Rogol: Warga Thai bebas tuduhan rogol anak – Bernama


Rogol: Warga Thai bebas tuduhan rogol anak
20 September 2013
  • Mahkamah
< 1 / 1 >

SHAH ALAM – Seorang warga Thailand menarik nafas lega apabila Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan merogol anak sulungnya berumur 14 tahun tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar membuat keputusan itu selepas berpuas hati yang pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bapa kepada empat anak perempuan itu.

Bekas juruteknik sebuah syarikat kejuruteraan itu didakwa melakukan kesalahan di sebuah rumah di Bukit Rimau di sini, kira-kira pukul 1 pagi pada 24 Oktober tahun lepas.

Kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara minimum enam tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Sepuluh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abd Rahim manakala lelaki berusia 48 tahun itu diwakili peguam Ramesh N.P.Chandran dan Revindran Pillai.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah warga Thai itu yang menetap di Malaysia selama 30 tahun itu bersyukur atas pembebasannya.

Ketika ditanya perancangannya selepas dibebaskan, lelaki itu yang sedang dalam proses perceraian dengan isterinya seorang rakyat tempatan berkata dia ingin menguruskan hal kewangannya terlebih dahulu sebelum pulang ke Bangkok esok. – Bernama

Pekerja am disyaki liwat tujuh budak – Metro


Pekerja am disyaki liwat tujuh budak

 1  3 Google +0  1  0

Kuala Terengganu: Seorang pekerja am di sebuah sekolah rendah, di sini, yang berusia 56 tahun layak digelar ‘peliwat bersiri’ kerana dipercayai meliwat tujuh budak lelaki berusia 13 tahun dalam kejadian berasingan sejak Januari lalu, selepas membawa mereka ke rumah sewanya di Kampung Pasir Panjang, di sini.

Bagaimanapun, lelaki warga emas itu yang pernah dipenjara 10 tahun dan sebatan kerana jenayah sama sebelum ini, terbongkar dan ditahan, kelmarin, selepas seorang mangsanya mendedahkan peristiwa hitam itu kepada ibu bapanya.
Menurut sumber, ibu bapa mangsa bertambah terkejut dan berang apabila pelajar terbabit turut memaklumkan beberapa rakannya juga diliwat.

 

“Terkejut dengan pendedahan itu, keluarga mangsa bersama beberapa penduduk kampung segera ke rumah suspek bagi mendapatkan kesahihan cerita anaknya jam 6 petang semalam (kelmarin).
“Sebaik sampai di rumah suspek, keluarga mangsa yang gagal mengawal kemarahan menyerang dan membelasah suspek di rumahnya.
“Pada masa sama, polis yang dimaklumkan kejadian berkenaan ke rumah suspek bagi mengawal keadaan dan menahan lelaki itu kira-kira sejam kemudian,” katanya.

 

Sumber berkata, suspek yang masih menjalani parol dipercayai menjadikan pelajar yang sering ponteng sekolah sebagai mangsa dengan mengumpan mereka ke rumahnya untuk makan sebelum memuaskan nafsu serakahnya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/20

Rogol: Bekas ahli kumpulan hiphop dipenjara 20 tahun – Utusan


Rogol: Bekas ahli kumpulan hiphop dipenjara 20 tahun

 

KAJANG 6 Sept. – Seorang bekas ahli kumpulan hiphop popular sekitar tahun 2000, dihukum penjara 20 tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol anak tirinya yang berusia 14 tahun, Februari tahun lalu.

Hakim Nor Hazani Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 38 tahun itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sehingga selesai rayuan di Mahkamah Tinggi.

Jaminan ke atas tertuduh dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM80,000 berserta syarat tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga rayuan selesai.

Tertuduh yang kini bekerja sebagai guru vokal di beberapa kementerian kerajaan dibawa ke Penjara Kajang pada pukul 4 petang selepas gagal membayar jaminan.

Dalam penghakimannya Nor Hazani berkata, mahkamah mendapati keterangan pengadu mempunyai kredibiliti.

Menurut beliau, selepas kejadian, pengadu memberitahu perkara itu kepada dua guru kaunselingnya yang turut memberikan keterangan di mahkamah.

“Mahkamah mempercayai keterangan kedua-dua guru itu, masing-masing saksi pendakwaan keenam dan ketujuh yang merupakan saksi bebas.

“Selain itu, keterangan doktor juga mengesahkan terdapat koyakan pada alat sulit pengadu,” kata beliau.

Menurut beliau, pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah sebaliknya telah mengukuhkan kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Gombak di sini pada pukul 9 pagi, 9 Februari 2012.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130906/ma_02/Rogol-Bekas-ahli-kumpulan-hiphop-dipenjara-20-tahun#ixzz2e7rOYKBp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tukang urut OKU lakukan kelucahan melampau – Bernama


Tukang urut OKU lakukan kelucahan melampau
29 Julai 2013
< 1 / 0 >

MELAKA – Seorang tukang urut orang kelainan upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap tiga pertuduhan melakukan kelucahan melampau ke atas dua pelajar lelaki berumur 14 tahun dan seorang pelajar lelaki berumur 13 tahun.

Basri Hashim, 51, didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik sebuah rumah di Jalan Sungai Udang di sini, masing-masing pada 9 pagi, 9.10 pagi dan 9.30 pagi, 23 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Majistret Syajaratudur Abd Rahman membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam. – Bernama

Cif Inspektor dipenjara 14 tahun lakukan seks luar tabie – Utusan


Cif Inspektor dipenjara 14 tahun lakukan seks luar tabie

 

KOTA BHARU 28 Julai – Seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan iaitu melakukan seks luar tabii ke atas seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dengan menyuruh mangsa melakukan oral seks dan mencabul kehormatan mangsa di dalam kereta peronda polis, empat tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh, Ishak Mahmud, 49, didapati bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

“Saya mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, dengan itu, tertuduh didapati bersalah untuk kedua-dua pertuduhan,” kata Azman.

Bagi pertuduhan pertama, Ishak didakwa melakukan seks luar tabii dengan menyuruh remaja perempuan berusia 15 tahun 4 bulan itu melakukan seks oral tanpa kerelaannya di dalam kereta peronda polis jenis Proton Perdana di kawasan Kampung Air Terjun Bentagor, Pasir Puteh pada pukul 2 pagi, 2 Oktober 2009.

Bapa empat orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima tahun hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah untuk mencabul mangsa pada waktu dan tempat yang sama.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua seksaan itu jika disabitkan.

Azman mengarahkan tertuduh dihukum penjara 14 tahun dan lima sebatan bagi pertuduhan pertama serta enam tahun penjara dan lima sebatan bagi pertuduhan kedua manakala hukuman pemenjaraan diarahkan berjalan serentak menjadikan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 14 tahun.

Pendakwaan semalam dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Sukri Mohamed.

Sukri sebelum hukuman dijatuhkan memberitahu mahkamah bahawa tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai anak antara umur lapan tahun hingga 23 tahun yang mana kesemuanya masih belajar manakala isterinya seorang suri rumah.

“Akibat sabitan ini tertuduh akan kehilangan pekerjaan dan tentunya hukuman ini satu yang perit bagi tertuduh dan masa depan dia serta keluarga,” katanya.

Intan Nor Hilwani meminta supaya hukuman berat dikenakan kepada tertuduh kerana kedua-dua kesalahan itu adalah serius.

“Tertuduh juga merupakan seorang polis yang mana sepatutnya menjadi pelindung masyarakat tapi dia sebaliknya dalam kes ini,” katanya.

Azman bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman setelah pihak pembelaan memohon sedemikian untuk membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130729/ma_01/Cif-Inspektor-dipenjara-14-tahun-lakukan-seks-luar-tabie#ixzz2aNMHM1mY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rogol : Mekanik dihukum jel 12 tahun, lima sebatan – Kosmo


Rogol : Mekanik dihukum jel 12 tahun, lima sebatan

 

28/07/2013 3:48pm

 

KOTA BHARU – Seorang mekanik dihukum penjara 12 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol remaja perempuan berusia 16 tahun pada awal Februari tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh Mohamad Arman Hairi Mat Hassan, 21 didapati bersalah.

Mohamad Arman Hairi didakwa merogol gadis berusia 16 tahun 5 bulan itu di sebuah rumah tanpa nombor di Badang, di sini, pada pukul 3 petang, awal Februari tahun lalu. – KOSMO!

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_12.htm#ixzz2aKIvE2IF
Hakcipta terpelihara

Rogol pelajar: Pemuda dipenjara 14 tahun, sebatan – Utusan


Rogol pelajar: Pemuda dipenjara 14 tahun, sebatan

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 8 Mac – Seorang pemuda berusia 26 tahun dihukum penjara 14 tahun dan sebatan tiga kali atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur, lima tahun lalu selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan akhirnya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha sebulat suara menambah hukuman penjara terhadap Mohd. Muhsinun Wahab daripada tujuh tahun kepada 14 tahun dan sebatan selepas menolak rayuannya.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Datuk Mah Weng Kwai menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 60(2) Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman 1964 untuk meminda hukuman tersebut.

Pada 11 April 2011, Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun manakala Mahkamah Tinggi Alor Setar mengekalkan hukuman itu pada 21 Februari tahun lalu.

Pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan. Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan itu, hukuman diperintah berkuat kuasa mulai hari ini.

Dalam keputusannya, panel itu berpendirian, hukuman penjara tujuh tahun yang dikenakan sangat tidak mencukupi berbanding berat kesalahan yang dilakukan.

Hakim Jeffrey menyatakan, faktor kesalahan pertama lelaki itu tidak boleh dijadikan alasan untuk meringankan hukuman jika melibatkan perbuatan yang serius.

Mohd. Muhsinun didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun kira-kira pukul 8 malam, 5 Oktober 2008 di sebuah pondok di ladang kelapa sawit Padang Serai, Kulim.

Perayu ketika itu berusia 21 tahun manakala mangsa masih bersekolah. Mereka tidak mengenali antara satu sama lain.

Keterangan kes menyatakan, sebelum kejadian, mangsa bersama-sama seorang rakan wanitanya berada di sebuah pusat beli-belah. Dia kemudian menelefon abang angkatnya agar menghantarnya pulang.

Abang angkatnya tiba bersama Mohd. Muhsinun menaiki dua buah motosikal. Abang angkatnya menghantar rakan wanita mangsa manakala gadis tersebut dihantar pulang oleh perayu.

Mohd. Muhsinun sebaliknya melencong ke arah ladang kelapa sawit dan merogol mangsa di pondok tersebut. Dia kemudian menelefon tujuh lagi rakannya agar datang ke situ lalu mangsa dirogol bergilir-gilir.

Perayu diwakili oleh peguam Aqbal Shiffuddin manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130308/ma_06/Rogol-pelajar-Pemuda-dipenjara-14-tahun-sebatan#ixzz2N3FhVtwL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dua remaja lelaki paksa gadis bawah umur lakukan seks luar tabii – Sinar Harian


Dua remaja lelaki paksa gadis bawah umur lakukan seks luar tabii

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Februari 2013

GEORGETOWN – Dua remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap seorang gadis bawah umur.

A Chanrasegaran, 20, dan S Sangkaran, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan  di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan pertama, Chanrasegaran dan Sangkaran dituduh dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii ke atas mangsa berusia 16 tahun tanpa kerelaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Taman Metropolitan Relau, di antara jam 12.30 tengah hari hingga 3.40 petang, pada 14 Februari lalu.

Berikutan itu,  Chanrasegaran dan Sangkaran didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Untuk pertuduhan kedua, kedua-dua lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mengenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana daripada itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap seorang tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Sitarun Nisa mengurangkan jumlah jaminan kepada RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan setelah mempertimbangkan rayuan tertuduh yang tidak mampu membayar jaminan tinggi.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 29 Ogos ini.

Tiga sahabat mengaku tidak bersalah culik Nayati – Berita Harian


Tiga sahabat mengaku tidak bersalah culik Nayati

2013/02/18 – 13:20:45 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Tiga sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap pertuduhan menculik kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Mood Liar, 12, pada April tahun lalu.

Chong Tat Siong, 24, yang bekerja sendiri berserta rakannya Foong Khar Fai, 20, yang juga seorang penjual telefon bimbit dan penganggur, Lee Phak Seng, 24, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Kamardin Hashim.

Kamardin menetapkan dua minggu bermula 15 hingga 19 April dan 13 hingga 17 Mei untuk perbicaraan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Jean Sharmila Jesudeson memberitahu mahkamah seramai 15 saksi pihak pendakwaan dan pembelaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Ketika ditemui media selepas prosiding kes itu, Jean berkata, antara saksi yang akan dipanggil termasuklah mangsa culik, Nayati.

Pada 22 Mei tahun lalu, ketiga-tiga mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan menculik Nayati, dan tiada pengakuan direkodkan.

Ketiga-tiga lelaki itu bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa menculik kanak-kanak berkenaan di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, 7.30 pagi pada 27 April 2012 mengikut Seksyen 3, Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Nayati dibebaskan penculiknya di kawasan rehat dan rawat Sungai Buloh, Lebuhraya PLUS pada 7.55 pagi 3 Mei, seminggu selepas diculik di hadapan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, di sini.

Chong diwakili peguam Rejinder Singh, manakala Foong diwakili peguam Zamri Ibrahim dan Lee diwakili peguam KT Wong. – BERNAMA

Buruh rogol anak tiri dijel 12 tahun – Utusan


Buruh rogol anak tiri dijel 12 tahun

SUNGAI PETANI 7 Feb. – Akibat terlalu mengikut nafsu sehingga tergamak merogol anak tirinya pada bulan lalu, seorang buruh hari ini menerima pembalasan apabila dihukum penjara 12 tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Mohamad Khalid Ab. Karim menjatuhkan hukuman tersebut setelah lelaki berusia 44 tahun itu mengaku melakukan kesalahan terhadap mangsa yang berusia tujuh tahun sembilan bulan di sebuah kedai di Kejai, Tawar, Baling dekat sini kira-kira pukul 6.30 petang, 21 Januari lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Syazwani Syed Hussin mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan minimum 10 kali.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah meringankan hukuman terhadapnya dengan alasan dia membuat pengakuan bersalah dalam masa yang singkat iaitu sebaik sahaja dituduh, sekali gus menjimatkan masa mahkamah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130208/ma_05/Buruh-rogol-anak-tiri-dijel-12-tahun#ixzz2KHzwmjLh
© Utusan Melayu (M) Bhd