Tukang perabot dipenjara 12 bulan, sebabkan anak lelaki cedera – Bernama


Tukang perabot dipenjara 12 bulan, sebabkan anak lelaki cedera

2012/10/24 – 18:27:21 PMCetakEmel Kawan
JOHOR BAHRU: Seorang tukang perabot dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak lelakinya, Khamis lalu.

Norrizam Sapuan, 40, didakwa melakukan kesalahan terhadap Nazirul Mubim Norrizam, 9, di rumahnya di 0301, Blok G, Flat Pekaka, Jalan Pekaka 3, Taman Perling, di sini, kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias memutuskan hukuman terhadap Norrizam bermula dari tarikh tangkapan iaitu 18 Oktober lalu.

Pendakwaan kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA