Sebak lihat ibu didera bapa buas – Harian Metro


Sebak lihat ibu didera bapa buas

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Perbuatan seorang lelaki warga asing tidak ubah seperti haiwan apabila tergamak mendera isterinya setiap kali mahu melakukan hubungan seks termasuk menendang dan memukul mangsa dipercayai kerana cemburu, malah lebih mengejutkan, kekejaman suspek berlarutan sejak 24 tahun lalu.

Difahamkan, lelaki berusia 53 tahun berasal dari Pulau Rupat, Indonesia bekerja sebagai tukang rumah itu memukul isterinya setiap kali keinginannya ditolak dan perbuatannya itu turut disaksikan enam anak mereka berusia 11 hingga 24 tahun di rumah mereka di sebuah kampung di Simpang Ampat, di sini.
Perbuatan jahat suspek disembunyikannya daripada pengetahuan saudara-mara dan jiran itu terbongkar apabila dia ditangkap petang kelmarin, sekali gus mendedahkan dia sebenarnya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah sejak 13 tahun lalu.

 

Tangkapan terhadap suspek dilakukan kira-kira jam 6 petang oleh anggota polis yang menerima aduan daripada anak gadis mangsa berusia 17 tahun yang tidak tahan dengan perbuatan bapanya itu.
Mendedahkan sikap jijik bapa kandungnya gadis berkenaan mendakwa suspek seorang yang panas baran dan sering memukul ibunya yang berusia 52 tahun.
Anak keempat daripada enam beradik itu mendakwa dia sudah muak dengan perlakuan ganas bapanya yang sering menumbuk dan menyepak ibunya sejak dia kecil lagi. “Kami enam beradik tinggal serumah di rumah kecil Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Ruang yang sempit itu memudahkan kami melihat dan mendengar apa yang berlaku. Jeritan serta rintihan ibu minta dilepaskan daripada dikasari ayah yang kerap memukulnya membuatkan kami sedih mengenangkan nasib ibu,” katanya ketika ditemui.

 

 

Katanya, dia nekad melaporkan perkara itu di Balai Polis Simpang Ampat, kelmarin, kerana sudah tidak tertahan lagi serta selepas dinasihat bapa angkatnya.
Katanya, kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin, dia terjaga dari tidur apabila terdengar ibunya menangis meminta tolong sambil ayahnya terus memukul dan mengugut untuk membunuh jika ibunya menjerit.

 

“Saya nampak ayah menuju ke dapur dan datang membawa sebilah pisau lalu mengancam ibu supaya tidak menjerit atau dan memberitahu sesiapa perbuatannya sebelum menumbuk ibu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan tangkapan suspek dan kes dirujuk ke Jabatan Agama Islam (Jaim) Alor Gajah untuk tindakan.
“Pihak kami dimaklumkan menerusi laporan polis dibuat anak mangsa, suspek disyaki melakukan penderaan seksual ke atas ibunya dan selepas diperiksa didapati suspek seorang warga Indonesia memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh sejak 1998 lagi,” katanya.