan disampaikan Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kangar, Abdullah Bakar kepada Yang Dipertua pertubuhan berkenaan, Datin Seri Asiah Asmuni.

Asiah berkata pihak bank memperuntukkan zakat perniagaan sebanyak RM10,000 kepada pertubuhan itu dan pihaknya telah meminta bank membelikan peralatan dan keperluan itu menggunakan wang berkenaan untuk keperluan asrama kendalian pertubuhan itu.

Antara peralatan yang dibeli termasuk sebuah peti sejuk, peti simpanan ikan, daging dan sayur-sayuran, dua buah periuk nasi, sebuah ketuhar dan 100 biji gelas kaca.

Semasa berucap di majlis tersebut, Asiah yang juga isteri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata pihaknya sentiasa mengharapkan sokongan dan sumbangan pelbagai pihak bagi menggerakkan asrama pertubuhan itu yang menjadi antara komponen utama Kompleks Dr Siti Hasmah di sini.

Katanya setiap tahun pertubuhan itu membelanjakan kira-kira RM380,000 termasuk makanan penghuni asrama, gaji kakitangan, wang saku persekolahan dan kos pengangkutan penghuni antara asrama dan sekolah.

Beliau berkata setakat ini, ia menempatkan 55 penghuni lelaki dan perempuan yang belajar antara tahun empat dan tingkatan enam di sekolah-sekolah berhampiran. – Bernama

Pesara Guru Cedera Disamun Lelaki Bersenjatakan Parang – mStar


Pesara Guru Cedera Disamun Lelaki Bersenjatakan Parang
Oleh YEE XIANG YUN

JOHOR BAHRU: Seorang pesara guru yang berusia 71 tahun terkejut apabila seorang lelaki bersenjatakan parang memecah masuk rumahnya di Permas Jaya di sini selepas dia pulang daripada berjoging pada waktu pagi, seperti biasa.

Insiden itu berlaku di rumah wanita itu di Jalan Permas 13/13 apabila dia memasuki rumahnya tetapi membiarkan pintu hadapan terbuka, apabila dia mahu memandu kereta milik anak perempuanya ke kedai untuk membeli sayur-sayuran pada pukul kira-kira 6.55 pagi pada Isnin (9 Julai).

Wanita berkenaan, yang tidak mahu namanya didedahkan berkata, ketika kejadian itu, dia mahu keluar melalui pintu hadapan apabila dia menyedari terdapat sebuah kereta warna biru secara perlahan-lahan dan lelaki dalam lingkungan 30-an di tempat duduk penumpang memerhatikannya.

“Secara tiba-tiba, ia mengundurkan kereta di hadapan rumah saya dan saya merasakan akan dirompak maka saya dengan serta-merta menutup pintu hadapan rumah saya.

“Perkara seterusnya yang saya fikirkan adalah lelaki berkenaan sudah berdiri di hadapan saya dan mengarahkan untuk membuka pintu.

“Dia menolak saya ke dinding di tepi rumah, dan meletakkan parang ke leher saya dan berkata “jangan jerit, kasi saya wang” tetapi saya terlalu takut dan menjerit untuk mendapatkan bantuan,” katanya mengenai kejadian ngeri itu kepada The Star pada Selasa.

Katanya, dia cuba bergelut untuk membebaskan diri dan lelaki itu mengelar kedua-dua tangan dan jari-jarinya.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, dia memancingkan dengan memberikan RM40 tetapi lelaki itu mendesak lebih banyak wang dan mengugut untuk mengelarnya lagi.

“Saya beritahu dia untuk melepaskan saya supaya saya boleh berikan lebih banyak wang daripada beg duit saya di atas meja di ruang tamu dan dia lepaskan tetapi dia sudah hilang apabila saya kembali selepas mengambil wang,” katanya.

Anak perempuannya yang berusia 45 tahun, yang merupakan seorang peguam berkata, dia mendengar ibunya menjerit memanggil namanya supaya tidak turun ke tingkat bawah maka dia menelefon polis dari bilik di tingkat atas dan mereka tiba pada kira-kira pukul 7.20 pagi.

Pesara guru itu dikejarkan ke sebuah klinik di Taman Sentosa dan menerima 21 jahitan dan tujuh suntikan pada kedua-dua tangannya.

Katanya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Permas Jaya yang terletak kira-kira lima minit dari rumahnya pada hari yang sama.