Tugas pasukan petugas khas SBPA selesai – Utusan


Tugas pasukan petugas khas SBPA selesai

PUTRAJAYA 8 Mac – Pasukan petugas khas penambahbaikan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) hari ini secara rasminya menamatkan tugas biar pun tarikh akhir yang ditetapkan kerajaan adalah pada 16 April ini.

Pengerusinya, Tan Sri Ismail Adam ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, tanggungjawab pasukan petugas itu adalah untuk menyemak semula SBPA dan mengemukakan cadangan penambahbaikan.

”Hari ini kerajaan telah membuat keputusan. Jadi tugas pasukan petugas sudah selesai,” katanya ketika ditanya sama ada pasukan petugas khas itu akan terus terlibat dalam kerja-kerja penambahbaikan perkhidmatan penjawat awam.

Pasukan petugas khas itu telah mengadakan beberapa pertemuan dan perbincangan dengan semua pihak terbabit terutamanya Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam merungkai kemelut SPBA.

Inti pati pengumuman Perdana Menteri untuk penjawat awam – Utusan


Inti pati pengumuman Perdana Menteri untuk penjawat awam

08/03/2012 1:43pm

 

PUTRJAYA 8 Mac – Berikut inti pati pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika perhimpunan khas bersama penjawat awam di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

* Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dibatalkan dan mengekalkan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

* Penubuhan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif sistem saraan bagi penjawat awam pada masa depan.

* Pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54 iaitu bagi Kumpulan Gred Utama C,B,A (sembilan peratus), Gred Turus 3 dan 2 (lapan peratus) dan Gred Turus Satu dan Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus).

* Jadual gaji matriks diubah suai kepada gaji minimum-maksimum dengan kadar kenaikan RM80-RM320 bagi Gred 1-54 manakala gred bagi Jusa kekal mengikut kenaikan tahunan SSM.

* Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) dinaikkan kepada RM250 sebulan dari RM200 bagi kawasan B manakala bagi kawasan C dinaikkan kepada RM150 daripada RM100.

* Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) dikekal pelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah SSM.

* Keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip “time-based” Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumum dalam Bajet 2012 dikekalkan. – UTUSAN

CUEPACS tuntut kenaikan gaji RM700 – RM2500 – Utusan


CUEPACS tuntut kenaikan gaji RM700 – RM2500

PUTRAJAYA 22 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji 1.3 juta penjawat awam dari gred 1 hingga gred 54 antara RM700 hingga RM2,500.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan itu perlu dilaksanakan menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan gaji dibuat melalui skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Tuntutan tersebut membabitkan kenaikan gaji untuk gred 1 hingga gred 16 sebanyak RM700; gred 17 hingga gred 26 (RM1,000); gred 27 hingga gred 40 (RM1,500); gred 21 hingga gred gred 48 (RM1,800) dan gred 52 hingga gred 54 (RM2,500).

Omar berkata, kakitangan awam yang sudah mencapai gaji maksimum atau sudah mati gaji pula perlu dibayar selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan dan perlu dinaikkan gred.

”Sebagai contoh bagi mereka yang sudah lima tahun tidak naik gaji, jika gaji mereka dinaikkan RM100, kerajaan perlu bayar tunggakan RM500 selain kenaikan gred,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat petugas khas bersama Jabatan Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, CUEPACS turut menuntut agar kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam yang sudah lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras 4.

”Ramai yang lulus PTK aras 4 sebelum SBPA diperkenalkan tetapi apabila SSM ditukarkan ke SBPA ramai yang lulus itu tidak mendapat kenaikan gaji, apabila kami berbincang dalam pasukan khas ini dari segi perundangan kerajaan perlu bayar.

”Mereka mana tahu SBPA akan diperkenalkan, tidak adil untuk mereka yang sudah berkorban masa dan tenaga untuk lulus, tapi bila dah lulus tak nak bayar pula,” katanya.

Sehubungan itu, CUEPACS meminta mereka yang lulus sehingga 31 Disember 2011 dibayar tunggakan gaji sebelum kajian semakan SBPA diumumkan dan mahu JPA mengeluarkan surat pekeliling mengenainya.

Omar berkata, beliau yakin kerajaan akan bersetuju dengan lima tuntutan yang telah dikemukakan iaitu mengkaji semula pindaan gaji gred 54 ke bawah; mengkaji gaji penjawat awam mencapai gaji maksimum; mengkaji kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA; mengkaji kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak penstrukturan semula semua gred penjawat awam.

”Kalau kerajaan merasakan ia melibatkan tuntutan yang tinggi, CUEPACS cadangkan mereka yang telah menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA iaitu Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Premier, gaji mereka dipotong untuk diberikan kepada mereka di gred 54 ke bawah.

”Kalau betullah kerajaan mahu rapatkan jurang maka tuntutan itu dirasakan wajar, apa yang kami lakukan ialah menuntut kesaksamaan dan terpulanglah kepada pasukan petugas khas ini untuk menilainya,” katanya.

Cuepacs tuntut naik gaji RM700-RM2,500 – Sinar Harian


Cuepacs tuntut naik gaji RM700-RM2,500

22 Februari 2012
Cuepacs

PUTRAJAYA – Di sebalik rasa tidak puas hati berkenaan dengan pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang sepatutnya dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu,  Cuepacs hari ini menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Pelaksanaan SBPA ditangguhkan sementara pasukan petugas khas selesai menjalankan semakan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan dibuat menerusi SBPA.

Dipetik Bernama, beliau berkata, tuntutan yang dikemukakan ialah untuk Gred 1 hingga 16 kenaikan sebanyak RM700, Gred 17 hingga Gred 26 (RM1,000), Gred 27 hingga Gred 40 (RM1,500), Gred 41 hingga Gred 48 (RM1,800) dan Gred 52 hingga Gred 54 (RM2,500).

“Misalnya bagi mereka yang berada di Gred 17, gaji semasa dalam SSM ialah RM820 perlu dinaikkan sebanyak RM1,000 kepada RM1,800,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas cadangan Cuepacs pada mesyuarat pasukan petugas semakan semula SBPA.

Omar turut mencadangkan agar mereka yang berada di tangga gaji tahap maksimum atau pada tangga gaji mati perlu dibayar tunggakan kenaikan tahunan selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan selain perlu dinaikkan gred.

“Misalnya bagi mereka yang sudah terhenti kenaikan gaji sejak lima tahun lepas, sekiranya kenaikan setahun mereka ialah RM100 jadi perlu dibayar tunggakan sebanyak RM500,” katanya.

Selain itu, Cuepacs turut menuntut mereka yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan pada Aras 4 sebelum Disember 2011 perlu diberi kenaikan gaji.

“Banyak aduan yang diterima apabila SBPA diperkenalkan mereka yang sudah lulus Aras 4 tidak diberi kenaikan gaji.  Ini tidak adil kerana bukan mudah untuk mendapat lulus Aras 4, terpaksa berkorban baca buku siang malam tapi bila dah lulus tidak dinaikkan gaji, sia-sia sahajalah usaha mereka,” katanya.
Omar berkata, tuntutan Cuepacs itu dirasakan sesuai memandangkan mereka yang di kedudukan atas daripada Gred 54 telahpun menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA.

“Kalau betul kerajaan berhasrat untuk merapatkan jurang antara pegawai rendah dengan atasan maka tuntutan itu adalah dirasakan wajar, apa yang Cuepacs lakukan ialah untuk menuntut kesaksamaan,” katanya.

Beliau berkata terpulang kepada pasukan petugas SBPA untuk menilainya dan jika merasakan tuntutan itu melibatkan kos yang tinggi, Cuepacs mencadangkan gaji kumpulan yang menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA dikurangkan dan disalurkan kepada gred bawahan.

“Jika tidak boleh juga… apa yang terkandung dalam SPBA sekarang perlu ditukar keseluruhannya dan digantikan dengan terma-terma yang baru,” katanya.

Kekal tarikh tunggakan gaji SBPA – Utusan


Kekal tarikh tunggakan gaji SBPA

PUTRAJAYA 20 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tetap mahukan tarikh tunggakan gaji mengikut Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kekal pada 1 Januari lalu, seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya berpendirian tarikh penguatkuasaan gaji SBPA perlu dikekalkan walaupun pelaksanaan skim tersebut ditangguhkan untuk semakan semula.

“Kalau berlaku perubahan tarikh nanti, ini bermakna opsyen sebelum 30 Disember termasuk selepas 15 Januari seperti yang ditetapkan sebelum ini, tidak akan diterima.

“Dan pihak yang bertanggungjawab perlu membuat semakan semula mengenai langkah penyelesai kes SBPA itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tunggakan gaji kakitangan awam mengikut skim SBPA yang kini dalam proses penambahbaikan.

Omar menambah, CUEPACS juga mahukan surat pekeliling mengenai pelaksanaan skim tersebut ditangguhkan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Tindakan ini adalah untuk mengelakkan penjawat awam menghadapi kesukaran berhubung isu pelaksanaan SBPA,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan membentangkan hasil bengkel Jawatankuasa Bertindak SBPA kongres tersebut kepada Jawatankuasa Penambahbaikan SBPA yang ditubuhkan kerajaan pada Rabu ini.

“Pada 17 dan 18 Februari lalu, pihak kami telah mengadakan bengkel Jawatankuasa Bertindak SBPA CUEPACS berhubung pengekalan cadangan lima perkara yang diutarakan kongres supaya diteliti kerajaan,” katanya.

Guru tidak akan naik pangkat secara automatik: Muhyiddin – Bernama


Guru tidak akan naik pangkat secara automatik: Muhyiddin

2012/02/18

BALIK PULAU: Kenaikan pangkat guru tidak akan berlaku secara automatik sebaliknya mereka harus melalui pelbagai proses termasuk temu duga, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kaedah kenaikan pangkat guru terbabit akan diputuskan selepas perbincangan antara Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan kerajaan selesai kelak.

“Berkaitan soal kebajikan guru kita sudah ambil kira. Tetapi apapun, keputusan muktamad belum tercapai kerana urusan ini sudah kita bawakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam disamping perbincangan di peringkat wakil kesatuan dan CUEPACS, katanya pada pemberita selepas menghadiri majlis kenduri rakyat 1Malaysia di Kampung Permatang Tepi, Simpang Empat, di sini, hari ini.

Katanya, isu kenaikan pangkat itu bagaimanapun dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar yang memetik seramai 15,000 guru lepasan ijazah yang belum menerima kenaikan gred akan menikmatinya sebaik semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diselesaikan pada April ini. – BERNAMA

Khabar gembira buat penjawat awam – Metro


Khabar gembira buat penjawat awam

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Penjawat awam mungkin menerima berita gembira dalam tempoh tiga bulan ini apabila lima tuntutan utama Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dalam Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sedang dipertimbangkan sebaik mungkin oleh kerajaan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, perkara itu dinyatakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu pertemuan baru-baru ini.
“Pada dasarnya, beliau (Mohd Sidek) bersetuju lima perkara dibangkitkan Cuepacs sebelum ini perlu diberi pertimbangan khas, khasnya perkara yang kritikal… berdasarkan itu kita rasa lega,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat kedua pasukan petugas khas di sini, semalam.

Kerajaan setuju beri CUEPACS lebih tempat dalam SBPA – Bernama


Kerajaan setuju beri CUEPACS lebih tempat dalam SBPA

05/02/2012 6:31pm

 

KUANTAN 5 Feb — Kerajaan bersetuju untuk memberikan lebih banyak tempat kepada pemimpin tertinggi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi menganggotai pasukan khas semakan semula Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Justeru itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata CUEPACS perlu manfaatkan sepenuhnya peluang berkenaan bagi merealisasikan hasrat lebih 1.3 juta ahli mereka di seluruh negara.

“Saya harap dan percaya mereka akan terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat akan datang dan beri pandangan yang membina untuk penambahbaikan SBPA,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Pelan Strategik Teknologi Maklumat (PSTM) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pahang, di sini, hari ini.

CUEPACS sebelum ini meminta supaya tiga lagi pemimpin kanan mereka menganggotai pasukan petugas khas semakan semula SBPA yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam.

Sementara itu, Mohd Sidek meminta Unit Permodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) memperhebatkan promosi urusan dalam talian di kalangan rakyat.

Katanya kerajaan masih tidak berpuas hati dengan sambutan orang ramai terhadap kempen urusan dalam talian meskipun prasarana telah disediakan membabitkan semua agensi kerajaan.

“Kemudahan-kemudahan ini telah diberikan oleh banyak jabatan tapi mungkin tak mahu menggunakannya atau tak tahu untuk menggunakannya.

“Langkah ini kita kena war-warkan umpamanya memperbaharui lesen memandu secara online kerana ramai yang tak tahu,” katanya.

Kerajaan sebelum ini melancarkan PSTM 2011-2015 PBT di bawah Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi bagi menjimatkan kos dan menjadikan platform baru pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Pahang merupakan negeri pertama membangunkan PSTM secara serentak di 11 PBT di negeri itu.

— BERNAMA

430,000 guru tidak setuju SBPA – Metro


430,000 guru tidak setuju SBPA

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seramai 430,000 guru dari seluruh negara tidak bersetuju dengan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan meminta kerajaan menimbang semula kepentingan penjawat awam, terutama golongan pendidik, dalam mesyuarat anjuran Majlis Permuafakatan Kesatuan Persatuan Guru (MPKPG) di Taman Setiawangsa, di sini, semalam.

Pengerusinya, Jemale Paiman berharap kerajaan menimbang seadil-adilnya rumusan mesyuarat yang diputuskan bersama 320 pemimpin kesatuan dengan memberi tempoh lapan hari.
Beliau berkata, selain Ceupacs sebagai panel tetap, wakil peguam dan JPA sebagai sekretariat, tiga wakil khas mewakili warga pendidik dilantik untuk berjumpa atau berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi tujuan penambahbaikan pelaksanaan SBPA, terutama bagi membela nasib golongan berkenaan.

 

“Kami mendapati ada klausa kurang jelas dalam pelaksanaan SBPA, misalnya tidak mengambil kira kenaikan gaji tahunan antara tujuh hingga 13 peratus untuk menampung kos sara hidup yang makin tinggi.
“Disebabkan golongan pendidik sektor penting dalam pembangunan negara, perkara itu harus dipertimbangkan sebaik-baiknya.

CUEPACS akan kemuka formula perpindahan gaji daripada SSM kepada SBPA – Bernama


CUEPACS akan kemuka formula perpindahan gaji daripada SSM kepada SBPA 

2012/02/04

SIBU: Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengemukakan formula perpindahan gaji daripada Skim Saraan Malaysia kepada Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) untuk dipertimbangkan dalam semakan semula skim baru itu.

Timbalan Presiden 1 CUEPACS, Aziz Muda, berkata perpindahan gaji berkenaan mengambil kira gaji maksimum dan kekananan supaya ia diterima baik oleh semua penjawat awam.

“Setakat ini kenaikan gaji penjawat awam dalam SBPA tidak jelas dan mengelirukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam Kesatuan Sekerja Lembaga Air Sibu (SWBEU) di sini malam tadi. – BERNAMA