Budak tujuh tahun sempat panggil bapa sedang nazak – Utusan


Budak tujuh tahun sempat panggil bapa sedang nazak

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Walaupun dalam kesakitan, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun menguatkan diri memanggil bapanya yang sedang nazak setelah mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 14.1 Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) di sini malam tadi.

Kanak-kanak malang itu, Nurul Ain, membonceng motosikal bersama bapanya, Mohd. Rozlee Ghazali, 33, untuk pulang ke rumah di Perumahan Pantai Permai di sini, apabila kenderaan dinaiki bergesel dengan sebuah motosikal lain pada pukul 9.30 malam.

Akibatnya, Nurul Ain bersama Mohd. Rozlee dan penunggang sebuah lagi motosikal, Sazali Md. Rashid, 51, seorang anggota polis bantuan tercampak dari kenderaan dan mengalami cedera parah.

Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa itu mengalami patah kaki kiri tetapi masih berupaya memanggil bapanya yang sedang nazak sebelum Mohd. Rozlee meninggal dunia di tempat kejadian tidak lama selepas itu.

Pekerja kilang dituduh rogol – Sinar Harian


Pekerja kilang dituduh rogol
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Julai 2012
AYER KEROH – Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan merogol seorang pelajar tingkatan satu, tahun lalu.

Shahruddin Ramli, 37, dari Pengkalan Rama Pantai membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan pertuduhan, Shahruddin didakwa merogol seorang perempuan berusia 13 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Taman Desa Duyong pada jam 9.10 malam, awal April 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menanggung keluarga. Ahmad Sazali membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan sebutan semula kes pada 16 Ogos depan.

Dua rakan tidak mengaku perdagang remaja – Utusan


Dua rakan tidak mengaku perdagang remaja

MELAKA 21 Jun – Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperdagang seorang remaja lelaki berusia 17 tahun antara Mei dan Jun lalu.

Tertuduh, S. Navinthadran, 19, dan K. Mathan Raj, 21, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan memperdagangkan orang yang merupakan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi dengan cara melacurkan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Bukit Katong, Rim, Jasin, antara awal Mei lalu pukul 8 malam hingga awal Jun lalu pukul 5 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Manusia 2010 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. – UTUSAN