SBPA : Jangan ketepikan pandangan CUEPACS – Utusan


SBPA : Jangan ketepikan pandangan CUEPACS

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Jawatankuasa khas membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diharap tidak mengetepikan pandangan wakil Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, segala input yang diperoleh daripada pihaknya serta penjawat awam perlu digembleng oleh jawatankuasa tersebut agar sebuah penyelesaian memuaskan semua pihak dapat dikeluarkan.

“CUEPACS juga berharap tempoh kajian selama dua bulan sehingga 16 April depan dipercepatkan supaya sebuah SBPA baru yang efisien dapat diperkenalkan secepat mungkin.

“Bagaimanapun, SBPA tersebut perlulah dikaji dengan komprehensif mengambil kira pandangan CUEPACS, Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan lain-lain wakil kerajaan supaya tiada pertikaian akan timbul selepas ini,” katanya kepada¬†Mingguan Malaysia¬†di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar jawatankuasa khas tersebut diberikan tempoh tiga bulan bagi membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan SBPA.

Najib berkata, skim baru berkenaan mestilah mendapat kepuasan semua pihak sebelum dilaksanakan.

Jelas Omar, antara isu yang memerlukan penelitian terperinci daripada jawatankuasa yang dipengerusikan Tan Sri Ismail Adam itu termasuk kekeliruan kenaikan gaji kategori JUSA dan pengenalan Kumpulan Premier.

Katanya, jawatankuasa tersebut juga perlu bersikap berkecuali dengan mengkaji skop SBPA agar ia merangkumi semua peringkat penjawat awam dan tidak hanya terhad kepada kakitangan Gred 54 ke bawah sahaja.

Beliau menambah, pihaknya turut mendesak agar usul yang diterbitkan jawatankuasa melibatkan empat wakil CUEPACS sebelum ini diambil serius oleh kerajaan bagi mengelakkan masalah berbangkit.

“CUEPACS juga membantah sekeras-kerasnya jika gaji penjawat awam mula dibayar mengikut SBPA sebelum keputusan penambahbaikan daripada jawatankuasa tersebut dikeluarkan,” ujarnya.